Sabtu, 5 November 2022

Mampu, amanah dan jujur

Salam sejahtera..

Sejahteranya alam dengan ketaatan dan kepatuhannya pada susun ketetapan Allah. 

Contohnya: Matahari menerangi bumi pada waktu siang dan berputar pada paksinya serta bergerak mengikut kelajuan yang telah ditentukanNya. Alam tidak akan sejahtera apabila matahari ingkar untuk berputar pada paksinya atau mahu mengubah kelajuanmya berlari. Bayangkan apa yang akan berlaku pada hari kita sebagai manusia di atas muka bumi.

Sejahteranya alam apabila ia masih elok dan boleh diduduki tanpa pemanasan global dan kehebatan manusia (dengan izin Allah) menguruskan fenomena perubahan iklim dan bencana.

Sejahteranya alam apabila haiwan dan pokok masih boleh hidup dan berlindung di habitat masing-masing.

Sejahteranya alam apabila manusia juga masih mampu taat dan patuh pada susunan Allah.

Kesejahteraan alam hanya dapat di kekalkan apabila susunan ketetapan Allah dipatuhi.

Kesejahteraan alam hanya dapat dinikmati dan dihargai oleh makhluq yang tahu erti kesejahteraan itu..

Kesejahteraan alam hanya dapat dikekalkan oleh makhluq yang tahu, faham dan mempertahankan kesejahteraan tersebut.

Bagaimana mungkin kesejahteraan alam itu dapat dipertahankan oleh manusia yang lansung jahil tentangnya?

Kesejahteraan alam hanya boleh dibina, dicapai dan dipelihara apabila ada manusia yang tahu, mampu, amanah dan jujur dilantik oleh manusia yang sekurangnya ada pengetahuan tentang kesejahteraan alam itu perlu dipertahankan.

Turunlah mengundi, pilihlah gabungan yang membentuk sebuah jentera kepimpinan yang mampu, amanah dan jujur dalam memelihara kesejahteraan alam.

 ....


Kekecewaan lalu tidak akan dapat diubati dengan tidak turun mengundi apatah lagi dengan merosakkan undi.

Ia hanya menambahkan kekecewaan.

Sabtu, 10 September 2022

4 hari selepas pemergian atuk

Masih terbayang dimata..
Lelah Atuk berusaha membuka pintu rumah selepas di ketuk.

Terngiang-ngiang di telinga pesanan Atuk, tolong tengokkan kebun Atuk, biarlah tanpa pengetahuan Atuk pun. Tolong tengok dan ambillah buah-buahan yang ada di sana.

Atuk sudah tua. Atuk makan banyak ubat. Atuk kuat semangat, tidak pernah nampak Atuk sedih sebagaimana Umi dan Tokwe meninggal.

Atuk pernah bercerita; Atuk sangat sedih semasa Umi meninggal, lebih sedih dari kehilangan ibubapanya dahulu.

Mulut Atuk selalu sebut Allahu akbar setiap kali nak beralih dan bergerak. Allahu akbar.

Atuk pernah masuk bilik bawah tanah yang di gali untuk berlindung dari tentera Jepun. Umur Atuk ketika itu remaja atau atau awal dewasa. Atuk sudah lupa berapa umur Atuk ketika pengalaman itu dilalui.

Atuk juga pernah bercerita..
Atuk membesar dan hidup dengan ibunya. Ayah kepada Atuk tidak tahu pergi ke mana.
Bila Atuk umur 10 tahun, Atuk sudah pun bekerja sendiri.. Antara kerja yang Atuk buat pada masa itu petik buah kelapa dan jual. Bagaimana Atuk petik pun Atuk cerita, tapi aku sudah lupa.

Loghat Kelantan Atuk sangat pekat. Sukar untuk difahami butiran perkataan dan ayat Atuk bila Atuk bercerita panjang jika pendengar tidak begitu fasih dengan loghat ini.

Rezeki Allah untuk Atuk begitu luas. Atuk telah lulus darjah 6 dan berjaya menyambung pelajaran ke darjah 7.. Atuk jadi cikgu selepas itu, sampai Atuk pencen.

Zaman Atuk lahir, takda surat beranak mahupun sistem pendaftaran kad pengenalan. Jadi tarikh lahir di kad pengenalan Atuk hanyalah agak-agak berdasarkan kiraan Atuk.

Atuk selalu cerita pengalaman mengajar budak sekolah semasa Atuk masih belum bongkok.. Cerita di ingati adalah cabaran mahu disiplinkan anak murid.

Atuk rajin tulis diari.
Atuk tulis diari setiap hari dalam bilik Atuk.
Memori memasuki bilik Atuk dan membaca diari Atuk masih di ingati dengan jelas.
Tulisan rumi Atuk cantik dan kemas..
Atuk juga pernah mengajarkan aku teknik menulis huruf hijaiyyah dengan besar jelas dan kemas.

Atuk juga pernah cerita Atuk pergi ke Pulau Pinang mengiringi Ayah ke temuduga bekerja. Atuk cakap, Ayah tidak sempat cuti selepas belajar terus dapat rezeki bekerja.

Aku sebagai cucu sedih dengan pemergian Atuk, apatah lagi anak-anak beliau. Sentuhan Atuk dalam hidupku pastilah tidaklah sebanyak sentuhan Atuk kepada anak-anaknya..

Semog Atuk, Tokwe dan Umi tenang di sana.

Ya Allah, kasihanilah mereka sebagai mana mereka mengasihi anak-anak mereka ketika anak-anak dan anak saudara mereka masih kecil.

Isnin, 8 Ogos 2022

Tiada yang setanding denganNya

Katakanlah: Dialah Allah Yang Maya Esa.
Dialah tertumpu segala makhluq.
Tidak beranak dan tidak diperanakkan.
Dan tiada suatu pun yang setara denganNya.

Allah Tuhan Yang Maha Besar.
Allah Tuhan Yang Maha bijaksana.
Allah Pencipta yang Maha Hebat.
Allah itu SUCI dari segala kesalahan, kelemahan dan kekurangan.
Allah amat mengetahui segala perkara kecil halus hingga besar tidak kelihatan dimata.
Allah jugalah yang Maha Pengasih dan Pengampun.

Allah adalah RAJA segala raja.
Tiada siapa boleh merampas KEMULIAAN ALLAH.
Memuliakan diri sendiri dan orang lain tanpa sedar Yang Maha Mulia itu adalah Allah hanya akan membawa kerugian dunia dan akhirat!


Entri terkenal