Sabtu, 31 Januari 2009

Jual ikan, jual obat 3

Jadi macam mana caranya untuk kita mengikis sikap suka ‘jual ikan’ ini? Kalau jual ikan betul-betul ikan dari laut ke, sungai ke, sangkar ke, tidak mengapalah.. itu memang bagus.. Ini kes ‘jual ikan’ yang selfish niii..

Formulanya senang sahaja. Buat sesuatu IKHLAS kerana Allah. Apabila mahu melakukan sesuatu, pertimbangkan juga keuntungan yang bakal kita peroleh diakhirat. Jangan berfikiran pendek.. Kita orang Islam punya pemikiran yang jauh ke hadapan. Sampai hari Akhirat..Hari pembalasan.. Hari penyesalan..

Jangan disebabkan kesungguhan kita ‘jual ikan’ di dunia menyebabkan kita melafazkan kata-kata penyesalan di akhirat..contoh:

“YA Allah, kalaulah dulu aku tolong dia”, “Ya Allah, kalaulah aku sumbang tenaga aku”.. Haaa.. Kalau kata-kata ini dilafazkan pada hari akhirat kelak, sudah lagi tiada berguna..

Tiada kerugian kita membantu orang lain, tiada istilah bankrup dalam usaha kita melakukan amal solih. Allah sudah berjanji pada kita hambaNya, setiap perbuatan itu dikira. Lihat surah Al-zalzalah. Dan setiap janji Allah itu benar semuanya.. Tiada penafian..

Eh? Terlupa pula hurai mengenai jual obat.. Jual ubat yang penulis maksud kan bukan lah jual obat untuk merawat sakit badan itu. Ini ‘jual obat’ dalam cerita P.Ramlee. Tahukan cerita jual obat dalam cerita P.Ramlee tu? Penulis pun sudah tidak ingat bagaimana jalan ceritanya. Yang penulis ingat cumalah bahagian pelakon cerita tersebut ‘menjual obat’. Cerita sekawan penipu cuba menjual ‘obat rekaan’ mereka..sambil menyanyikan lagu.. yang penulis ingat liriknya “hai obat, hai obat, mari beli obat”.. Entah, apa entah lagi lirik nya tidaklah disimpan dalam kepala pula. Jadi ‘jual obat’ yang penulis ingin hurai di sini ialah ‘jual obat’ yang membawa maksud menipu atau berbohong..

bersambung..

Jumaat, 30 Januari 2009

Jual ikan, jual obat 2

Sememangnya fitrah semula jadi kita, berusaha menyelamatkan diri dari sebarang musibah dan kemudharatan. (Jika kita merasakan sesuatu yang berlaku itu adalah perkara yang memudharatkan). Tapi jika ia dilayan secara berlebihan, ia akan membawa empunya diri kepada sikap ‘jual ikan’. Punca kepada sikap ini bukan hanya kerana fitrah seperti yang penulis tulis di atas. Tetapi ia juga berpunca dari hati kita yang kotor kerana tidak mahu melihat orang lain mendapat kebaikan dari ‘pengorbanan’ kita..

“ish, nanti kalau aku tolong fotostat untuk dia, nanti jimat masa dia. aku yang sibuk ini pulak terkejar-kejar nak fotostatkan untuk dia”

“Bila tiba waktu makan, dia ini aku boleh buat kawan, sebab dia suka belanja aku makan. Tapi kalau masa buat assignment, tak boleh, nanti habis masa aku ajar dia”

“Aku tak nak jadi komiti kelas, aku susah payah fikir untuk kelas, orang lain ‘enjoy’ je sesuka hati. Mana aci, aku pun nak ‘enjoy’ jugak”

“Eh, aku tak suka orang lantik aku pegang apa-apa jawatan, nanti habis masa aku terpaksa korbankan untuk orang lain. Orang lain apa diorang buat?”

“Buat apa aku hairan dia buat apa? esok mati, kubur asing-asing” (Nasib baik ingat jugak mati, kalau tak ingat mati lansung..lagi dahsyat..)

“Biarlah diorang nak buat apa pun asalkan hidup aku tenang dan bahagia”

Itu contoh ‘jual ikan’ dalam hati.. Sekarang penulis ingin menyenaraikan contoh perbuatan jual ikan pula..

Apabila tiba waktu makan, peserta program sangat ramai beratur untuk mengambil makanan. Kebetulan pada pagi itu, kebanyakan peserta tidak bersarapan. So? Apalagi? Inikanmakan tengah hari.. Ambil banyak-banyak.. Sekarang tiba giliran orang belakang untuk mengambil makanan.. tengok-tengok? Lauk sudah habis.. Rupanya orang depan sudah ambil lauk dua-tiga ketul seorang yang sepatutnya diambil seketul untuk seorang.

Seorang kawan sedang berjalan bersama dengan kita dan membawa barang yang sangat berat. Terserlah sekali bebannya barang yang dia bawa. Tetapi kita ‘lihat’ saja. Bukan barang kita.. barang dia, biarlah dia yang bawa.. Nanti sakit pula tangan kita ini..

Kita terperasan yang kawan kita tersalah melakukan sesuatu.. Tetapi tidak menegur..

Banyak lagi contoh-contoh ‘menjual ikan’ dalam kehidupan kita.. Tapi penulis tidak larat untuk menuliskan kesemuanya..

bersambung

Khamis, 29 Januari 2009

TErowong berSAYAP

Pada hari ini 29 Januari 2009, penulis telah membaca surat khabar berita hairan. Ada beberapa berita yang penulis tertarik. Pertama mengenai terowong. Kedua mengenai sayap parti UMNO mesti dibubarkan untuk membantu menghapuskan penyakit politik wang dalaman.

Adakah kawan-kawan dapat melihat kaitan antara kedua-dua tajuk ini? Hmm, penulis begitu tertarik dengan tajuk yang kedua itu dan pada masa yang sama sangatlah terdorong untuk mengetahui cerita lebih lanjut mengenai terowong di Palestin.

Terowong di Palestin dibina oleh para pemuda yang penuh dengan pengalaman dan kekuatan serta dapat menyiapkan terowong yang sangat luas dalam masa beberapa hari sahaja. Tahu tak berapakah besar terowong itu? orang boleh berdiri dan berlari di dalamnya. Hmm, ‘imagine’ sendirilah besar mana terowong itu. Fungsi terowong tersebut adalah untuk menyalurkan makanan dan ubat-ubatan kepada rakyat Palestin. (Perhatikan betul-betul penulis tidak menggunakan perkataan menyeludup kerana penulis rasa itu bukanlah menyeludup). Zionis kata mereka ini pengganas? Hmm, mungkin mereka meninggalkan otak mereka dirumah semasa membuat kenyataan.

Sudahkah kawan-kawan nampak kaitan antara kedua perkara ini? Hmm, mungkin susah untuk difahamikan? Mari kita ikuti huraian di bawah.

Pemuda adalah manusia yang paling bertenaga, dan paling produktif jika dibandingkan dengan tahap-tahap umur atau generasi yang lain. Perhatikan bagaimana, pemuda palestin yang berpengalaman dapat menggunakan kepakaran dan kekuatan mereka membina terowong dalam masa yang singkat. Ia amat diperlukan di dalam negara bergolak seperti Palestin. Bagaimana pula dengan politik wang? Penulis sangat bersetuju dengan pendapat seorang ahli politik (tidak diingati namanya), mengatakan bahawa membubarkan sayap UMNO tidak akan menyelesaikan masalah politik wang.

Pemuda adalah manusia yang paling produktif dan sesuai untuk melakukan apa jua perkerjaan yang mungkin tidak mampu dilakukan oleh generasi lain.Pada pendapat penulis keterlibatan pemuda dalam sayap UMNO, akan memberikan satu medium yang sesuai untuk para pemuda di Malaysia untuk bersedia menghadapi atau melibatkan diri secara serius selepas tamat pembelajaran mereka.

“Takkanlah bila dah nak jadi wakil rakyat baru nak belajar selok belok politik?”. Sebagaimana kita ingin masuk ke dewan peperiksaan lah. “Takkan masa masuk dewan periksa baru nak belajar?”. Begitulah juga perkara ini.. (hehe berpolitik pulak). Malaysiakan negara yang bebas bersuara. Penulis rasa tidak salah memberikan pandangan mengenai hal ini. Walaupun penulis bukanlah terlibat dengan politik secara lansung.

Penulis berpendapat mengambil berat mengenai politik adalah suatu keperluan, kerana kita perlu kenal dan tahu siapakah yang sedang memimpin kita dan siapakah yang meneraju segala urusan kehidupan kita sebagai rakyat.

Eh sudah melencong.. Hmm dah lama penulis tidak melencong.. Okaylah balik pada topik asal.
Kaitan antara terowong di Palestin dan cadangan pembubaran sayap UMNO..
Kaitannya adalah: Pemuda sebagai agen kekuatan dan perubahan sesebuah negara. Jika pemuda di gunakan secara maksimum, maka dapatlah negara memanfaatkan segala kebaikan yang ada pada mereka. Jika negara tidak memanfaatkan mereka, negaralah yang rugi.

Proses Pembelajaran bukanlah tertakluk pada apa yang dipelajari di universiti atau sekolah atau kampus sahaja. Seluruh kehidupan kita adalah pembelajaran. Jadi, tiada istilah pemuda atau pelajar atau mahasiswa perlu menumpukan perhatian kepada pelajaran dan tidak membabitkan diri dengan perkara-perkara lain.

Yang wujud hanyalah “pelajar dan seluruh umat Islam, mestilah sentiasa belajar, tidak kira walau di mana dan apa pun kedudukan dia”.

Selamat memboikot barang yang membantu regim TEL AVIV.



BOIKOT.BOIKOT.BOIKOT

Jangan berhenti memboikot sehingga regim TEL AVIV dan Zionis benar-benar kalah.


Rabu, 28 Januari 2009

Jual Ikan, Jual Obat 1

Selamat hari lahir, Selamat Pulang, Selamat Pergi.. Hmm, sengaja penulis gunakan ucap selamat di atas. Sudah selalu menggunakan selamat pagi, tengah hari dan malam. Jadi guna selamat lain pula.. Ubah angin.

Kalau kita pergi pasar, biasa lah kalau kita jumpa orang jual ikan.. Tapi kalau kita masuk kelas, beratur di dalam bangunan perkhidmatan awam untuk bayar bil, atau naik bas, atau di tempat kerja terutamanya kilang dan pejabat,...bisa kah kita bertemu ‘penjual ikan’?..... Mustahil kan?

Jika kita berjalan di kaki lima rumah kedai, perkara biasa jika kita bertemu penjual ubat. Tidak kisahlah ubat tradisional atau ubat moden.. Itu pun dah jarang sangat jumpa.. Kadang-kadang ada jugak orang jual obat dalam televisyen. Bagaimana pula, jika kita sedang berehat di rumah, belajar dalam kelas, jalan-jalan dalam universiti, tiba-tiba terserempak dengan penjual ubat, mesti tercengang kita.. kepelikan..

Haa.. apakah maksud di sebalik jual ikan dan jual obat yang penulis ingin kongsikan dengan kawan-kawan? Pernah dengar perkataan ‘selfish’? Haa, masakan tidak pernah terdengar atau terbaca kan? Hmm, perkataan ini bermaksud mementingkan diri sendiri. Jika di terjemah bulat-bulat, boleh lah dikatakan ‘jual ikan’. (Peringatan: Kaedah begini tidak boleh digunakan dalam aplikasi disiplin tatabahasa yang betul). Cara ini hanyalah salah satu dari teknik penulis untuk menarik perhatian kawan-kawan, supaya meneruskan pembacaan.

Adakah mementingkan diri sendiri ini sikap yang baik? Rasanya kawan-kawan pembaca ada jawapannya. Sudah tentulah TIDAK BAIK.. Pelik sungguh kita ni kan? Dah tahu ‘jual ikan’ itu tidak baik, tapi masih mengamalkannya sebagai amalan rutin seharian walau di mana sahaja kita berada. Seolah-olah, kita ini seorang kanak-kanak yang belum mumaiyyiz (maksud mumaiyyiz adalah dapat membezakan tangan kiri dan tangan kanan)..

bersambung

Selasa, 27 Januari 2009

Al-Quran sahabat DiA

Sobahal Khair, jawabnya sobahunnur. Masa ‘ul khair, jawabnya masa’unnur. Illaliqo’ jawabnya ma’assalama.. (betul ke ni? ke dah terbalik.. belajar bahasa Arab tapi tidak digunakan, habis lupa.)

Kawan-kawan nak dengar satu cerita? Cerita penulis ini berkaitan dengan seseorang yang sangat bersungguh-sungguh menghafaz Al-Quran. Tidak boleh disebut siapa orangnya, tetapi sikapnya boleh dicontohi. Dia adalah seorang yang sangat rapat ikatannya dengan penulis.

Beberapa tahun lepas, dia memohon untuk memasuki program persijilan DQ-UIA , tetapi permohonannya itu tidak berjaya. Semangatnya untuk memelihara kalam Allah tidak terhenti di situ. Dia cuba memohon ke Ma’had Tahfiz negeri. Alhamdulillah berjaya.. Bermulah episod hidup barunya sebagai hafiz. Rupa-rupanya, perjalanan dia untuk mendapatkan kalimah Allah tidak semudah yang penulis sangkakan. Dia diuji dengan suasana di tempat pengajiannya.. Bagi penulis itu masalah biasa. Tetapi, sekarang barulah penulis sedar, ‘suasana’ itu sungguh menggangu kekhusyukkannya untuk melangkah maju (dalam proses menghafaz). Suasana itu sangat menggangu si dia. Mungkin tidak perlu penulis kongsi apakah ‘suasana’ itu, tapi cukuplah penulis katakan, ‘suasana’ itu bukanlah suasana yang kodusif untuk orang yang mahu bersungguh-sungguh menghafaz Al-Quran.. Akhirnya, dia telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Ma’had tahfiz berkenaan walaupun mendapat tentangan hebat dari keluarga..

Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menuntut di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama sebagai pelajar STPM. Apa yang benar-benar menyentuh hati penulis adalah, kesungguhannya memelihara Al-Quran setelah berada di sekolah tersebut.

Buat pengetahuan kawan-kawan pembaca, dia perlu keluar ke sekolah sebaik sahaja selepas melaksanakan solat subuh dan hanya akan sampai ke rumah ketika hampir-hampir asar. Sebelum ke sekolah, dia akan singgah di Ma’ahad Tahfiz berhampiran untuk memperdengarkan bacaan hafalannya kepada ustaz di situ (Ma’ahad tahfiz yang sudah ditinggalkannya sebelum ini –jarak antara Ma’ahad tersebut dan sekolahnya kira-kira 10 min berjalan kaki). Kadang-kadang dia terlewat ke sekolah kerana perkara ini. Tetapi dia tidak jemu dan bosan meneruskan rutin kehidupan ini selama hampir 2 tahun. Inilah bukti dia benar-benar mahu menjaga kalimah Allah. W/pun sudah meninggalkan Ma’ahad tersebut, dia tetap meneruskan perjuangan menghafaz Al-Quran.

Pengalaman penulis semasa bersekolah dahulu, keluar sebelum subuh dan sampai di rumah hampir-hampir asar adalah sangat memenatkan.

Tapi dia ini, setelah balik dari sekolah dia akan mengulangkaji pelajaran dan hafalannya. Selepas isyak, dia terus bersedia untuk tidur supaya dapat bangun awal keesokkan paginya.

Apabila tiba musim cuti, dia akan mengulangkaji hafalannya seharian. Kadang-kadang sehingga penulis merasa cemburu dan terfikir, “mengapa aku tidak serajin dia mengulang?”. Jika dia mengulangkaji pelajaran, sudah menjadi kewajipannya untuk memasang bacaan Al-Quran dendangan Sheikh Sudais. Hidupnya bergelumang dengan Al-Quran.. Jika di‘tebuk’, dia pasti dapat menyambung ayat Quran dengan lancar..

Kawan-kawan.. Bagaimanakah sikap kita dengan Al-Quran? Berapa muka surat sehari kita tatap dan tadabbur? apakah kita berusaha memahami setiap kalimah Allah yang mulia itu? Pernah kah kita meneliti apa perasaan kita dengan Al-Quran sebagaimana telitinya kita menjaga hati dan perasaan diri serta orang sekeliling?

Adakah Al-Quran itu sesuatu yang asing dalam hidup kita? Pernahkah kita berusaha memperbaiki bacaan kita? Kisah itu adalah contoh orang yang telah berjaya meletakkan Al-Quran disudut hatinya. Apakah perkara yang kita letakkan disudut hati kita selama ini?

Khas buat kawan-kawan seperjuangan yang pernah sama-sama mengalirkan air mata kerana susahnya menjaga kalimah Allah: Janganlah menyalahkan suasana sebagai sebab kita kekurangan semangat untuk mengulang. Kitalah yang sepatutnya membina suasana tersebut. Kesusahan kita itu pasti akan dikira oleh Allah.. Kumpulkan kembali semangat yang tertinggal, pohonlah kekuatan dengan Allah. Yang penting kita berusaha, hasilnya biarlah Allah yang tentukan..

Al-Quran itu panduan hidup kita.. Meninggalkannya bererti mengucar kacirkan hidup, memusnahkan hari yang penuh dengan harapan, hari akhirat.

Isnin, 26 Januari 2009

MUTiARA JANNAH

Rupanya ramai orang ingin tahu mengapa penulis memilih nama mutiarajannah sebagai nama blog penulis dan nama pena sebagai mutiara bd.

Jeng-jeng.. Nak tahu sebabnya? Sebabnya:

Mutiara : biasanya orang guna untuk sesuatu yang berharga. Dan penulis berharap pada diri sendiri akan menulis perkara yang berharga dan bernilai untuk dikongsi dengan umat Islam yang membaca blog penulis.


Jannah: Ia adalah tempat yang diduduki oleh orang yang beriman. Dan penulis berharap pada diri sendiri supaya menjadikan blog penulis ini sebagai tempat yang boleh membantu kawan-kawan menjejaki kebahagiaan syurga.

Bd: Ia adalah singkatan untuk barat daya. Rumah penulis terletak dibahagian barat daya Pulau Pinang. Pulau Pinang (bahagian pulau) di bahagikan mengikut daerah yang Barat daya dan timur laut. Manakala bahagian tanah besar dibahagikan kepada Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan (Betul ke? rasa macam betul, tapi rasa macam salah). Kalau sesiapa perasan, pada awal kemunculan penulis dalam dunia bloging, penulis menggunakan nama Mutiara TL. –timur laut-. Kerana penulis menyangka rumah penulis berada dibahagian timur laut Pulau Pinang. (Sudah 20+ tahun hidup di Pulau Pinang, masih konfius yang mana satu Barat Daya dan Timur Laut).

Semua pertanyaan sudah terjawab. Jumpa lagi. Rajin-rajin baca Quran dan muhasabah diri.. babai


Ahad, 25 Januari 2009

Jalan-jalan jumpa tuhan

Tap-tap-tap-tap..
agak-agak bunyi apakah ini?

Bunyi hujan? bunyi tapak kasut?
jawapan: bunyi tapak kasut.

Jom jalan lagi..

fussshhhh, poikkk..
Ini bunyi apa pulak?

Bunyi tapak kaki yang terpijak lopak air yang agak dalam. dan empunya badan terjatuh.

tok,tok,tok.. srek,srek-srek.. khuuuiiiikkk.. prussshhh
Tahu ini bunyi apa?

Bunyi empunya bandan yang terpijak lopak air dalam tadi mengetuk seluarnya dan memerah kaki seluar itu supaya kering.

Mari teruskan perjalanan..

]
]

]
]

]
]

eh rasa taknak sambung dah..
laaa?

Hehehe.. siapa dapat memahami cerita ini?

Sabtu, 24 Januari 2009

Inilah ukhuwah menurut Al-Quran

“Dan orang-orang Ansar yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman sebelum kedatangan orang muhajirin, mereka menyintai orang yang berhijrah ke tempat mereka. Dan mereka tidak menaruh sedikit pun keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan kepada kaum Muhajirin; dan mereka mengutamakan kaum Muhajrin atas diri sendiri meskipun mereka memerlukan. Dan barangsiapa yang menjaga diri nya dari kekikiran maka mereka itu lah orang yang beruntung.”

Surah Al-Hasyr: 9

“Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajrin dan Ansar), mereka berdoa, Ya tuhan kami, ampunilah kami dan saudara kami yang telah beriman terlebih dahulu dari kami dan janganlah engkau tanamkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya tuhan kami sungguh Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyanyang.”

Surah Al-Hasyr: 10

Ukhuwah itu hasil dari keimanan kepada Allah. Tiada ukhuwah tanpa iman.. Ukhuwah itu terpancar setelah iman tersemat di dalam diri seseorang. Pastikan kita ada iman supaya kita ada ukhuwah..

Ingat, tiada ukhuwah jika tiada iman. Iman hanya lahir dengan didikan, latihan dan ilmu.. Tambahkan ilmu dan latihan nescaya bertambah iman, akhirnya merasai dan memahami apa itu ukhuwah menurut Al-Quran.. (Pendek kata, jangan disebut mengenai ukhuwah, andai solat fardu masih tidak terjaga).

Akhir kata, Baiki iman, baiki amalan dalam hidup, banyakkan amal solih, nescaya ukhuwah itu ada..

Baiii jumpa lagi di lain siaran.. Senyum-senyum selalu..

Jumaat, 23 Januari 2009

Putus Asa

Terasa sedih? Ingat Allah Maha Dekat.
Terasa sakit? Ingat Allah Maha Menyembuh.
Terasa pedih? Ingat Allah Maha Mengetahui.
Terasa bengang? Ingat Allah Maha Membalas.
Terasa gembira? Ingat Allah Maha Memberi.
Terasa serabut? Ingat Dunia ini sementara.
Terasa konfius? Zikir banyak-banyak.

Banyak pula terasanya.. Biasalah kita kan manusia.. Tidak pernah terasa? Owh mungkin anda adalah..

Khamis, 22 Januari 2009

Masa saya..

Tajuk itu tidak berkaitan dengan apa yang nak ditulis.

Ujian Allah banyak. Nikmat Allah pun banyak.

Perkara kita suka banyak. Perkara kita tak suka pun banyak.
Sahabat kita banyak.Kawan kita lagi banyak.
Beban kita banyak.Beban Nabi lagi banyak.
Masa kita banyak.Kita buang masa pun banyak.
Ilmu kita banyak.tapi yang kita sia-siakan pun, banyak jugak.


Banyak dan serabut.
Akan tetapi tidaklah sebanyak dan serabut yang dirasa jika kita ingat matlamat hidup kita hanya satu dan bukan banyak. REDHA ALLAH..


Entri terkenal