Selasa, 17 Februari 2009

O-OO POM! pecah dah..

Apabila melihat orang lain ditimpa musibah atau masalah, terasa beratnya dia menanggung perkara tersebut. Pelbagai cara kita cuba untuk meringankan bebannya.

Teori yang dipelajari mudah sahaja. Jika ada orang kesusahan kita mestilah membantu apalagi saudara seislam. Tapi adakah semudah berteori untuk mempraktikkan? Hmm soalan yang tidak sepatutnya ditanya. ye tak? Memanglah berteori itu mudah, dan mempraktikkan itu jauh lebih sukar.

Jika kita yang ditimpa ujian, bagaimanakah cara kita menanganinya? Sebagai contoh, setelah selain berbagai-bagai cara digunakan untuk mendapatkan sesuatu yang sangat kita idamkan, akhirnya, tibalah masa kita menerima suatu kenyataan bahawa sesuatu itu tidak layak menjadi hak kita.

Bagaimana mahu menerima kenyataan? Bagaimana kita mahu menerima suatu kenyataan ‘yang kita rasa kenyataan itu bukanlah kenyataan untuk kita’ ? Mudah sahaja kita berkata dengan memetik ayat Quran surah Al-Baqarah ayat : 216

“..boleh jadi apa yang kamu tidak senangi itu baik bagi kamu dan boleh jadi apa yang kamu senangi itu tidak baik bagi kamu..”

Jika diri kita itu adalah orang yang masih belum merasai kemukjizatan Al-Quran, masih belum nampak dengan jelas bahawa Al-Quran itu kata-kata dari Sang Pencipta adakah semudah “itu” untuk kita menerima dan menghayatinya?

Kata-kata itu seolah-olah boleh dilafazkan oleh sesiapa sahaja. Seolah-olah ia tiada harga dan murah sekali. Betul ke seolah-olah ini?

Akan tetapi ayat itu menjadi sangat berharga dan bermakna jika kita tahu dan benar-benar menghayati, bahawasanya ayat itu diturunkan oleh Tuhan Yang Maha Mengetahui segala rahsia di langit dan dibumi. Bukan sahaja yang terang malah yang tersembunyi. Tuhan yang Maha Pengasih, Maha Penyayang berkata begitu kepada kita.. Jadi, apalah beban sangat sebuah masalah itu jika ingin dibandingkan dengan pujukan dari TUHAN kita yang Maha Suci..

Kawan-kawan, ingatlah segala perkara yang kita anggap masalah itu sudah tentunya ada penyelesaian. Dia yang ‘menganugerahkan’ masalah itu kepada kita. Sudah tentu Dia juga mempunyai penyelesaiannya. Jadi pintalah penyelesaian itu dari-Nya. Dia Maha Mendengar, Dia menyukai hamba-Nya yang merintih dan mengadu kepada-Nya..

Janganlah kita merasa lemah dengan masalah kita yang bertimbun atau beban kita yang berderet-deret, kerana itulah kerja kita.

KERJA KITA:

  1. Mengumpul segala kekuatan, mengaut segala ilmu,
  2. menambah sebanyak-banyak iman,
  3. menyelesaikan kesemua tugas dan masalah,
  4. agar kita menjadi salah seorang dari hamba-Nya yang berjaya dengan CEMERLANG. Cemerlang kerana mendapat keridhaan-Nya..

Ayuh, kita bersama menguatkan semangat, teruskan perjuangan, selesaikan segala tugas, hadapi segala masalah, moga Allah memberkati segala-galanya.

p/s: ni sebenarnya tengah berpesan dengan diri sendiri ni..

Tiada ulasan:

Entri terkenal