Peringatan ini buat diriku yang lupa,
Jika ia bermanfaat pada pembaca,
Bolehlah menghayatinya,
Supaya kita sama-sama tidak lupa.
Marah tidak bertempat itu tanda takabbur,
Memotong cakap orang pun tanda takabbur,
Terlebih kecil hati dengan layanan tidak baik orang juga tanda takabbur,
Tiada kekuatan memaafkan orang juga takabbur.
Memperlekeh idea orang memang takkabur,
Sakit hati takfasal-fasal pun takabbur,
Cakap macam bagus juga takabbur,
Enggan melayan orang selayaknya juga petanda takabbur,
Sukar memohon maaf juga takabbur,
Susah mengaku salah termasuk takabbur.
Apalagi menegakkan benang yang basah, terang-terang takabbur.
Ya Allah aku tidak tahu apa itu takabbur.
Tidak dapat menerima kesalahan sendiri termasuk takabbur,
Memperkecilkan usaha orang juga tanda takabbur,
Enggan berdoa juga takabbur,
Malas beribadah adalah kemuncak takabbur.
Perlukah berbangga dengan baju yang cantik?
Atau dengan wajah yang sangat menawan?
Atau dengan harta yang banyak?
Atau kerana ilmu yang banyak..
Atau kerana pointer yang tinggi?
Atau bacaan Quran kita yang sedap?
Atau kerana kita tidak berbuat salah seperti orang lain?
Atau komitednya kita dengan suatu perbuatan baik?
atau kerana pujian dan sanjungan manusia?
atau kerana pujian dan sanjungan manusia?
Perlukah begitu takabbur kerana perasan ‘taat’ pada perintah Allah?
Tahukah wahai diri,
Merendah diri kerana mahukan sanjungan orang termasuk tanda takabbur.
Bercakap dengan nada memerli kesalahan orang juga bibit takabbur.
Setiap manusia itu memikul saluran najis yang sarat.. Layakkah untuk bersikap takabbur?
Berjasa sangatkah kamu dengan menjadi orang yang ‘baik’?
Besar sangatkah pengorbanan kamu menegak agama Allah hingga perlu takabbur?
Apakah makna cantik dan elok itu jika ia hanya akan menjadi bahan bakar api neraka?
Apa itu takabbur wahai Tuhanku? Hingga ia merosakkan semua amal solehku.. Itulah penyakit hati yang disebarkan iblis laknatullah jika hamba itu tidak ikhlas keranaNya.
Takabbur berasal dari perkataan kabir. Ertinya besar. Jadi takabbur bermaksud besar diri. Punca menjadi besar diri kerana merasa diri itu lebih baik dari orang lain kerana pelbagai ‘nikmat dan kelebihan’ yang dirasakan miliknya.
Ya.. tidak semua buah cantik diluar bermakna tidak ditebuk ulat. Begitu juga amal soleh.. Tidak semua amal soleh yang nampak ‘soleh’ itu sebenarnya cantik dan tidak ditebuk takabbur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan