Khamis, 10 Ogos 2017

Anda putus asa dan kecewa?


Hasil carian imej untuk ikan paus


Masih terngiang-ngiang nasyid di zaman kanak-kanak

"Wahai kawan-kawan mari dengar cerita.."
"Kisah Nabi Yunus dalam perut ikan nun.."
"40 hari 40 malam.. barulah taubatnya di terima Tuhan.."

Mari kita imbau surah Al-Anbiya: 87 dan 88.

وَذَا النُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَىٰ فِي الظُّلُمَاتِ أَن لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ ﴿٨٧﴾ فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَنَجَّيْنَاهُ مِنَ الْغَمِّ ۚ وَكَذَٰلِكَ نُنجِي الْمُؤْمِنِينَ ﴿٨٨

Dan Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri". 

Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).

....

Setelah melakukan suatu kebaikan dalam tempoh semangat dan berterusan, entah akan tiba suatu hari yang begitu mencabar kesungguhan dan iman..

Rasa begitu kecewa dan kecil hati..
Dengan apa sahaja, dengan siapa sahaja..

Hingga muncul rasa:
CINTA pada kerehatan,
SELESA berdiam diri dari kewajipan yg telah Allah berikan.
begitu RINDU untuk mengasingkan diri dari kelompok orang soleh.
BAHAGIA menikmati keseorangan melayan perasaan kekecewaan dan kehampaan..
TIDAK RASA BERSALAH melayan perasan marah kepada manusia jahil.

Ketuk dan sedarkanlah diri dengan Al-quran..
Ayat Allah dalam surah Al-anbiya 87 dan 88 ini.

Banyakkanlah menyebut dan membaca apa yang disebut oleh Nabi Yunus a.s sepanjang beliau berada dalam perut Ikan Nun..

Kerana HANYA ALLAH lah yang akan mengabulkan permintaan maaf dan menyelamatkan kita dari kesusahan.

dari kesusahan apa? Susah kerana TIADA RASA BERSALAH meninggalkan AMAL KEBAIKAN.

Sekian.
Harap terasa dan berusaha.


Khamis, 22 Jun 2017

Cakap salah, diam pun salah.

Bila bercakap,

Kamu bercakap itu seperti mengadu.
Kamu punya cara cakap itu sangat mengejutkan saya.

Bila diam,

Kenapa kamu tidak bercakap dengan si A.
Bukankah biasanya kamu bercakap?
Kamu sepatutnya menjaga silaturahim apatah lagi kamu sebagai senior.
Tidak boleh jadi pendiam sebegini.

Bila kita buat sesuatu kerana manusia..
Ia tidak akan pernah betul..
Kerana awalnya lagi sudah silap.
Niat kerana keredhaan manusia..
Ia sebenarnya mensyirikkan Allah dalam amalan..

Jadi buatlah kerana Allah.

Bercakap dan diamlah kerana perintah Allah..
Kerana Allahlah yang akan mengganjari kita.

Komen itu mudah.
Semudah budak 3 tahun menyebutkan: baju makcik cantik.

Memberi nasihat itu yang memerlukan ilmu dan akal.
Bukan mengikut citarasa dan kehendak selera peribadi.
Kerana itulah AGAMA ITU NASIHAT.

Bercakaplah kerana Allah,
Diam juga kerana Allah.
Bukan kerana manusia lain atau diri sendiri.

Semoga berjaya.
Selamat memburu lailatul Qadr.

Selasa, 20 Jun 2017

Merungut

*Menurut kamus dewan bahasa dan pustaka online; merungut adalah menyatakan sesuatu secara panjang dan meleret tanpa tujuan yang jelas. 

"Kenapa asyik saya?"
"Bosannya buat kerja ini.. sejam. lama tu.."
"Mereka kenapa tidak buat begini? kan sudah jadi begitu.."

Apakah faedah dan keuntungan kita meluahkan perkataan sebegini?

Meluahkan itu penting, agar tidak terkena penyakit kemurungan.
Meluahkan itu penting, agar tidak dendam.

Tetapi bagaimanakah cara meluahkan itu? (Itupun jika tujuannya 'meluahkan')

Adakah dengan luahan di hadapan semua pekerja sekeliling akan menyelamatkan kita dari kemurungan dan dendam? 

Dan adakah dengan menyebut-nyebut dengan suara kuat, berulang kali, dan tanpa di ketahui secara jelas berbual dengan siapa itu suatu luahan?

atau ia adalah SEBUAH RUNGUTAN yang lahir dari hati yang serabut dan gundah gulana?

.....

Merungut tidak menyelesaikan masalah.
Merungut juga tidak menjadikan hati lebih bahagia.
Merungut juga tidak menggembirakan pendengar.
Merungut tidak melahirkan orang yang tabah dan sabar.

Merungut itu membazir masa dan tenaga.
Merungut merosakkan suasana semangat bekerja.
Merungut menjadikan hati lebih sesak dan sempit.
Merungut tidak membawa faedah apa-apa.

Bilanglah nikmat Allah,
pasti kita akan malu untuk merungut.

Masalah dan cabaran untuk di urus, bukan untuk di runguti.
Jadikan ramadhan kita tahun ini kurang rungutan dengan menambah kesyukuran!

Sekian, selamat mengejar lailatul qadar.



Isnin, 1 Mei 2017

Al-maun - tolong menolong

Sambil duduk menikmati suasana angin pantai yang sepoi bahasa..
Tanyalah pada diri sendiri..

Sudah berapa kali aku khatam BACA Al-quran selama hidup?
Sudah berapa kali pula aku khatam MEMAHAMI isi kandungan Al-quran?
Sudah berapa kali pula aku khatam MENGAMALkan ajaran Al-quran?

Mari kita hayati surah Al-Maun.


بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

 أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ ﴿١﴾ فَذَٰلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ ﴿٢﴾ وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ ﴿٣﴾ فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ ﴿٤﴾ الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ ﴿٥﴾ الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ ﴿٦﴾ وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ ﴿٧


 Tahukah engkau akan orang yang mendustakan ugama (meliputi hari pembalasan)?

Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,

Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.

 maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang -

(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;

(Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya),

Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).


...

Orang mendustakan agama bukan orang tak solat tak puasa..
Awal-awal Allah sebut dalam ayat kedua..
Orang yang zalim!

Orang yang mendustakan agama adalah orang zalim.
Siapa?
1- orang yang menindas anak yatim
2- orang yang tidak berbbuat baik kepada orang miskin

Kemudian barulah Allah sebutkan

Orang Zalim juga termasuklah mereka yang
1- lalai dalam solat
2- orang yang riak dalam melakukan solat

Dan lagi sekali Allah sebutkan untuk kita..
Orang zalim adalah orang yang enggan memberikan pertolongan!

Sabtu, 22 April 2017

Lepas solat istighfar?

Bukankah solat itu pahala?
Mengapa kita beristighfar pula selepas solat?..

Tidak pernah terfikir dek akal.
Ikut sahaja imam buat lepas solat kan..
Imam tasbih, kita tasbih..
Imam istighfar, kita pun istighfar..

Rupanya
dalam solat, tak selalu kita khusyu.
dalam solat juga, tidak terjamin kesempurnaannya.
dalam solat, kita lagha..
dalam solat, mungkin niat kita tersasar..

Maka istighfar itu amat perlu.

Jika dalam solat yang terkawal perkataan dan gerakkan..
Kita masih berpotensi terdedah dengan dosa..
Apatah lagi dalam berdakwah.

Dakwah itu perkara mulia dan pahala.
tapi dengan berdakwah juga kita berpotensi 'menghias' dosa ke dalamnya,
Maka selepas berdakwah lebih-lebih lagi kita perlu beristighfar..

Dalam berdakwah..
Kita diuji dengan bertemu dengan orang-orang yang mencabar kesabaran kita.
Agaknya bagaimanakah akhlaq kita ketika itu?
Sedarkah kita..
Istighfar sekurang-kurangnya mengingatkan kita agar tidak 'perasan' dengan perbuatan mulia kita tu tanpa dosa.

Semoga Allah jaga hati kita semua dari amal soleh bercampur dosa.

Khamis, 13 April 2017

Tarbiah dengan peristiwa

Kisah 1

Syed Muhammad Nuh..
Penulis lebih 20 buku ilmu agama..
Ditakdirkan Allah meninggal kerana penyakit kanser.
Antara petikan kata-kata beliau ketika dalam rawatan dan penderitaan penyakit;
"Aku amat takut kembali kepada Allah dalam keadaan tidak mampu menjaga amanah badanku ini, sedangkan banyaknya nikmat-Nya kepadaku"

Kisah 2

Seorang wanita beranak 2.
Telah pun membuang kanser di payu dara beberapa tahun lalu.
Tidak berapa lama doktor mendapati kansernya telah merebak ke tulang..
Hampir semua tulang beliau..
Ubat tahan sakit paling kuat pun masih tidak mampu menahan kesakitan beliau.

Kisah 3

Seorang lelaki sanggup berkahwin dengan seorang wanita kerana keberanian wanita tersebut menghadapi penyakit kanser..
Dan memenuhi janji menjaga isterinya
hinggalah isteri tersebut di panggil bertemu dengan Tuhan-Nya.

Kisah 4

Seorang isteri di satu hujung dunia.
Setiap hari menyediakan makan pakai suami.
Suaminya sudah tidak mampu bergerak seperti manusia normal.
Mereka sama tua sama rabun dan sama lanjut usia.
Tidak pernah di dengar keluhan menjaga suami setiap kali berjumpa..

Hinggalah pada suatu hari suami di panggil mengadap Ilahi.
Bergenang air di birai mata sambil bercerita saat-saat terakhir menjaga suami.
Kelihatan tenang selepas bersolat berdoa dan membaca kalimah Tuhan.

...........

Inilah latihan realiti.
Bagi yang melihat, inilah tarbiah dengan peristiwa
Bagi yang memikulnya ia bukan lagi tarbiah..
Tapi praktikal menghadapi ujian untuk menjadi yang terpilih disisi-Nya.

Semoga mereka menjadi inspirasi buat para manusia seluruh dunia.
Meskipun mereka bukan Nabi atau sesiapa yang hebat di mata dunia, tapi mungkin merekalah yang telah di pilih Allah untuk berada dalam lembayung rahmat-Nya.


Khamis, 6 April 2017

Zalim?

Kisah fir'aun memang terkenal.
Siapa tidak kenal piramid tersergam di Mesir hingga sekarang.
Teknologi sekarang masih belum mampu membongkarnya.

Kisah fir'aun kisah orang Zalim.
Contoh Orang Zalim yang Allah simpankan untuk manusia hingga akhir zaman agar manusia nampak kekuasaan Allah.

Rujuk surah Yunus ayat 92:

فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً ۚ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ 

"Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu . Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!". 

Fir'aun zalim..
Fir'aun lah yang mengeluarkan perintah bunuh semua bayi lelaki Bani Israel..
Zalim sebab bunuh orang.
Zalim sebab aniaya manusia lain.
Betulkah itu maksud zalim yang kita faham?

Apa maksud zalim sebenarnya?
Terdapat pelbagai terjemahan tentang zalim dan asal usul perkataan tersebut, tapi penulis mudahkan dengan maksud berikut sahaja

"tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya"

Mungkin kita pernah menghafalnya..
Tapi entah apa ertinya, kita pun tak tahu..

Zalim itu memberi tugasan pada yang tidak mampu.

Si A sudah mempunyai 5 tugasan, tambah lagi 5 tugasan kepadanya.

Kerana si A bekerja lebih lama, berikan kepimpinan padanya tapi si A lansung tidak tahu bagaimana mahu menguruskan pekerja bawahannya.

Upah kerja sangat tinggi. Si A tetap terima tugasan walaupun dia tahu dia tidak mampu melakukan tugasan tersebut.

Zalim itu tidak memberi hak pada yang berhak.

Zakat banyak.
Tapi orang miskin luar bandar tidak terasa duit zakat tersebut.

tidak memberi maaf kepada yang meminta maaf.

Tidak menjawab salam kepada yang memberi salam.

Tidak hormat dan kasih pada yang patut dihormati dan dikasihi.


Zalim itu memberi pada yang tidak layak.

orang belajar kehakiman, bagi kerja akauntan.

orang belajar kewarganeraan dan undang-undang, letak dalam penjara.

kerja orang lelaki, bagi perempuan buat, begitu juga sebaliknya.

orang buat salah, tidak dihukum dan tidak dibicara.

orang yang menyatakan kebenaran di sekat dan difitnah derhaka.


Zalim itu membiarkan orang tanpa petunjuk sedang kita ada panduan.

Orang memahami tanggungjawab menyampaikan dan mengamalkan islam dalam kehidupan tetapi hanya menyimpan Islam dalam buku dan seminar.

Orang mengamalkan Islam cukup hanya untuk dirinya dan keluarga, tidak kisah tentang masyarakat.


Zalim itu melakukan sesuatu luar batasan.

Beli kereta sampai 10, yang guna 1 je yang lain jadi perhiasan.

Majlis yang boleh jalan dengan 5 ribu kos tapi guna sampai 10 ribu.


Apa yang disenaraikan hanyalah contoh-contoh untuk pembaca memahami..
Jika perlukan huraian yang lebih mendalam, carilah guru yang berdekatan..

Isnin, 6 Mac 2017

Nada suara orang beriman

Sebalik kekecohan ciptaan manusia,
Menghayati warna alam lukisan Tuhan,
Membuatkan hati terasa lapang dan tenteram.

Firman Allah dalam surah Hujrat ayat 2:

إِنَّ الَّذِينَ يَغُضُّونَ أَصْوَاتَهُمْ عِندَ رَسُولِ اللَّـهِ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ امْتَحَنَ اللَّـهُ قُلُوبَهُمْ لِلتَّقْوَىٰ ۚ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ

"Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah (s.a.w), - merekalah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertaqwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar"

Allahu akbar.
Ayat Quran ini diturunkan untuk seluruh manusia, bukan yang beriman sahaja bahkan juga untuk yang tidak beriman.

Allah menceritakan ttg orang yang menjaga nada suara mereka..
Tafsir di atas menyebutkan, orang yang merendahkan suara itu yang telah dibersihkan hati mereka..
Ada juga tafsir lain yang menterjemahkan, orang yang merendahkan suara itu orang yang telah teruji hati mereka..

Allah yang menceritakan akhlaq orang-orang yang beriman dan orang yang dididik Rasulullah.
Tuhan, Raja sekalian alam yang menceritakan..
Ini sifat orang beriman!

...

Menyedari intonasi dan nada suara diri sendiri ketika bercakap bukanlah satu perkara mudah.
Sedarkah kita bagaimana selama ini jenis intonasi dan nada mana yang kita pilih untuk berkomunikasi dengan manusia?

Bercakap dengan anak-anak..
Bercakap dengan rakan sebaya dan sekerja..
Berbincang dengan pesakit dan pelanggan..
Bermesyuarat dengan pegawai atasan dan pemimpin..

Mengapa Allah katakan orang yang merendahkan suara ketika bersama Nabi itu yang sudah TERUJI dan telah di bersihkan hati? Dan yang lebih mengharukan.. Mereka mendapat keampunan dan pahala dari Allah?

Jawapan tidak akan diberikan disini.
Bacalah Quran.
Pelajarilah isi kandungannya,
Ajarannya praktikal tak kira siapa pun anda.

Wallahu a'lam.



Entri terkenal