Apakah contoh takabbur yang paling mudah untuk kita kenali? Kisah bagaimana ENGGANnya iblis untuk sujud kepada Nabi Adam kerana merasakan asal kejadiannya lebih baik. Nabi Adam dijadikan dari pelbagai jenis tanah yang busuk. Sedangkan dia, si iblis diciptakan dari api.
Betapa selalunya cerita ini dimainkan. Tapi kita manusia jahil ini tidak pernah sedar. Tidak pernah ambil pusing. Tidak pernah sensitif. Tidak pernah mahu mengambil pelajaran. Banyak sekali pengajaran yang Allah mahu kita belajar dari kisah penyingkiran ayah kita yang paling tua, tetapi apakah yang telah kita jadikan i’tibar?..
Pertama kali penulis mengenali sifat ini.. Membaca penerangan para penulis dan ulama terkenal.. Terasa bagai mengenali HANTU BARU yang berada dalam diri.
“Ya Allah! Rupanya dalam diriku selama ini bersarang satu hantu yang NGERI WAJAHnya!”
Takabbur itu lebih mengerikan dari hantu pocong, lebih mengerikan dari hantu tiada kepala.. lebih sakit dari terputus jari. Ia sangat dahsyat.
Hantu tidak akan membakar amal soleh. Hantu tidak mampu mengapa-apakan kita. Juga kesakitan terputus jari.. menanggung kesakitan terputus jari akan berolah pahala disisi Allah jika sabar.
Akan tetapi, jika takabbur.. Ia membakar amal soleh. Ia menghanguskan semua amal baik kita apabila ia mengiringi kita. Ia menyebabkan kita jadi manusia jahat dan tidak bertimbang rasa pada orang.. Dan takabbur itu lebih sakit dari terputus jari kerana ia takkan menjamin pahala walaupun sabar!
Kejam sungguh menggunakan perkataan takabbur. Untuk menyebut perkataan ini pun sebenarnya tidak sanggup. Apatah lagi menulis dan menghuraikan sikap ini. Tetapi jika kita tidak mengenali sifat ini, mana mungkin kita mampu untuk menjauhi sifat ini kerana kita tidak mengenalinya. Samada ia terlekat, masih melekat, sebati dan tertanggal.
Lain-lain perkataan takabbur yang lebih sopan adalah, EGO, sombong, bangga diri, terlebih yakin diri dan suka memperlekeh orang lain.
Apakah lawan sifat ‘takabbur’? Iaitulah sifat Tawadhu’. Apakah itu tawadhu’?
Tawadhu’ adalah keupayaan menerima apa jua bentuk kebenaran walau dari sesiapa pun.
Jelas dan terang sekali maksudnya. TERIMALAH KEBENARAN walaupun dari seorang tukang sapu atau seorang miskin yang tidur ditepi jalan. Ia berbeza dari merendah diri tidak bertempat. Kita perlu merendah diri dengan erti kata tawadhu’ bukan merendah diri itu menghina diri sehingga orang sanggup merendahkan kita dan agama.
Bagaimanakah mahu menjadi tawadhu’?
Secara ringkasnya ada beberapa cara.. Mari kita cuba melakukannya setelah mengetahui. Cakap sahaja tidak guna.
Pertama, mengenali Allah.
Kedua, mengenal hakikat dan aib diri.
Ketiga, merenung nikmat Allah.
Keempat, merenung akibat sombong.
Kelima, berhati-hati dengan pujian.
Keenam, melatih diri melakukan akhlaq orang tawadhu’.
Ketujuh, bersama dengan orang yang tawadhu’.
Akhirnya berdoa.
Mahu tahu lebih lanjut mengenai tawadhu’ ini boleh lah rujuk buku-buku tazkiyah yang ada dipasaran:
- Tangga menuju kemuliaan: tawadhu’ dari Khozin Abu Faqih Lc terbitan al-i’tishom
- Madarijus salikin: pendakian menuju Allah dari Ibnu Qayyim Al-Jauziyah [pelbagai penerbit dan penterjemahan]
- Ihya ulumuddin dari Imam Ghazali juga [pelbagai terbitan dan penterjemahan]
Semoga bersungguh-sungguh menjadi hamba dan khalifah Allah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan