Rabu, 28 Julai 2010

Suka tak

Adoi, sakit gusi. Pelik jugak penulis. Bila tertekan, gusi penulis akan bengkak (terima kasih pada Afzan sebab sudah menjawab persoalan). Tapi takpelah, sakit sikit-sikit. Boleh jadi kafarah dosa. Hehe. Saje je cerita gusi. Gusikan tempat letak gigi. Ramai orang tak kesah sangat dia gosok gigi ke tidak. Pastu mulut berbau; dia tak perasan pun.. Orang yang hidu nantilah yang terseksa. Nak beritahu takut terasa, tak beritahu kitalah kena hidu bau selama bercakap dengan dia.

ok, nak masuk topik kita pada hari ini. Kita semua ada kawankan? Ke ade yang takde kawan. Mustahila tu kan.. Kita makhluk Allah yang dicipta untuk hidup secara berkumpulan. Ok dah cukup melelong dah. Suka tak bila dapat kawan kita yang ‘faham-faham’ je apa yang kita nak dan ‘faham-faham’ je apa yang kita nyampah?? Maksudnya, kawan kita faham kita tanpa perlu kita beritahu dia pun.. Mesti sukakan? Terus je jadi kawan baik. Boleh jadi sahabat lama pulak tu.

Tapikan, kita semua (penulis dan kawan-kawan yang sudi membaca tulisan dimutiarajannah ini) ada sahabat yang paling faham dan mengetahui tentang diri kita. Ha, sapa? sapa?. Takkanla tak boleh teka kot.. Allah la. Kan Allah sangat tahu dan faham mengenai diri kita.

Allah yang cipta kita. Allah yang letak kita didunia. Allah yang bagi kita Al-Quran. Allah juga yang mengutuskan Rasulullah s.a.w untuk kita. Allah tahu kita lemah kat mana. Allah tahu kita kuat kat mana. Kerana itu Allah tidak biar kita hidup terkontang kanting atas dunia ini tanpa petunjuk dari-Nya. Allah sangat memahami kita.

Tapi adakah kita menghargai segala kasih sayang Allah itu? Baca Quran pun malas. Apalagi nak buat ‘benda’ lain yang lebih-lebih lagi menuntut pengorbanan masa dan hawanafsu kita yang tidak pernah puas itu. Kalau kawan yang memahami kita, bukan main lagi kita hargai dan berterima kasih, tapi pada Allah?? Apa yang kita buat untuk berterima kasih??

Malu sangatkah untuk menyatakan kita sangat rindu untuk bertemu Allah? Atau bagaimana mahu kita nyatakan begitu kerana kita lebih rindukan ‘benda-benda/orang’ selain Allah. Oh, susah betul nak menyintai Allah? iye la sebab kita tak nampak Allah.. HA? jangan la bagi jawapan macam ni. Memang kita tak boleh nampak zat Allah, tapi kasih sayang Allah TELAH TERBUKTI!.

Semuanya Allah bagi. Segala-galanya Allah faham mengenai kita.. Allah tahu kita akan tersesat tanpa panduan, Allah beri kita Quran dan Rasulullah s.a.w. Allah tahu kita tak nampak bisikan syaitan yang sentiasa mahu merosakkan kita, maka Allah kasi kita tahu dalam kitab pemberian-Nya. Allah tahu kita manusia tidak sama dari segi kekuatan, maka Allah telah janjikan ujian itu setakat yang kita mampu tanggung. Allah tahu kita tidak tahu mengenai hari Qiamat, maka Allah khabarkan pada kita betapa hari itu tetap akan datang.

Allah tahu kita lemah, kerana itu Allah selalu suruh kita berdoa. Allah tahu kita bukannya baik sangat, Allah buka pintu taubat seluas-luasnya. Tapi kita! berapa liter, meter persegi, atau meter padu kah kasih sayang dan penghargaan kita pada Allah??? Sanggup kita melakukan macam-macam dosa tanpa rasa bersalah langsung. Dan yang lebih best lagi. tak tahu pun perkara yang kita lakukan itu telah mengundang kemurkaan Allah. Aduh malang sekali menjadi hamba yang tak tahu bersyukur.. Siapalah kita untuk terlalu sampai hati menjadi manusia yang ingkar pada Allah, yang telah memberikan segala-galanya pada kita kerana fahamnya DIA tentang siapa hamba ciptaan-Nya

Isnin, 26 Julai 2010

Sabo je le

Hai kawan-kawan, hari ini mutiara bd nak mengamuk.. ngeh-ngeh hehe (muka macam harimau dah ni). Jangan lah terkejut ye. Manusiakan ada macam-macam jenis.

Ada yang menyenangkan hati, ada yang menyusahkan hati, menyakitkan hati, memanaskan hati, menyejukkan hati.. dan pelbagai jenis lagi..

Apa-apa pun jenis manusia, sabar je la. Walauapa pun jenis manusia itu kawan saya, saya tetap akan terima dia. Dan ajak dia sama-sama jadi macam yang Allah suruh. Biarlah dia itu degil macam batu gunung, GARANG macam singa betina, tidak bertimbang rasa macam orang tak de perasaan.. yang penting, mutiara bd sayangkan kawan mutiara bd sebagaimana yang Allah suruh..


LOVE.LOVE.LOVE.LOVE

Sayang tu macam mana? Sayang itu, ajak dia sama-sama kenal Allah.. Lama-lama, garang dan degil dia itu akan hilang. Cayalah. Dah banyak manusia berubah kerana imannya pada Allah. Baiiiiiiiii ^ _^

Jangan lupa tujuan hidup kita..

Sabtu, 24 Julai 2010

eih! jangan buat bising..

eiii kerja sudah datang.. buat kerja. jangan buat bising la. Semua orang pun banyak kerja kan.

kerja

kerja

kerja

kerja

kerja


buat tak tahu sudah. kadang-kadang orang ni memang saja nak test power..

Jumaat, 23 Julai 2010

Hipokrit

Aku tak nak hipokrit. Biarlah aku menjadi diri aku yang sebenar. Buat apa aku tunjuk baik, padahal hati aku memberontak.

Aku rasa terseksa menonjolkan diri sebegini sekian lama. Biarlah aku menjadi diri aku. Kamu semua tidak tahu dan lansung tidak memahami perasaanku selama ini.


Biarlah aku menjadi diri aku yang sebenar. Apa guna berlaku baik jika tidak ikhlas.

(Rasa macam nak buat tulisan kat atas tu lebih menyenggeng sehingga terbaring)


Hehe.. Banyak jugak pengakuan sebegini yang penulis selalu dengar. “How dare” orang-orang yang bercakap begini untuk berkata dengan kata-kata yang sama dihadapan Allah diakhirat kelak?

Sanggupkah kita bercakap didepan Allah, di mahkamah Allah nanti (of course), “aku tak nak berpura-pura baik dihadapan manusia kerana aku sebenarnya tidak baik dan ENgkau ya Allah mengetahui akan hal itu”..

Ganjaran bagaimanakah yang kita harapkan dari Allah dengan pengakuan berani seperti itu?

Atau kita mahu akui pada Allah bahwasanya, aku telah berusaha menjadi baik, walaupun hati dan nafsu syahwatku memberontak untuk aku melawan sebaliknya..

Tiada apa-apa yang mahu penulis ulas. Fikiran dan kemampuan aqal manusia mampu menjelaskan segalanya. Jika dia mahu beriman.

Rabu, 21 Julai 2010

Tudung labuh saja!

Pernah dengar tak orang cakap macam tajuk kat atas tu?? Penulis selalu dengar. Bukan itu sahaja keluhan yang penulis dengar.. Keluhan-keluhan tidak puas hati pada orang yang nampak macam ‘baik’, tapi berkelakuan dengan kelakuan yang mengecewakan..

Kadang-kadang kita sibuk menunding jari pada orang. Kita lupa pada diri sendiri. Salah orang yang nampak macam ‘baik’ itu betapa kita besar-besarkan.. tetapi jika kesalahan itu kita yang lakukan, atau orang yang nampak macam ‘tak berapa baik’ lakukan, kita hanya pandang enteng..

Walhal, Islam itu diturunkan untuk semua. SEKALI lagi diulang, ISLAM ITU UNTUK SEMUA. Pernahkah Allah cakap undang-undang Islam itu hanya untuk ummat Islam? Apalagi kalau kita ini mengaku kita seorang Islam. Berakhlaq baik dan tidak melakukan maksiat bukan suruhan Allah pada orang bertudung labuh/berkopiah sahaja.. Betul tak? Jadi adalah tidak berapa baik dan sopan (kepada Allah), apabila kita cakap: 

“Eh kenapa si fulan tu mengumpat?? Dah la pakai tudung labuh.. Aku takpelah ngumpat.. Memang cara hidup aku macam ni. Lagipun, aku takla pakai tudung labuh macam fulan tu”

(Mengumpat itu tidak dibenarkan. Labuh ke singkat tudung, tiada sesiapa diberi keistimewaan untuk mengumpat kecuali yang telah disenaraikan dalam syara’)

atau 

“Eh, dia takpala jadi imam setiap kali waktu solat. Diakan hafiz.. Aku bukan hafiz, buat apa aku pulak kena jadi imam setiap kali solat”

(Sesiapa sahaja yang sudah cukup syarat jadi imam boleh je jadi imam)

atau 

“Biarla dia bagi tazkirah, diakan budak baik. Semua orang dah tahu. Kalau aku, tak sesuai bagi tazkirah dengan muka macam ni”

(Tugas memberi peringatan adalah tugas setiap orang beriman, bukan ikut kesesuaian muka)

atau 

“Kita takpe lah nak g tempat macam ni, kita bukannya hafal Quran. Diorang tu mana boleh, nanti rosak iman dan hafazan”

(tempat-tempat yang telah diketahui dengan kemaksiatan yang berlaku hendaklah dijauhi oleh sesiapa pun; kecuali dia datang dengan tujuan menyuruh yang baik dan mencegah yang buruk serta tidak turut serta dalam perbuatan maksiat yang dilakukan)

Wahai kawan-kawan sekalian, baik yang memakai tudung, jubah, kupiah, kain pelekat, tali leher, baju kurung, kebaya, seluar ketat, seluar pendek dan apa pun pakaian yang kita pakai; syariat Allah tetap sama ke atas sesiapa sahaja yang mengakui dirinya hamba Allah tiada pengecualian.

Isnin, 19 Julai 2010

bohong sikit takpa..

Haiii sapa cakap bohong sikit takpa?? Ha, itu bunyi orang Penang cakap.. Kalau orang Kelantan cakap “Tokleh kecek nawok”.. Bakpo tokleh kecek nawok??-Kenapa tidak boleh bercakap bohong? Kerana Rasulullah s.a.w tak kasi lah.. Rasulullah s.a.w tidak benarkan kita bercakap bohong..

Kalau kita iktiraf cakap bohong boleh, maka kita mengiktiraf ajaran Syiah.. Kawan-kawan tahu Syiah bagi penganutnya cakap bohong? Siap termasuk dalam ajaran lagi (maksudnya bohong itu DIANJURKAN dalam syiah).

Dan hendaklah kawan-kawan tahu, AQIDAH SYIAH itu TIDAK SAMA dengan AQIDAH AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH.. Nak tahu lebih mengenai SYIAH?? Nanti kalau rajin penulis kongsi ye. Ni kita sambung pasal cakap bohong.

Bercakap bohong hanya dibenarkan dalam beberapa situasi iaitu:
  • Mendamaikan dua saudara yang sedang bergaduh
  • Mendamaikan pertelingkahan suami isteri
  • Dalam peperangan (ini ada contoh dalam perang Ahzab –nak tahu ceritanya.. haaa, rajin-rajinla baca buku ye)
Lain-lain situasi HARAM bercakap bohong. OPS, siap buh haram lagi. Ha’a la.. Dah memang haram bercakap bohong. Maksudnya apa-apa pun situasi kita, hendaklah bercakap benar. Apalagi kita nak berguraukan? Banyak cara boleh bergurau. Rasulullah pun bergurau.. Tapi Rasulullah s.a.w tidak berbohong.. Jom kita tengok contoh yang ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w :

Ada sorang perempuan tua datang berjumpa RAsulullah s.a.w “Wahai Nabi Allah, doalah supaya aku dapat memasuki syurga”. Kata RAsulullah s.a.w “tiada perempuan tua masuk syurga” . Apalagi, menangislah wanita tua tersebut.. Kemudian Rasulullah menerangkan; bahawasanya, manusia akan memasuki syurga dalam keadaan muda remaja..

Hehe.. Lucukan? ^_~ Kawan-kawan faham tak gurauan ini? Ha, inilah gurauan yang dibenarkan.. Ok itu sahaja untuk hari ini. Semoga hari kita lebih ceria dan indah kerana nikmat IMAN dan ISLAM yang Allah beri.

Ahad, 18 Julai 2010

Cubalah baca ni

Kawan-kawan pernah baca tulisan Hilal Asyraf?

Memang best tulisannya. Berisi dan penuh dengan nasihat.. Salah seorang dari penulis muda yang tengah bekerlipan..

Cuba baca apa dia tulis ni: tekan sini

Hmm, usaha dan terus usaha, baiki dan terus baiki walaupun dah tersalah banyak kali.. Jangan putus asa. Terima kasih kepada kawan-kawan yang sangat memahami.

Sabtu, 17 Julai 2010

Kata caya hari qiamat!

HAi kawan-kawan sekalian! Apakabar semua?? Sihatkah kawan-kawan? Kalau sakit pun harap-harap iman kita sihat.. Hari ini sudahkah kita membaca Al-Quran?.. Banyak ayat Quran menceritakan perihal hari Qiamatkan.

Jom kita ulangkaji rukun iman kita. apala penulis ni kan, itu benda simple camtu pun nak ulangkaji. Sebenarnya, mengingati benda yang kita anggap ‘simple’ inilah akan menyebabkan hidup kita yang kompleks ini jadi simple dan senang..

Jom kita teruskan bacaan..
  1. Pertama percaya pada Allah, 
  2. Kedua percaya Rasulullah, 
  3. Ketiga percaya malaikat.. 
  4. Keempat percaya kitab-kitab, 
Eh kenapa ni? Rasa pelik ke?? (Hehe saja test power, nak tengok kawan-kawan perasan ke tak), buat terbalik sikit..
  1. percaya malaikat kedua, 
  2. percaya kitab-kitab ketiga dan 
  3. percaya kepada Nabi dan rasul keempat 
  4. manakala kelima percaya hari akhirat dan 
  5. keenam percaya Qadha dan Qadar..

Hari kiamat ada banyak nama. Dulu masa kecik, penulis ingat penulis kena hafal 10 dari berpuluh nama hari Qiamat.. Agak-agak kawan-kawan ingat berapa??

Antara nama lain hari Qiamat:

Hari Akhir,
Hari pembalasan,
HAri penyesalan (nadamah)
Hari kemusnahan (taghabun)
Hari gempa bumi dahsyat (zalzalah)

Laaa, dari 10 yang kena hafal dulu, separuh je yang penulis ingat. Kawan-kawan ingat lagi tak yang lain-lain?.. Kongsi la ye. Jangan simpan sorang-sorang. Ilmu kan untuk disebar.


Pada hari Qiamat, manusia akan menyesal, sedih, kecewa dengan perbuatan yang dia lakukan didunia. Kita la manusia. Maksudnya, kitala yang akan menyesal tu. Pada hari Qiamat segala perbuatan kita akan dinilai dan dihukum seadil-adilnya. Pada hari Qiamat, DUNIA akan musnah..

MAcam mana suasana kita di Padang Mahsyar?? kita akan jadi sebagaimana kita beriman kepada hari tersebut semasa kita masih di dunia..(adakah kawan-kawan memahami maksud ayat yang berbelit ini? Baca slow-slow okay)

Ni nak bersajak tapi tak jadi

Kita kata kita beriman hari Qiamat,
Tapi bila buat salah,
Tak pernah rasa nak bertaubat..

Kata beriman hari Akhirat,
Bila dah rasa nak bertaubat,
Bertangguh-tangguh pulak dari bertobat..

Kata beriman hari Qiamat,
Bila orang buat salah,
takde rasa nak maaf..

Kata beriman hari Qiamat,
Nak buat baik lambat,
Takut untung tak dapat..

ok, setakat itu dahulu.. Jumpa lagi. Semoga Allah beri kita hidayah-Nya..

Khamis, 15 Julai 2010

Apa itu maksiat

Hai kawan-kawan. Apakabar hidup sekarang? Bahagiakah, sedihkah.. Walau apa pun perasaan kawan-kawan, ingatlah Allah sentiasa bersama dengan hamba-Nya. Lebih dekat dari urat tengkok (hai, rasa kelakar pulak eja macam tu, sebenarnya 'tengkuk' kot, leher la ok sikit)..

Selalu kita dengar orang sebut: Jangan buat maksiat..

Perasan tak, kita selalu sinonimkan perkataan maksiat dengan perbuatan apa?? Selalunya penulis dengar perkataan maksiat digunakan untuk perbuatan berdua-duan antara lelaki dan perempuan tanpa teman..

Rasanya betul tak penggunaan perkataan ini? Hehe.. jengjeeeenggg.. Tah hape-hape tah. Skema betul nak cakap pasal penggunaan perkataan maksiat pulak dah.. Sebab apa? Sebab nanti orang ingat maksiat tu “benda tu” je (seperti yang tertulis di atas).

Maksud maksiat: penderhakaan. Kalau “asi”: orang yang menderhaka..

Kalau kamus melayu, derhaka itu bermaksud tidak taat, menentang dan melawan. Jadi, apa sahaja perbuatan yang menentang, melawan atau berbau tidak taat pada Allah; maka itu adalah maksiat. Pening tak??

Ok, mari nak tulis semula. Jom kita baca balik. Maksiat adalah penderhakaan atau perbuatan tidak taat, melawan dan menentang.. Derhaka pada siapa?? tidak taat pada siapa? Melawan dan menetang siapa??? pastilah Tuhan Sekalian Alam..

Haa, kan berat dan bahaya maksiat itu? Kadang-kadang kita sembang ‘besa’ je sebut
 “aku nak buat maksiat”..
“EH terbuat maksiat pulak”.. 

Sebab kita tidak tahu maksudnya..

Kalau nak bergurau “aku nak jadi anak derhaka” pasti tak sanggup kan?. Nak sebut pun tak berani, betul tak.. Tapi sebab kita tak berapa perasan maksud maksiat itu menderhaka pada Allah, maka kita sewenang-wenangnya buat gurau perkataan tersebut.."Aku nak buat maksiat kejap”.. Cuba tukar jadi  “Aku nak derhaka pada Allah kejap”.. Itukan sangatlah ‘daring’.?!

Derhaka pada ibubapa pun kita tidak berani, inikan pula TUHAN kita dan TUHAN ibubapa kita.. Boleh ke kita nak buat main-main dan bergurau?? Oh, takutla..

Semoga celik dunia, celik juga akhirat.. Sebab hidup di dunia ini adalah untuk kebahagiaan Akhirat.

Selasa, 13 Julai 2010

Kenyataan yang selalu diabaikan

"Semasa mereka semuanya dibangkitkan hidup semula oleh Allah (pada hari Qiamat), lalu diterangkan kepada mereka segala yang telah mereka kerjakan. Allah telah menghitung amal-amal mereka satu persatu, sedang mereka telah melupakannya. Dan ingatlah, Allah MENJADI SAKSI akan tiap-tiap sesuatu".
Surah Al-Mujadalah: 6
 Pertama:
Jika perbicaraan dunia hanya itu dilihat tidak dapat memberikan apa-apa manfaat, maka sedarlah usaha kita itu yang akan dikira di akhirat kelak. Ia tetap memberi manfaat di akhirat kelak.
Kedua:
Jika kita tidak mampu membiayai/menghadapi perbicaraan di dunia untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya, janganlah bersedih hati kerana Allah telah menjanjikan perbicaraan seadil-adilnya di mahkamah akhirat kelak.

Firman Allah lagi:

"Maka sesiapa yang berbuat kebajikan sebesar zarah (atom), nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarrah pun, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)"
Surah Al-zalzalah: 7 & 8

Apa sahaja yang kita buat, pasti Allah kira. Amal baik kita tidak akan disia-siakan Allah. Begitu juga amal buruk kita, TIDAK DIPANDANG KECIL oleh Allah..

Jadikanlah tiga ayat suci AQ ini sebagai motivasi melakukan amal soleh dan pengawas dari melakukan maksiat.

Ahad, 11 Julai 2010

Iskandar Zulqarnain

Ayat 86, 87, 88, 89, 90, 91. Surah Kahfi (Kalau nak tadabur, rajin-rajin bukak Quran ye kawan-kawan).

Ayat-ayat ini pulak menceritakan perjalanan Zulqarnain ke barat dan timur dunia. Apa yang dia buat dengan tempat yang telah dia pergi. Kalau nak hurai macam Prof. Dr. Hamka hurai, memanglah panjang, cuma penulis boleh kasi salah satu dari point penting yang penulis dapat bila baca tafsir tulisan beliau.

Iskandar Zulqarnain ini pemimpin hebat tapi dia tidak takabur. Walapun dia dapat menguasai Timur dan barat, dia masih menurut perintah dan hukum Allah. Siap dapat penghormatan lagi daripada Allah. Iyalah, dah Allah cerita dalam Quran. Maksudnya, semua orang boleh tahu cerita dia.. Kehebatan pemerintahan Iskandar Zulqarnain.

Takdelah pulak Iskandar Zulqarnain beria-ria kempen kat rakyat pimpinan dia; 1 Timur ke, 1 Barat, walaupun dia dah sampai timur dan barat. Itulah pemimpin hebat, pemimpin contoh. Dia cuma menegakkan syariat Allah di mana dia sampai.

Sabtu, 10 Julai 2010

Saya TERkena PUKAU

Kawan-kawan selalu tak dengar orang kena pukau?? Ops salah pemilihan perkataan.. Bukan s.e.l.a.l.u tapi ‘pernah’ tak??

Pukau itu bermaksud:

mengenakan, memperdaya, mengakali, menipu, memikat hati, mempesonakan, mengagumkan

atau pun

TERpukau bermaksud:

tertidur (mabuk) kerana kena pukau, terpedaya, tertipu, terpesona

Itu maksud pukau yang penulis semak dalam kamus dewan eja pro yang ada dalam laptop penulis. (Takde pun maksud yang penulis nak –kecewa-).

Sekarang dah nak bukak cuti sekolah dah.. Penulis sangatlah bimbang diri penulis yang mudah sangat terpukau ni. Terpukau dalam kelas! Kueng-kueng.

Inilah definisi terpukau yang penulis nak: 

Apabila pensyarah masuk dalam kelas, mula membuka power point presentation dan syarahan.. tiba-tiba TERPUKAU.. dan akhirnya sedar apabila pensyarah berkata “ok, ini slaid yang terakhir”.. Bila tengok kertas catitan, wah penuh macam-macam notes ada.. tapi tak pasti apa sebenarnya yang dah dipelajari.

Semoga dengan kembalinya semester baru, penulis tidak akan TERpukau lagi.. Dan penulis harap tiada kawan-kawan penulis yang turut sama TERpukau macam penulis.

Selamat menumpukan perhatian. Dan menjadi proaktif dalam kelas. Bukan kerana mahu pointer tinggi, tetapi untuk mendapatkan keberkatan ilmu, supaya ia tidak sia-sia. Keberkatan ilmu itu apabila kita dapat mengamalkannya.

Jumaat, 9 Julai 2010

Berbasa basi

Beberapa hari lepas penulis ada terbaca (terbaca? bukan terbaca dah tu, memang sengaja baca) tafsir surah kahfi. Surah ni panjang. Tapi tak sepanjang surah Baqarah. Setengah juzu je panjangnya. Dalam juzu 15. Surah tengah-tengah Quran lah kiranya. Surah kahfi ni best tau. Sebab? Banyak cerita Allah cerita pada kita. Antaranya:
  • Cerita Nabi Muhammad Isra’ Mi’raj, 
  • cerita Nabi Musa jumpa Nabi Khidir, 
  • Cerita Iskandar Zulqarnain, 
  • Cerita Ya’juj Ma’juj dan 
  • halamaks lupa pulak cerita paling penting dalam surah ni; Cerita pemuda kahfi!. Memang seronok tau baca Quran. (eleh macam orang lain tak pernah baca Quran pulak).
Pernah ke berhenti baca Quran sebab nak termuntah bosan? Berhenti baca Quran hanya ada beberapa sebab:
  • Nak kena siapkan kerja lain pada masa itu, atau 
  • tempat tersebut adalah tempat terlarang untuk baca Quran. 
Lain-lain sebab tiada. Baca saja pun best, apa lagi kalau tadabur Quran. Aiseh, udah melalut ni (macam mana la nak buang perangai yang suka melalut dan melencong ni??).
Sebenarnya nak cerita salah satu dari banyak-banyak kisah benar yang Allah cerita pada Rasulullah dalam Quran dari Surah Kahfi itu. Kisah Iskandar Zulqarnain. Ialah, sapa tak pernah dengar nama Zulqarnain? Maksud namanya: Yang punya 2 tanduk.

Cerita Zulqarnain bermula dari ayat 83 Surah Kahfi. Allah mulakan cerita dengan

“Dan mereka akan bertanya kepada engkau darihal Zulqarnain. Katakanlah: Aku akan bacakan kepada kamu darihal itu suatu ingatan”.
Kemudian Allah sambung:

“Sesungguhnya Kami teguhkan dia di bumi dan telah Kami berikan kepadanya tiap-tiap sesuatu akan jalan. Maka diambilnya satu jalan”. Ayat 84-85.

Kami teguhkan dia di bumi - Kata prof Dr. Hamka dalam tafsirnya, berjudul Tafsir Al-Azhar; menunjukkan Iskandar Zulqarnain adalah seorang Raja atau Penguasa. Dia ada kepimpinan dan pemerintahan yang stabil. Pemimpin hebatlah kiranya.

Kami berikan kepadanya tiap-tiap sesuatu akan jalan. Maka diambilnya satu jalan – Dalam banyak-banyak jalan menuju kejayaan Zulqarnain memilih satu jalan. Kemudian dia menyusun strategi untuk menuju kemenangan.

Ok, cukup panjang dah.. Nanti sambung lain kali.

Rabu, 7 Julai 2010

Compliment

Suka tak tengok orang jadi baik? Siapa tak suka kan.. Penulis memang bahagia betul kalau tengok orang yang sedia taat pada Allah menjadi lebih taat pada Allah. Atau orang yang dahulunya kurang baik tapi sekarang jadi masya Allah, dua kali baik.. Alhamdulillah.

Bukannya nak cakap penulis ini baik sangat. Tahu penulis ini pun bukanlah dalam kategori baik sangat pun; tapi bila jumpa orang yang berubah menjadi lebih baik ini akan jadi sumber inspirasi untuk penulis berubah lebih baik sebagaimana mereka..

Kan bahagia bila hidup kita dikelilingi orang yang berlumba-lumba mendapatkan kasih sayang Allah.. Alangkah dahsyatnya hidup, bila orang sekeliling berlumba buat maksiat. Bukan sahaja menempah kemurkaan Allah, hati kita pun tidak tenang. Baik yang melihat, mahu pun yang berbuat.

Semoga terus menjadi baik dan mengekalkan kebaikan anda semua. Selamat beribadah.

Isnin, 5 Julai 2010

Surat cinta

Surat cinta patutnya tulis pada orang yang sepatutnya baca sahaja. Tapi sebab tidak boleh berbuat demikian, maka penulis hantarkan dalam blog ini. Orang yang penulis mahukan dia membaca surat ini, mungkin tidak akan membaca selagi tiada orang yang memberitahu surat ini untuk dia. Siapa makan gula dialah terasa manisnya (tukar sikit peribahasa Melayu asal; siapa makan cili dia terasa pedas).

            Kawan,
Tujuan kita dihidupkan didunia ini, sama sahaja
Beribadah kepada Allah..
Indahnya aqidah kita kerana ia jelas dan mudah
Indahnya ajaran agama kita kerana ia mudah dan ringkas
Aqidah kita, Allah itu Tuhan yang layak disembah
Ajaran agama kita; semuanya sejalan dengan fitrah

          Kawan,
Tika aku diuji, kamu beri peringatan,
Peringatan itu sangat aku hargai,
Tika kamu diuji, aku rasa bertanggungjawab,
Aku sangat berharap kamu sedar..

          Kawan,
Mungkin kita pernah tersalah cara,
tidak mengapa, Allah Maha Pengampun.
Kita betulkan cara,
Biarlah apa pun manusia kata..
Yang penting Allah tahu segalanya.

         Kawan,
Maafkan aku, kerana aku memilih cara ini,
Aku rasa hanya ini cara terbaik untuk aku memberitahu
Ini sahaja jalan yang tidak menempah lebih banyak dosa tidak sedar..
Semoga kamu kembali kepada fitrah..

         Kawan,
Aku tidak perlu pada pengakuan penyesalan kamu..
Itu urusan kamu dan Allah,
Yang penting kamu berusaha menuju redha Allah,
Kita bersama-sama menuju redha Allah,
Itu sudah cukup dan sangat bererti.

Wahai kawan, silalah baca dengan hati yang terbuka. Terima kasih. Aku tidak menginginkan apa-apa dari kamu. Aku hanya mahu kita sama-sama mendapatkan keredhaan Allah.

Sabtu, 3 Julai 2010

Jangan sombonglah

Setiap lokaliti ada penyakit tertentu yang biasanya tersebar.. Ia bergantung pada genetic, iklim, tabiat pemakanan dan permukaan bumi yang wujud disekitarnya.

Ada juga penyakit yang tersebar kerana disebarkan syaitan. Dan tidak syak lagi, itu adalh penyakit syaitanlah..

Kata Dr Hafidzi, penyakit yang ada pada syaitan dan mereka mahu ia juga ada pada manusia adalah TAKABUR (aku lebih baik dari kamu). Dan penyakit takabur itu boleh diterjemahkan dalam bentuk asabiyah.

Kerana itu seruan pada Allah tidak memilih kaum. Sesiapa sahaja boleh diseru dan diajak kepada Allah.

Banyak lagi wajah-wajah takabur lain yang boleh kita kesan dalam kehidupan seharian. Kadang-kadang, kita tidak menyedari bahawasanya kita telah pun takabur kerana kita tidak kenal apa itu takabur. Maka kenalilah bentuk-bentuk takabur.. Ia mungkin terlahir melalui lidah, perbuatan dan hati.

COntoh paling senang: Mana ada orang lain dah boleh buat macam aku? Siapa lagi yang boleh buat macam aku kalau mahu dibandingkan dengan orang sertaraf.. atau kenapa tegur saya? kan ramai lagi manusia lebih jahat dan jahil dari saya?

Astaghfirullah.. Tak tahu rupanya kita pernah takabur.. Semoga dengan kenalnya kita pada sifat takabur ini akan menjauhkan kita dari melakukannya. Insya Allah.

Nota kaki: Ujub dan takabur adalah perkara berbeza. Ujub adalah merasa kagum dengan kelebihan diri sendiri manakala takabur merasa diri lebih hebat dari orang lain.

Entri terkenal