Jumaat, 10 Disember 2010

Assobiyyah; bacalah

Siri tulisan Dr Hafidzi ini ada 5. Setelah mendapat kebenaran dari tuan penulis, maka mutiara bd mahu mempersembahkan siri pertama sahaja. Jika kawan-kawan berminat, boleh lawat LAMBAIAN ISLAH. Ia sangat penting dan membantu untuk anda memahami sesuatu di luar kotak taksub.
  
Assalamualaikum,

Siri rencana 'Jangan terjebak dengan Assobiyah melayu' ini telah lama saya tulis. Kini saya masukkan dalam blog ini untuk pencerahan dan pemahaman para pengunjung.

Dr Hafidzi Mohd Noor
-------------------------------------------------------------------------------------

Assalamualaikum,

Kini kita berhadapan dengan polemik lama dalam bentuk baru.

Ideologi ciptaan manusia (yang diilhamkan oleh syaitan) kembali menguji keaslian Islam.

Umat Islam tidak akan pernah sunyi dari asakan-asakan ideologi ciptaan manusia. Untuk menjadikan ideologi itu lebih menarik maka dicari jalan untuk mencari keserasian dengan Islam. Lalu diberikan alasan-alasan bahawa ideologi ini hanya dijadikan sebagai wasilah atau jalan untuk mendaulatkan Islam.

Ideologi assobiyah atau kaumiyah bukanlah suatu yang baru. Ia telah wujud sejak wujudnya kabilah dan keluarga (clan) dalam masyarakat manusia. Semula Allah SWT jadikan manusia dalam kabilah-kabilah dengan hanya satu tujuan dan tidak ada tujuan selainnya iaitu 'supaya mereka berkenal-kenalan' Dan yang paling baik di kalangan manusia tanpa mengira dari kabilah mana ia datang ialah mereka yang paling bertakwa. Nabi saw berpesan 'Kamu semua berasal dari Adam dan Adam adalah dari tanah.'

Mari kita menoleh kebelakang pada sejarah yang tidaklah begitu lama berlalu. Kira-kira 100 tahun yang lalu, terbitlah satu kebangkitan yang diraikan oleh ramai manusia sebagai harapan baru iaitu Revolusi Bolshevik di Rusia pada tahun 1917. Revolusi ini adalah lambang kemenangan golongan proletariat (buruh) ke atas golongan bourguisiea (bangsawan dan pemodal). Ideologi Sosialis-Komunis yang mnecetuskan kebangkitan rakyat ini turut memutikkan harapan ke atas negara-negara yang terjajah dan tertindas.

Di kalangan umat Islam timbul satu kecenderungan baru dengan menafsirkan penjajahan yang mereka deritai adalah 'Kemuncak kepada Kapitalisme' (atau kezaliman dan penindasan kaum pemodal). Malah ada di kalangan umat Islam yang bergelar ulama mengucapkan syukur kehadrat Allah kerana telah mengutus seorang yang bernama Karl Marx untuk menunjukkan jalan kepada umat Islam. Melaluinya umat Islam diperkasakan untuk mendapat keadilan sosial yang sekian lama dinafikan oleh penjajah barat dan golongan aristokrat pribumi yang bersekongkol dengan mereka.

Kita mungkin tidak percaya dan sukar untuk menerima. Tetapi ada di kalangan pesantren dan sekolah merangkul ideologi komunis secara borong dan memulau guru-guru mereka. Ini dialami sendiri oleh Hj rasul (Syeikh Abdul Karim Amrullah - ayah kepada buya HAMKA di Sumatera Barat). Bukan sahaja dipulau oleh anak-anak murid dan guru-guru pengajian yang lain bahkan beliau dituduh pula sebagai alat penjajah kerana tidak bersedia untuk mendukong ideologi komunis. Sakeng kuatnya pengaruh komunis sehingga HAMKA pada umur remajanya terikut-ikut mendendangkan lagu komunis 1 Mei. Dia diperingatkan oleh ayah beliau 'Wa'ang jangan ikut Komunis. Zahirnya menyokong agama, bathinnya merusak agama!.

Quran ditafsir mengikut aliran pemikiran komunis. Dicari titik-titik persamaan ideologi Komunis dengan hujah-hujah keadilan Islam. dalam saat yang begitu kacau dan keliru, hanya ulama yang benar-benar faham apa itu Islam sahaja yang terselamat dari racun ideologi Komunis yang cuba diserapkan dalam fikrah Islam yang murni. Doktrin 'Akidah yang salimah' yang dipertahankan selama ini lebur di tangan ulama-ulama yang gagal memahami apakah tujuan akhir dari ideologi anti Tuhan dan anti agama ini.

HAMKA mengulas 'Seorang muslim yang sempurna tidak mungkin menjadi komunis yang tulen. Seorang komunis yang masih menjalankan ajaran Islam bermakna Komunisnya belum matang. Dia perlu memilih salah satu - Islam atau Komunis. Tidak boleh kedua-duanya'

Hj Rasul cuba dipengaruhi oleh penjajah Belanda supaya mempertahankan pemerentah kolonial sebagai pilihan yang lebih baik dari komunis. Hj Rasul diminta menggunakan pengaruh untuk menolak ideologi komunis dengan kebaikan sistem pentadbiran Belanda. Jawab beliau dengan tegas 'CUKUP DENGAN ISLAM SAHAJA'

Akhirnya semua orang tahu apakah bencana yang berlaku di belakang hari. Ideologi komunis terus subur ditopang oleh 'ulama-ulama' berpengaruh. pada tahun 1960'an ia menjadi ideologi kebangsaan Indonesia apabila komunis disenyawakan dengan Islam dalam gagasan NASAKOM (Nasionalis. Agama, Komunis). Tragedi yang terbit dari gagasan ini amat dahsyat apabila hampir 2 juta umat Islam disembelih saat bertukarnya order lama kepada order baru yang dicetuskan oleh tragedi berdarah lubang buaya.

Kalau ideologi Komunis yang jelas anti tuhan dan anti agama itupun dirangkul oleh umat Islam, inikan pula ideologi Assobiyah melayu...
Jangan terjebak dengan ideologi mungkar ini sebagai mana begitu ramai ulama terjebak dengan 'palu arit' (tukul dan sabit - lambang komunis).

Marilah adek-adek dan anak-anak ku, kembalilah kepada Islam yang murni. Jangan kau terpedaya dengan cakap-cakap muluk 'ulama-ulama' yang cuba menanam pengaruh supaya terus dianggap relevan - setelah mereka terpinggir dari arus perdana perjuangan Islam yang mendukong fikrah yang murni.

Jika engkau diajak mendukung ideologi Assobiyah walaupun berselindung disebalik wasilah semata katakan kepada mereka 'CUKUP DENGAN ISLAM SAHAJA! Tak perlu ditambah prefix dan suffix ataupun ditambah ramuan-ramuan ideologi ciptaan manusia'
Dr hafidzi Mohd Noor
0 comments

Mutiara bd mencadangkan kawan-kawan sekalian teruskan bacaan jika anda benar-benar prihatin.. Sekian. 

Khamis, 9 Disember 2010

Ghazwatul fikr 5

Setelah bercerita secara panjang lebar.. Maka penulis harap para pembaca dan kawan-kawan sekalian dapat merenung sejenak atau dua jenak betapa kita sedang diperangi secara ‘ganas’.. Kita diserang secara bertubi-tubi sehingga kita sudah tidak mampu lagi mempertahankan diri. Mahukah kita terkorban sia-sia dalam peperangan ini?

Mahukah kita bertemu Allah dalam keadaan tertipu dengan segala tipudaya syaitan, hawanafsu dan orang-orang kafir? Apa alasan yang mahu kita beri pada Allah? Sedang Allah telah berikan pada kita Rasul, KitabNya dan para pendakwah yang tidak jemu-jemu mengingatkan kita.. Segala tokoh-tokoh pejuang Islam yang tidak pernah putus asa menulis, berceramah, bersidang.. untuk menyedarkan ummat Islam (kita la)

Bukalah mata hati kita. Sediakan diri sesuai dengan tujuan kelahiran kita didunia ini.. Kita bukan dilahirkan untuk bersenang lenang. Kita bukan dilahirkan untuk menurut kata-kata hawanafsu. Kita bukan dilahirkan untuk ditipu sesiapa. Kita dilahirkan untuk berperang dengan hawanafsu dan syaitan. Berperang untuk menjalankan tugas sebagai hamba Allah s.w.t..

Ayuh bangkitlah duhai ummatku. Bangunlah. Kalian bukan orang bodoh yang senang-senang ditipu dengan perdaya kaum Kuffar. Kalian adalah SINGA yang punya taring dan kuku yang tajam. Lihatlah cermin. Lihatlah wajah kalian. Kalian punya suara yang mampu menggerunkan semua musuh dan binatang lain di hutan belantara. Kalian bukannya kijang yang lari bertempiaran..

Rabu, 8 Disember 2010

Ghazwatul fikr 4

Kedua

Cara hidup yang bermalas-malas.

Hidup semuanya nak senang. Cara hidup yang tak nak buat kerja. Hanya tahu mengisi perut, memenuhi keperluan mata, selera hawanafsu dan keinginan-keinginan luarbiasa.. Contohnya berfesyen dengan fesyen yang pelik-pelik atau berhias dengan gaya berhias yang tidak menuruti syariat..

Fikiran kita (ummat Islam), hanya fokus pada perkara yang ‘seronok’ dan memenuhi selera hawanafsu sahaja. Kita rasa beban untuk memikirkan tentang pelaksanaan Islam. Kita rasa malas untuk melaksanakan kefahaman tentang Islam. Lebih teruk, kita tidak selera pun untuk memahami Islam. Ummat Islam sendiri tak rasa ingin pun untuk mempertahankan Islam yang ada pada diri kerana sibuk berfikir cara terbaik untuk memenuhi ‘kehendak’ dan ‘keinginan’ hawanafsu diri..

Inilah ciri-ciri peperangan fikiran yang dilancarkan.. Sedarkah kita bahawasanya kita telah terkena ‘bisikan’ itu..??!!

Ketiga


Filem-filem dan cerita rekaan.

Sebenarnya, ia adalah ekoran dari sikap kita (ummat Islam) yang suka bermalas-malas. Kan duduk je depan TV, depan skrin besar (pawagam).. takyah bergerak apa-apa.. Fikiran kita pun tak jalan.. Hmm tengok je. Pastu LAYAN. Layan tu pakai apa? Emosi dan hawanafsu.. Kekadang kita tak sedar kita rupanya TAAT pada HAWANAFSU.. Walhal kita sepatutnya taat pada Allah. Itulah akibat peperangan fikiran. Ia rosakkan ummat Islam (kita la tu).

Oh, kejap je tengok cerita ni. Jap lagi bacala Quran. Studi la lepas tu. Cuba bayangkan kalau nyawa kita dicabut semasa melakukan perkara ini..

Apakah yang mahu dijawab dihadapan Allah kelak.. Adakah kita nak jawab, eh ni salah orang-orang kafir la. Sebab diorang yang sediakan benda ni untuk kami tonton. Boleh ke nak jawab macam tu?

Dengan sejam sehari menonton perkara yang tidak menambah iman, bayangkan berapa jam sudah kita rugikan masa kita untuk memperoleh pahala dari Allah. Kalau tak dapat pahala ok jugak jika tidak mendapat dosa. Apa pulak nasib kita, jika pahala tak dapat, tapi dosa pulak yang datang berkepuk-kepuk??

Sudahlah dosa datang, fikiran kita pula dipengaruhi oleh ideologi-ideologi yang terSURAT dan terSIRAT dalam setiap filem dan cerita rekaan itu..

ISU: Jika terpaksa juga tonton, macam mana nak buat? Itulah pentingnya orang-orang yang lebih arif untuk bersama dengan kita. Orang yang lebih arif itu mungkin boleh terangkan apa yang betul dan tidak betul dalam sesebuah filem atau cerita rekaan itu.

Walau apa pun, sebagai ummat Islam (kita la.. siapa lagi kan) kita punya petunjuk dan hidayah dari Allah.. Pertimbangkanlah sebaiknya. Berbaloikah hidup kita yang sangat sekejap ini, kita gunakan untuk sesuatu yang boleh merosakkan masa depan kita (diakhirat kelak)??

Selasa, 7 Disember 2010

Ghazwatul fikr 3

Apakah bentuk-bentuk ‘bisikan’ (ghazwatul fikr) yang telah dilakukan oleh orang-orang kafir?? Adakah ianya baru bermula di abad ini?? Jawapannya TIDAK. Peperangan fikiran ini telah berlaku LAMA. SANGAT LAMA. Beratus ribu tahun wahai para pembaca sekalian.

Apakah hasilnya? Hasilnya kijang yang lari bertempiaran. Iaitu ummat Islam yang lansung tiada rasa izzah dengan keislamannya. Bahkan merasa HINA dan KECIL sekali dengan Islamnya diri dan keturunannya. Fuh cam dahsyat je kan cakap macam tu. Itu tidaklah sedahsyat diri kita yang membuktikan keadaan ini.. Keadaan apa? Iaitu betapa TAKUTnya kita untuk membuktikan keislaman kita. Betapa malasnya kita menurut segala perintah Allah.

Mari kita lihat apakah bentuk-bentuk ghazwah yang telah dilancarkan untuk merosakkan kita..

Pertama

Harta kekayaan.

“Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia, cinta terhadap apa yang diinginkan; perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kehidupan di dunia dan disisi Allahlah tempat kembali yang baik” Ali-Imran: 14

Ha.. Kan Allah dah cakap. Kita memang nampak ‘indah’ je semua nikmat dunia ini. Perempuan, anak-anak, harta benda. Yang kuda pilihan tu maksudnya macam kenderaan la. Kita berbangga dengan jenis kereta yang kita guna. Atau terpesona tengok kereta canggeh manggeh..

Tapi kemudian Allah cakap pulak:

“Katakanlah; Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu? Bagi orang yang bertaqwa disisi Tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai. Mereka kekal didalamnya dan pasangan-pasangan yang suci serta redha Allah. Dan Allah Maha Melihat hamba-hamba-Nya” Ali-Imran: 15

Hmmm (mari kita renung-renung ayat Allah ini). Rupanya Allah nak beritahu, kalau nikmat dunia yang tak seberapa bernilai (sebelah sayap nyamuk pun lagi mahal), pun kita dah kagum semacam.. terpukau je.. Inikan pula nikmat di akhirat. Tapi UNTUK ORANG BERTAQWA SAHAJA. Taqwa itu apakah bendanya? Berhati-hati dalam menjalani hidup di dunia hingga terpelihara segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
hmm.. inilah ilustrasi GF (kalau ia boleh digambarkan)
Jadi, untuk UMMAT ISLAM yang kenal siapakah diri mereka, mereka tidak akan tertipu dengan kilauan nikmat dunia yang sementara ini. Ummat Islam yang tahu tanggungjawab mereka untuk mengekang hawanafsunya.. mereka tidak akan tertipu dengan kesedapan memenuhi segala ‘keinginan’ mereka (kita lah ummat Islamnya).

Tapi, dengan ghazwatul fikr, telah ramai ummat Islam (kita jugaklah sebahagian dari mereka) yang diperdaya. Setuju tak? Ops, tak setuju eh? (no hal lah kalau tak setuju pun). Ummat Islam sedang sibuk mencantikkan rumah, mengukir dinding dan pintu. Mengumpul sebanyak-banyak kereta, baju, kasut dan pasu bunga.. ops, lupa. DUIT. mengumpul duit dan tanah sebanyak mungkin. Dengan duit boleh melancong sana sini.. Berbahagia dan BERCUTI rehat dari memikirkan masalah ummah.. oh, bukan tak baikk melancong. Maksud kat sini, kalau melancong saja-saja membelanjakan duit. Jika melancong itu untuk menambahkan iman kerana melihat kesan tinggalan sejarah para Nabi dan sahabat.. maka itu sangatlah baik dan dianjurkan.. Atau melancong untuk melihat kesan tinggalan ummat Islam terdahulu yang sangat hebat menegakkan syiar Islam di muka bumi.

Habis bentuk ghazwatul fikr yang pertama.
Ikuti sambungan seterusnya esok.

Isnin, 6 Disember 2010

Ghazwatul fikr 2

Apakah terjemahan yang boleh digambarkan untuk membuatkan para pembaca sekalian memahami cerita singa menjadi kijang versi muntalaq?

Oh sebelum menyambung penulisan lebih lanjut, suka cita penulis untuk memberitahu bahawasanya cerita ini diadaptasi dari kupasan buku muntalaq oleh seorang ustaz dan sifu penulis.

Siapakah ummat Islam? Ummat Islam adalah satu ummat yang beriman pada Allah. Mereka adalah orang-orang yang berserah diri pada segala titah perintah dan larangan Allah. Sehingga mereka berjaya memakmurkan hampir 2/3 dunia ini kerana ketaatan mereka pada Allah dan bukan pada hawanafsu.

Ok sebelum menyambung lebih panjang, hendak ditekankan disini, lagi sekali, ummat Islam adalah orang yang MAMPU MENGAWAL HAWANAFSUnya untuk berserah diri pada perintah Allah dan menjauhi laranganNya.

Itulah ummat Islam. Sejarah kita telah membuktikan ummat Islam yang benar-benar beriman pada Allah, sangat hebat. Mereka berjaya membawa RAHMAT ISLAM keseluruh alam. Islam telah sampai ke rom dan parsi. Dua kerajaan besar pada zaman dahulu yang semacam United states of America sekaranglah. Penyebaran Islam bermula dari padang pasir tandus hingga tersebar keseluruh dunia.

Adakah hal ini dilakukan oleh KIJANG penakut? Atau Singa berani? Hmm.. 

Siapakah insan-insan yang BERANI bertemu penguasa-penguasa angkuh pada suatu masa dahulu untuk menyampaikan Islam? 
Siapakah yang sanggup memimpin satu jumlah tentera yang berganda sedikit berbanding musuh demi menegakkan kalimah Allah? 
Siapakah yang sanggup berjaga malam dan terus menerus bermunajat pada Allah walaupun siang harinya penat bertempur di medan perang? 
Siapakah yang tidak rasa terhina ditabur pasir oleh pembesar parsi semasa dia masuk mengadap dan memberi khabar Islam? 
Siapakah yang sangat berani untuk tidak menurut protokol istana yang ‘mempertuhankan’ raja dan sultan kerana menjaga kemuliaan Islam dan keagungan Allah?? 
Siapakah yang berjalan dan mengembara demi menyebarkan ajaran Islam?? 
Siapa? 
Siapakah mereka? 
Siapa mereka yang sangat berani ini? 
Siapa mereka yang sangat kuat melawan hawanafsu ini? 
Siapa?? Dan siapakah mereka?
Merekalah (kita la tu) UMMAT ISLAM!

Tapi tahukah kita segala peristiwa ini? Tahukah kita ummat Islam sehebat ini? Tahukah kita wujudnya kisah ini??? Sedarkah kita betapa gigihnya ummat Islam terdahulu berpegang pada ajaran Islam? Apakah kita tahu betapa bersungguh dan seriusnya mereka menyebarkan Islam supaya Islam sampai keseluruh dunia?

Oleh kerana lukis sendiri.. maka taklah menjadi sangat

Dan sekarang, tahukah kita betapa orang-orang kafir sangat cemburu akan hal ini? Sedarkah kita bahawa syaitan dan hawanafsu berganding bahu dalam merosakkan ummat Islam? Dan sedarkah kita yang orang-orang kafir adalah sekutu syaitan dan hawanafsu dalam projek merosakkan ummat Islam? Sedarkah kita? Tahukah kita?

“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipun orang kafir membencinya” 
Saff: 8

Ahad, 5 Disember 2010

Ghazwatul fikr 1

Pada suatu hari ditengah hutan belantara, lahirlah seekor anak singa yang sangat comel. Datang seekor kijang yang hodoh dan buruk berkata:

Hey anak kijang, kamu ini anak kijang yang tiada taring, tiada kuku, lemah sekali. Tengok lah tu, (sambil menunjukkan anak kijang yang baru lahir masih belum upaya berjalan) itu adalah seekor binatang yang sangat ganas, mengancam keselamatan.. Jika kamu nampak ia larilah.
Gambar diambil dari: http://www.animalliberationfront.com/News/AnimalPhotos/Animals_51-60/54Misc.htm

Mana ibu kepada anak singa itu? Ibu kepada anak singa itu rupanya tidak pernah berbunyi dan sentiasa membelai anaknya supaya tidak di’serang’ oleh kijang-kijang (yang ditunjukkan oleh kijang tua yang hodoh tadi).

Membesarlah anak singa itu dengan peringatan demi peringatan bahawasanya dia adalah ‘anak kijang’ yang lemah. Dan dia membesar dengan keyakinan, ‘anak kijang’ yang dia lihat itu sangat ‘ganas’ dan ‘merbahaya’.

Akhirnya, bercambahlah satu generasi singa yang PENAKUT.

Orait, tamat la satu cerita. Kawan-kawan rasa cerita macam ni lojik tak?.. Hmm ade ke singa jadi kijang? Cam pelik je kan? Sesuatu yang sangat mustahil.. Sedarlah, sesuatu yang mustahil itu tidak akan lagi mustahil dengan GHAZWATUL FIKR.

Apakah ghazwatul fikr itu? Ia bermaksud peperangan fikiran. Ia lebih dahsyat dari peperangan fizikal. Kerana ia berhasil menukar singa yang berani menjadi kijang yang lari bertempiaran. Hmm.. Badan saja singa, tapi fikirannya adalah kijang yang lari bertempiaran, sebagaimana yang berlaku dalam cerita di atas.

Dengan pelbagai ‘strategi berbisik’ yang dilakukan musuh Islam, akhirnya ummat Islam ‘berjaya’ dikalahkan.. Walaupun mereka mendabik dada mendakwa mereka merdeka dari penjajah. Patutkah penulis menggunakan ‘mereka’? Sedangkan penulis juga termasuk salah seorang dari jutaan ummat Islam.

Sabtu, 4 Disember 2010

Pengajaran seterusnya dari hadithul ifk

Ketiga

Tidak mengikut jejak langkah syaitan yang sangat hasad, bongkak dan takabbur.

Ini adalah senjata yang digunakan syaitan dulu kini dan selamanya (eh? macam pernah dengar.. hehe).

Hasad dengki adalah perasaan tidak senang terhadap kelebihan nikmat yang Allah beri pada seseorang hingga kita terasa mahu 'mencabut' nikmat tersebut darinya. Manakala bongkak itu adalah hasil tuai sifat takabbur.
Dari segi bahasa takabbur itu bermaksud membesar diri. Takabbur adalah satu sifat yang menunjukkan kita merasa diri kita sangat bagus dan mulia dari orang lain.

Takabbur merupakan kepakaran syaitan. Maka ia sangat mudah untuk diajarkan pada kita. Sedang kita pula sangat jahil dan tidak sedar bahawa sifat ini terpalit dalam diri.. Akhirnya jadilah penyakit yang sangat mengotorkan hati.

Nanti penulis akan tulis lagi mengenai takabbur ini secara detail dalam entri lain..

Yang penting untuk kali ini adalah tidak menurut jejak langkah syaitan..

Keempat

Tidak menyebarkan kekejian kepada khalayak samada secara langsung atau tidak. Hmm jelas lagi terang..

Pernah jugak penulis terjumpa budaya: bila dah buat maksiat, balik cerita dengan 'geng'.. Hmm sudahlah melakukan maksiat cerita pulak pada orang. Ia perkara tidak dituntut, malah dilarang..

Atau pun dah nampak orang buat maksiat, sebar cerita kat internet. Paling tidak pun sebar pada 'teman-teman rapat'.. hmm.. tak elok benar perbuatan macam ni.. Ia boleh mengotorkan hati jugak

Kelima


Menahan lidah dari bercakap sesuatu yang menyakiti orang ramai.

Apakah perkara yang kata-kata yang menyakiti orang ramai?
  • menuduh..
  • atau hal-hal yang berkait dengan pergaulan..
Kadang-kadang kita tidak sedar yang HOBI bercakap kita menyebabkan kawan-kawan dan saudara sekeliling kita sakit hati.. Jadi berjaga-jagalah dengan fitnah dan dosa mulut wahai diri sendiri. Mari kita berusaha sedaya upaya.

Kadang-kadang, kita jarang bercakap, tapi setiap kali kita membuka mulut, ada sahaja yang sakit hati dengan perkataan kita. Semoga Allah pelihara kita dari keadaan macam ni..

Akhir kata, penyucian jiwa itu sangat penting dan itu antara misi perutusan Nabi Muhammad s.a.w. ke dunia ini. Penyucian jiwa agar kita kembali pada Allah bersih dari dosa.. Misi hidup kita adalah untuk kembali pada Allah.

Jika sebelum ini tidak pernah terfikir pun mengenai pembersihan jiwa, maka inilah masanya. Jika sebelum sudah pun terfikir mengenai penyucian jiwa.. Maka rebutlah peluang ini untuk meneruskan misi anda.. Ilalliqo (jumpa lagi)

Jumaat, 3 Disember 2010

Sambungan penghayatan cerita best

Baiklah, tanpa seleweng jauh-jauh (huh menyeleweng?? betul ke penggunaan kat ni??)  Ayuh kita sambung dengan senarai pengajaran HADITHUL IFK sebagaimana yang telah dijanjikan. (Ha? tak faham maksud hadithul ifk? Ha mesti baca lompat ni. Sebab tu tak faham.. kalau nak tahu bacalah dari awal ye..) 

Memahami hadithul ifk dari kata maca -hmm, macam tersasul je? kaca mata la..- dari kaca mata kita sebagai manusia yang sentiasa berusaha melakukan penyucian jiwa. -eh tak pernah fikir pun fasal penyucian jiwa selama ni? okay takpe, inilah masa untuk berfikir tentangnya-

Pertama

Dalam melaksanakan penyucian jiwa, halangan sangatlah banyak.. (mengapa saya rasa tatabahasa ayat ini sungguh dahsyat??) Dengan kesedaran kita, BANYAKNYA halangan, maka hendaklah kita sedar bahawasanya kita sangat memerlukan kemurahan dan kasih sayang Allah dalam melaksanakan tazkiyatun nafs...

Dalam merealisasikan tazkiyatun nafs, kita memerlukan 2 perkara utama:
  1. mengerah dan meraih segala kekuatan dan tenaga 
  2. Memohon pada Allah dengan tidak putus-putus untuk mendapatkannya (jiwa yang bersih)
"Ya Allah kurniakanlah kami ketaqwaan dalam jiwaku dan sucikanlah ia sebab ENgkaulah sebaik-baik zat yang dapat menyucikan jiwaku. Engkau Maha Mengatur lagi Maha memiliki"

Ha, kan siap ada doa lagi Allah ajarkan kita.. Amalkan lah doa ni..

Kedua

Memberi keampunan kepada orang yang berbuat buruk pada kita juga termasuk dalam tazkiyatun nafs. Haa. musti huraikan sikit. Nanti jadi tak berapa jelas pulakkan..

Ingat tak cerita Abu Bakr tak nak sambung bantuannya pada Misthah bin Utsasah kerana terlibat dalam penyebaran dan mempercayai fitnah terhadap Aisyah r.a.?? Hmm kalau tak ingat sila semak kembali.. Sebenarnya, masa ABu Bakr r.a berazam macam ni, Allah turunkan ayat seterusnya dalam surah An-Nur ayat 22:

"Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan diantara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi bantuan kepada kerabatnya, orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah dijalan Allah dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka Allah mengampunimu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayanng"

Sedarkah kita bahawasanya memaafkan itu termasuk cara menyucikan jiwa? Memaafkan itu membersihkan diri? FUh.. alangkah bestnya.. Ye lah. Kalau nak ikutkan, entah banyak mana la salah kita pada manusia lain kan? Dengan memaafkan salah orang lain pada kita, kita harap, Allah akan maafkan kita jugak..

Kalau nak kira dalam cerita Aisyah ini.. Pedih ooo Kena fitnah tu. Fitnah tu bukan fitnah biasa-biasa punya. Fitnah berzina kot.. Tapi Allah suruh MAAFKAN! Ha.. kalau kita ini, orang buat salah kat kita, kemain susah nak maafkan.. Walhal, salah itu takde la besar sangatkan?.. Sakit hati sikit je pun.. Ayuh kita belajar memaafkan untuk menyucikan jiwa kita... SUSAH TAPI TAK MUSTAHIL.. dengan bantuan dan rahmat Allah..

Ade 3 lagi pengajarannya..

Bersambung...

Khamis, 2 Disember 2010

Penghayatan dari cerita best sebelum ni

Haa.. sapa baca lompat-lompat memang takkan dapat la apakah mutiara yang terkandung dalam cerita best sebelum ni... (hmm cewah ugut orang suruh baca sebijik-sebijik pulakkan -_-')

Antara tema besar yang ada dalam peristiwa fitnah keatas Aisyah adalah: PENYUCIAN JIWA. Dalam perkataan CANGGEHnya adalah TAZKIYAH AN-NAFS.

Ops lupa pulak nak memberitahu pada kawan-kawan. Entri kali ini penulis tulis berdasarkan sebuah buku yang bertajuk "Induk Penyucian Jiwa" tulisan Said Hawwa. Hoo BEST bangat buku neiii tau -huh kenapa perlu eja pelik-pelik macam ni?-

Penyucian jiwa adalah perbuatan membersihkan diri dari perbuatan syirik dan segala bentuk kelakuan yang membawa kepada hal tersebut.

Haaa sebelum menyambung penghayatan cerita bEST tu. Mari penulis beri peringatan pada diri dan kawan-kawan pembaca sekalian. bahawasanya, janganlah rasa maksud penyucian jiwa itu membersihkan diri dari syirik.. maka kita sudah terlepas dari tanggungjawab menyucikan jiwa kerana kita rasa kita sudah beriman pada Allah..

Kenal betulkah kita pada SYIRIK itu? Atau sudah pastikah kita benar-benar TIDAK SYIRIK?? Berani jamin kerrr?? -apesal yang perlu bubuh tetrlalu banyak 'rrrr' pulak ni?-

Baiklah, demi mengesahkan diri kita benar-benar MAHU melakukan penyucian jiwa ini, maka kita HENDAKLAH:
  1. melaksanakan pemahaman Allah itu Maha Esa dalam segenap aspek kehidupan.
  2. Melaksanakan akhlaq yang sesuai dengan asma Allah. (Asma Allah yang boleh ditirulah maksudnya..)
  3. Menghambakan diri secara sempurna. dengan kata lain, membebaskan diri dari mengakui diri sebagai tuhan atau bersifat sebagaimana tuhan. maksudnya, kita tidak meniru Asma Allah yang tidak sepatutnya ditiru.
ok, sebelum kawan-kawan terkonfius dengan lebih dalam, adalah tanggungjawab penulis untuk memastikan kekonfiusan itu tidak berlaku (kekonfiusan?? waduh rosak bahasaku) 

Sebagaimana yang kita tahu, nama-nama Allah ada 99 kan? dan sifat Allah pula ada 20. Dalam 99 nama Allah dan 20 sifat Allah itu, ada yang kita boleh tiru. Contohnya: pemaaf, mengasihi, pemurah.. dan inilah maksud bagi no.2 diatas itu. Dalam senarai 99 nama Allah dan 20 sifat Allah itu ada juga sifat Allah yang tidak BOLEH dan TIDAK DIBENARKAN untuk kita menyerupainya.. contohnya: SOMBONG, WUJUD dan KEKAL.. ha ini lah maksud untuk no.3 kat atas itu..

Orait. Pada pendapat penulis itu sudah cukup jelas. (cewah, boleh pulak menganggap ye? kalau tak faham jugak cane? tak faham kalo, tanya lah ye.. jangan malu-malu tau) Boleh je tanya kalau masih tak faham. Penulis berbesar hati untuk menjawab segala kekeliruan (haaa tetibe baru dapat perkataan yang sangat sesuai untuk menggantikan perkataan rosak itu -kekonfiusan-).

Aiseh, baru cerita muqaddimah je ni.. Belum pun masuk isi penghayatan cerita best.. Dah panjang berjela.. Maka bersambunglah entri ini..

Bersambung..

Rabu, 1 Disember 2010

Sambung cerita best

Betapa teruknya fitnah melanda Aisyah itu sehingga Aisyah meminta izin dengan Rasulullah untuk pulang dan tinggal bersama ibu ayahnya. Sehingga ada sahabat-sahabat baginda yang menasihatkan supaya Rasulullah mencari isteri lain bagi menggantikan Aisyah r.a.

Bayangkan perasaan Aisyah ketika itu.. Kalau kita kena tuduh sikit pun, kita dah gelabah.. Susah hati. sakit hati.. bimbang. Ini kena tuduh berzina. Isteri Nabi tu. Aduh sakitnya kena tuduh macam tu..

Ramai sahabat yang secara tidak sengaja terlibat dalam 'mempercayai' fitnah ini. Antara mereka termasuklah Ali bin Abi Thalib dan seorang ahli keluarga Aisyah r.a (yang mendapat bantuan tetap Abu Bakr r.a); Misthah binti Utsasan.

Ekorang peristiwa ini, hubungan Aisyah dengan Ali menjadi kurang harmoni. Dan Abu Bakr berazam untuk tidak lagi membantu Misthah.

Sehinggalah pada suatu hari, Allah telah menurunkan wahyu pada Rasulullah s.a.w..

Wahai orang yang beriman, Janganlah kamu mengikuti langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perkara keji dan mungkar. Kalau bukan kerana kurnia Allah dan rahmatNya padamu, nescaya tiada seorang pun diantaramu bersih  dari perbuatan keji dan mungkar itu selamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Mendengar lagi MAha Mengetahui.

Surah AN-NUR 21.

Bersihlah Aisyah r.a dari segala fitnah yang menuduhnya berzina.. Kalau kawan-kawan nak tahu lagi, bolehlah kawan-kawan rujuk surah An-Nur ayat 1 hingga 27.

Orait, dah tamat pun cerita ini.. Cerita ini disebut sebagai HADITHUL IFK.. dalam bahasa melayunya diterjemah sebagai peristiwa fitnah.

Apakes bercerita cerita panjang ini? Pastilah ada tujuannya.. Dan tujuan penceritaan ini, akan di sambung dalam siri tulisan yang akan datang.. Baiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii Jangan bosan dan putus asa menjadi hamba Allah yang baik..

  

Entri terkenal