Sabtu, 3 September 2011

Kalau ceritalah

Assalamualaikum pembaca semua..

Semoga sentiasa setia di sisi Allah.

Sebelum memulakan cerita, suka penulis mahu kongsikan MUGI hari ini. Bagi yang ketinggalan maksud MUGI boleh lah kliksini.

MUGI hari ini:
Sila berzikir beribu kali jika terfikir perkara jahat dan tidak lojik tentang sahabat dan ahli keluarga. Insya Allah berkesan menolak maksiat fikiran [sangka buruk]. Bunyi seperti ekstrem, tetapi inilah hakikat yang telah terbukti kesan baiknya pada iman.

Baiklah kisah yang mahu diceritakan adalah kisah Fatimah binti Rasulullah.

Alkisahnya.

Siapakah yang masih tidak kenal anak perempuan Rasulullah ini? Jika ada yang masih tidak kenal, mungkin kisah yang bakal dicoret menjadi permulaan untuk anda mengenalnya.

Bagi yang sudah kenal, maka anggaplah cerita ini sebagai ulangkaji dan tazkirah. Alhamdulillah !

Fatimah adalah salah seorang dari 4 anak perempuan Rasulullah. Ketika wahyu pertama turun, Fatimah masih kanak-kanak. Dia sempat menyaksi dan melalui pelbagai siksaan orang kafir Quraisy terhadap ayahnya, Nabi Muhammad s.a.w.

Fatimah telah berkahwin dengan Ali bin Abi Talib [sepupu Rasulullah s.a.w]. Ali bukan orang kaya macam Abdul Rahman dan Abu Bakr r.a. Maka maksudnya, Fatimah dan Ali bukanlah keluarga berada dan senang.

ok, kalau cerita macam 'tu' sahaja, kita tidak dapat 'feeling' sebenar. Maka dengan penuh semangatnya penulis mahu menerangkan sedikit suasana sebenar, walaupun tidaklah tepat sebagaimana yang berlaku.

Bayangkan, Ali dan Fatimah berkahwin di Madinah, selepas peristiwa hijrah.

Hijrah zaman itu bukan nya bermusafir macam sekarang. Ada hentian yang cukup dengan segala kemudahan dan kelengkapan. Jika bermusafir di negara kita, suhunya rendah dan tidak panas. Pemandangannya indah sekali. Sawah padi, pokok, bangunan dan pelbagai kecantikan alam..

Hijrah di zaman Rasulullah itu bermaksud, berjalan di tengah padang pasir, tiada hentian seperti PLUS, tiada jalan bertar dan pemandangan cantik. Panas, berangin dan berdebu. JIka tiba di Madinah pun, tiada hotel-hotel sebintang atau dua bintang. Apatah lagi hotel 5 bintang.

Hijrah juga bermaksud meninggalkan kampung halaman tanpa pasti akan kembali. Sedang kita bermusafir, masih ada harapan untuk kembali..

Berhijrah juga bermaksud meninggalkan segala harta dan keluarga. Sehelai sepinggang, jika ada bekal pun, hanya cukup untuk sepanjang perjalanan.

Jadi, boleh kah membayangkan betapa bagaimana keadaan Ali dan Fatimah semasa berkahwin? Tiada mas kahwin berjumlah pelik-pelik. Tiada upacara-upacara pelik seperti silat dan bersanding. Tiada makanan mewah dan mahal. Apatah lagi kehidupan selepas perkahwinan. Tiada istana tinggi dan megah. Tiada kenderaan impot dan besar. Kehidupan mereka susah. Tiada orang gaji. Menguli dan menggiling gandum di lakukan sendiri oleh Fatimah.

Bayangkan..
Dizaman itu mana ada mesin canggih dan cantik untuk membantu proses menguli dan menggiling gandum.. Betapa setiap hari Fatimah perlu melakukan kerja berat untuk menyediakan makanan untuk keluarga. Sudah lah anak sulung dan anak keduanya lelaki. Hassan dan Husin, cucu kesayangan Rasulullah s.a.w.

Jika dilihat zaman sekarang, duduk dirumah menjaga anak pun sudah penat walaupun kerja rumah telah diselesaikan pembantu.. Inikan pula Fatimah, melakukan kerja menggiling gandum dan menguli tepung.

Pada suatu hari, ketika Ali k.w.j pulang ke rumah, dia telah melihat Fatimah tertidur kepenatan sedangkan dia masih belum siap melakukan kerja-kerja hariannya. Kasihankan?.. Letih buat kerja sehingga tertidur.

Oleh sebab itu, Ali menyuruh Fatimah untuk cuba meminta dari Rasulullah, seorang hamba [hasil tawanan perang] untuk di jadikan pembantu rumah. Kerana Ali tidak punya kewangan yang banyak untuk menggaji pembantu rumah.

Walaupun Fatimah sudah ke rumah Rasulullah, tetapi rupanya Fatimah sangat malu untuk meminta sebagaimana yang dicadangkan Ali.

Akhirnya, mereka pergi bersama.

Ali pun menerangkan kesempitan hidup dan kesusahan mereka dalam urusan rumah tangga.

Pendek cerita, Rasulullah tidak mengabulkan permintaan mereka, tetapi telah berkata:
"Mahukah kamu, aku berikan yang lebih baik dari seorang pembantu rumah?"

Maka pastilah Ali dan Fatimah mahu.

Rasulullah pun mengajarkan mereka; subhanallah, alhamdulillah, Allahu akbar 33 kali sebelum tidur. Serta bacaan surah An-Nas, Al-Falaq dan Al-ikhlas, 3 kali setiap surah.

Sesungguh Allah dan Rasul sangat tahu yang terbaik buat kita.

Banyak pengajaran.
Tapi yang paling terkesan di hati penulis adalah, bagaimana zikir tersebut boleh meringankan beban dan menjadikan kita sangat kuat dan tabah menghadapi urusan hidup yang dianggap besar dan berat. Insya Allah !


Tiada ulasan:

Entri terkenal