Selasa, 12 April 2011

Ghurur [terpedaya]

Muqaddimah

Lamanya tidak bertanya khabar para pembaca mutiarajannah. Apakhabar anda semua? Sihatkah iman atau sedang sakit.. Jika sihat semua alhamdulillah, jika sakit cepat-cepat makan ubat [istighfar dan baiki amalan wajib supaya menjadi sebaik mungkin].

Kehidupan kita tidak pernah sunyi dari bisikan syaitan yang sentiasa menemani. [Hah, bunyi macam seram sahaja]. Setiap kali berlaku sesuatu peristiwa, datanglah pelbagai jenis fikiran-fikiran dan idea-idea jahat entah dari mana datang. Itulah bisikan syaitan. Alhamdulillah, jika kita sedar fikiran buruk sedang menjalar. Tapi apa akan jadi pada kita, jika kita sebenarnya tidak sedar yang syaitan sedang memberikan idea-idea “bernas” pada kita?

“Yang sentiasa membisikkan kejahatan kedalam dada manusia” Surah An-Nas: 5.

Kita selalu menyempitkan skop pemahaman berlindung dari jin dan syaitan itu berlindung dari sihir dan ilmu hitam.. Sedangkan maksud berlindung dari makhluq jin dan syaitan itu sebenarnya lebih luas maksudnya.

Kita tidak pernah takut untuk bersangka buruk dengan saudara kita. Kerana kita tidak sedar, sangkaan itu bukaanlah fikiran kita, tapi bisikan syaitan yang sedang memasuki fikiran dan hati kita. Maka tiadalah perlindungan yang di pohon pada Allah ketika hati mengganas melakar pelbagai cerita sangka buruk pada sahabat dan teman seperjuangan bahkan pada orang yang mungkin tidak kenali pun. Halusnya bisikan syaitan hingga susah sekali hati kita yang bertompok dengan dosa ini untuk mengenalinya. Akibatnya kitakalah dengan bisikan tersebut..

Entah berapa kali Allah mengingatkan kita dalam Al-Quran: “Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata”. Tapi sebanyak itu jugalah kita lalai dan tidak pernah memanfaatkan nasihat peringatan Yang Maha Mengetahui.

Terpedaya dengan bisikan syaitan. Tertipu dengan segala nikmat Allah. Merasakan kita sangat layak untuk mendapat segala nikmat. Betapa marahnya kita jika merasa diri tertipu dengan orang lain.. Tapi kita tidak pernah marah pula apabila tertipu dengan diri sendiri. Diulangi sekali lagi, pernahkah kita marah pada diri sendiri kerana tertipu dengan bisikan syaitan sebagaimana marahnya kita pada manusia yang menipu kita?

Bagaimana mahu marah sedang kita pun tidak sedar yang kita sebenarnya sedang tertipu dengan bisikan syaitan.


Punca ghurur

Baiklah itu semua perenggan diatas hanyalah muqaddimah sebagaimana telah tertera. 
Ghurur itu bermaksud terpedaya. Ditipu syaitan sehingga tertipu dengan diri sendiri. Merasa diri terlalu hebat berbanding orang lain. Walaupun tidak pernah memperlekehkan sesiapa. Hanya dengan melihat kelemahan orang lain, merasakan diri itu begitu kuat berbanding orang yang dianggap lemah itu.

Astagfirullah. Antara perkara yang boleh menjadikan kita tertipu adalah: PUJIAN yang sebenarnya tidak layak kita terima [walaupun nampak macam layak je]. Jagalah lidah dari memuji manusia secara semberono kerana kita mungkin sedang meletakkan orang yang dipuji itu ke dalam kancah GHURUR.

Banyak punca-punca ghurur. Jarang memuhasabah diri juga membuatkan kita ghurur. Merasakan diri sudah cukup rajin dan positif dalam pelajaran. Merasakan kita sudah cukup melakukan amal ibadah.. Merasakan kita sudah cukup baik berbanding orang lain yang lebih dahsyat. “Aku pelajar uia, seteruk-teruk pelajar uia adalah sebaik-baik pelajar universiti lain..”

Jarang muhasabah diri bermaksud, kita tidak tidak mengambil berat perbuatan kita. Berdosakah, berpahalakah.. Baikkah disisi Allah atau burukkah dipandang Allah. Merasakan “fikir buat apa benda dah lepas.. yang penting adalah yang akan datang”. Betul, yang penting adalah yang akan datang. Betulkah? Cuba fikirkan semula.

Jika dahulu kita berhadapan dengan suatu keadaan dalam keadaan jahil, adakah kita mahu terus menerus jahil sebagai mana dahulu? Bagaimana kita akan sedar yang kita sebenarnya jahil jika kita tidak bermuhasabah diri? Dan bagaimana kita mahu bertaubat jika kita tidak melakukan penilaian terhadap perbuatan diri? Sedangkan Allah berpesan pada kita:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat sebenar, mudah-mudahan Tuhanmu akan menghapuskan kesalahanmu dan memasukkan kamu kedalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai..” Surah At-tahrim: 8

Muhasabah adalah bermaksud mengira/menilai. Muhasabah diri bermaksud menilai diri. Bukan menilai diri berbanding orang lain. Tapi menilai diri sekarang berbanding yang dahulu atau berbanding yang dimahukan Allah. 

Tanda-tanda ghurur

Lebih teruk tertipu adalah sentiasa memuhasabahkan orang lain dan melupai muhasabah diri sendiri. Ya Allah! Takutnya. Kita hanya sibuk menyalahkan orang, menunjukkan kesalahan orang, sedang kita lupa betapa banyaknya salah diri. Ini juga GHURUR.. Tertipu. Tertipu dengan diri sendiri yang merasakan diri itu tiada kesalahan.. tiada dosa.

Merasakan diri sudah cukup melakukan ketaatan sehingga merasa “baiknya” diri kerana melihat ketidak taatan manusia lain pada Allah.

Aku ni kira ok lah lagi tak buat macam dia tukan? Dia tu solat pun tah hapa-hapa. Aurat lagi
lah tak payah cakap kan..” Semoga hati kita dijauhkan Allah dari lintasan seperti ini. Jika kita pernah mengalaminya, mohonlah perlindungan dari Allah.

Sedarlah, kita ini manusia serba jahil. Kita tidak tahu, entah pada suatu hari nanti, orang yang kita anggap tidak taat itu menjadi lebih taat dan mulia disisi Allah kerana peringatan dari orang yang mampu mengawal dirinya dari sifat ghurur.

Antara tanda-tanda GHURUR yang lain adalah mereka pelbagai alasan melojikkan kesalahan dan dosa yang kita buat.

“Eh, its oklah nak mengumpat untuk melepaskan geram. Kalau kita pergi sembur orang terlibat lagi terukkan?”
“Ala sekali sekala ‘dating’ takpelah.. bukan selalu pun. Lagipun dah nak kawin dah ni”
“Ok apa baca quran tak tengok makna, bukannya tak baca terus macam mat rempit tu”
“Ala takpelah tipu sikit-sikit, nanti tak best lah pulak ceritanya”
“Biarlah aku tak gi kelas pun, dari tak siap keje sekolah, baik ponteng kelas.. Kalau g kelas pun bukan faham sangat cikgu ajar”

“Oh, rupanya ghurur ini penyakit orang yang kita nampak ‘baik-baik’ eh? Jahat jugak rupanya orang yang nampak baik ni ye?”. Sedarlah, ini juga salah satu tanda ghurur. Tertipu dengan menganggap dosa tersebut tidak akan terkena pada kita. Ghurur boleh terkena pada sesiapa sahaja yang melalaikan diri dari Allah. Sesiapa sahaja yang tidak mahu menilai diri sendiri [muhasabah].

Maka, marilah kita menjadi orang yang lebih berhati-hati dan memuhasabah diri. Kerana kita bakal tertipu dengan DIRI SENDIRI sebelum di tipu orang lain.

Tiada ulasan:

Entri terkenal