Sabtu, 28 Januari 2012

Belenggu...

Memahami dunia luar..
Tidak lah susah..
Jika kita mahu memahami apa yang terjadi di luar sana

Memahami dunia sendiri juga mudah
JIka kita mahu memahami dunia sendiri..

Yang jadi susahnya
Bila kita "terbelenggu" dengan dunia sendiri
Hingga memahami dunia sendiri pun jadi susah, apatah lagi memahami dunia luar.

Yang penting bagi kita,
Perut kita.
Tidur rehat kita.
Kerja kita.
reputasi kita.

Akhirnya, kita terbelenggu dalam dunia kita.

Sedangkan masyarakat diluar sana sibuk melaksanakan Islam, meyebarkan Islam, berlatih berkelakuan Islam..

Islam. Apakah islam itu?? Fahamkah kita..

Khamis, 26 Januari 2012

Akal letak kat mana sayang..

Suatu masa dahulu
aku dilahirkan
aku diajar berjalan, bercakap, berdikari
aku di beri belas dan ihsan
aku di ajar tentang kehidupan..
aku disuruh pergi sekolah..

Beberapa masa dahulu
aku bersusah payah belajar
aku bersungguh-sungguh berkawan
aku pulun mencari kebahagiaan..

Sekarang
aku lebih sibuk.
hingga tidak sempat mengira berapa batang gigi bongsu sudah tumbuh.
aku letih
hingga tidak sempat berfikir..
Apakah erti suatu masa dahulu, beberapa masa dahulu hinggalah sekarang..

Wahai aku,
Jika wujud masa dahulu dan sekarang,
bukankah lojik wujudnya masa akan datang??

Jadi manakah masa akan datang itu..
Masa akan datang itu, apakah nilainya bagi aku?

Rabu, 25 Januari 2012

Sesungguhnya kita manusia.

Berjalan sudah cukup berhati-hati.
tapi berlaku kemalangan.

Makan sudah cukup jaga,
tapi akhirnya sakit.

Belajar sudah puas menggunakan cara terbaik,
tapi akhirnya "gagal"

Berhibur habis semua cara cuba,
tapi akhirnya sedih, sedih juga.

Berhati-hati habis dahsyat,
tapi akhirnya tersalah juga..

Kerana kita adalah manusia.
& penentunya adalah ALLAH...



Ahad, 22 Januari 2012

Bila kita tidak tahu kerana apa kita berbuat

Singkatan drama seterusnya.

Semalam ada urusan penting. Penting sangat. Hingga perlu ditangguhkan segala urusan dirumah. Hingga mengurangkan jumlah solat sunat. Hingga terlupa amal ibadah harian yang selalu dipelihara..
Yang penting urusan penting itu di selesaikan.

Pada hari ini, saya mahu memelihara amal harian, saya mahu selesaikan urusan rumah. Semua itu juga tanggungjawab saya. Malah bukankah itu yang lebih penting?

Akhirnya,
Ke mana perginya urusan penting itu?.. Apakah kepentingan urusan penting itu telah berubah?? Tidak.

tapi persepsi kita terhadap urusan penting dan ibadah harian itu lah yang membuatkan kita berubah.. bila kita cuba menggantikan urusan penting itu dengan ibadah dan amalan harian.. Bila kita rasa urusan penting itu boleh menggantikan ibadah harian.. atau dengan kata lain

"takpe la solat tak berapa khusyu', susah hati mengingatkan tanggungjawab belajar pun ibadah juga"..

Pengajaran:

Kenapa kita menilai urusan penting itu penting?
Untuk apakah pula kita melakukan ibadah.

Bukankah ibadah harian itu dilakukan untuk menjalankan tugas sebagai hamba ALLAH.. Dan urusan penting itu, dinilai penting kerana ia melengkapkan tugas sebagai hamba ALLAH..
pendek kata: urusan penting itu untuk melengkapkan tugas sebagai hamba ALLAH.

Apa jadi pada bangunan bila kita letakkan bumbung tanpa dinding atau tiang?.. Masakan bumbung itu boleh berfungsi sebagai penaung dan pelindung penghuni rumah dari panas dan hujan.
Begitulah perbandingan urusan penting dengan ibadah harian kita.

Jika urusan penting itu, kita pelihara.. tapi masa yang sama kita meremehkan ibadah harian
maka analoginya samalah seperti menjaga bumbung begitu cermat dari sebarang ketirisan, tapi dinding dan tiang pula tidak di bina dengan sistematik sebagai mana pengiraan yang telah di lakukan sebelum pembinaan.. Apakah rumah itu akan benar-benar berfungsi dengan baik?

Memelihara urusan penting dengan mengabaikan ibadah harian, menyebabkan kita tidak mampu berfungsi sebagai hamba ALLAH yang baik..

Sabtu, 21 Januari 2012

Memberi peringatan bukan mengamuk

Singkatan drama.

Pada satu hari, kak long yang diharapkan telah melakukan kesalahan. Kerana kejahilannya. Apa nak jadi dengan kak long ini? Penat aku bagi sekolah agama etc.. tapi macam ni juga buatnya.
Kak long berlalu dengan panas telinga setelah cuba membetulkan persepsi mak. Tuduhan pelik atau tidak terfikir dek akal itu perkara biasa bila "ter" melakukan sesuatu kesalahan.

Tinggallah adik-adik menjadi mangsa mendengar segala leteran. Ringkas cerita, "jangan jadi macam kak long. menyusahkan ibu bapa, akhlak buruk tidak tahu menghormati orang tua. rasa nak buat, buat sahaja. anak derhaka"

Masa berlalu.

Kaklong dan adik beradik membesar.
Mak semakin tua.
Kadang-kadang, adik-adik juga pun "ter" melakukan kesalahan kerena kurang pengalaman dan tidak cukup ilmu..

Kata mak pada kaklong; "nasihatlah sikit adik-adik kamu tu.. mungkin dapat membantu mak"..

Jawab kaklong; "ok mak, saya cubalah.."

Sehabis perbualan dengan mak, otak kaklong ligat berfikir.. bagaimana aku mahu nasihatkan adik-adik..? Jika mak pernah berpesan, jangan tiru kaklong.. jangan buat macam kaklong.. kaklong anak derhaka.. kaklong bukan contoh yang baik.

Mudahkah kaklong untuk menasihati adik-adiknya selepas tuduhan sempurna dan lengkap telah lemparkan dihadapan adik-adiknya??

Pengajaran:

Kadang-kadang kita rasa "takpelah" mereka adik-adik saya.. mereka anak-anak saya.. mereka adalah ahli keluarga saya atau mereka adalah kawan rapat saya..
Maka saya boleh la katakan sewenang-wenangnya pada mereka dan berbuat sesuka hati saya.
Mengikut perasaan saya pada masa itu.

Sebenarnya kita telah merosakkan hubungan baik itu secara halus tanpa disedari.. jika ia berlaku selama berpuluh tahun? Subhanallah.. Memaafkan adalah jalan terbaik.

Jika kita merasa perlu di maafkan keluarga/teman rapat kerana kelemahan diri kita, maka apakah kita begitu berlapang dada memaafkan segala kelemahan ahli keluarga/teman rapat kita??

Jumaat, 20 Januari 2012

Janji pada Allah

Assalamualaykum warahmatullah..

Kita sambut hari lahir setiap tahun..
Kita dengar orang ucap "Selamat hari lahir" untuk kita setiap tahun.

Kita pun gembira dapat hadiah hari lahir.
Kita suka orang ingat hari lahir..

Tapi.
Apakah kita sedar tujuan kita di lahirkan?
Siapa sebenarnya memberikan "kelahiran" ini..

Pastinya
bukan orang yang mengucapkan selamat hari lahir..
Juga bukan ibu yang penat lelah mengandung dan melahirkan kita.

Kawan-kawan,
Apakah kita hanya di lahirkan untuk berbakti kepada kedua ibubapa?
Apakah cukup dengan kita bekerja dengan amanah, berbuat baik pada masyarakat..
Maka kita telah jadi muslim sempurna??..

Kawan-kawan,
Jika kita dilahirkan hanya untuk bersusah payah  belajar dan akhirnya bekerja dengan gaji besar..
Untuk apa segala kisah-kisah Nabi dalam al-Quran??
Kisah itu pasti bukan untuk hiburan saluran tv atau radio..

Kawan-kawan,
Apakah Al-Quran hanya sekadar hiburan hati ketika gundah?
Halwa telinga ketika penat dan letih seharian mencari sesuap rezeki?
Apakah hanya kerana ini Rasulullah s.a.w bermatian menyampaikan al-Quran untuk kita??

Apakah kita masih ingat janji ROH kita pada Allah sebelum dilahirkan kedunia...

Rabu, 18 Januari 2012

Ummati

Selamat petang.

Sedarkah kita apa realiti ummat Islam hari ini??..

Pernah terfikirkah?

Apa yang terbayang dikepala selepas perkataan "MUSLIM" disebut?..

Hebat.
kemas.
bersih.
bertimbangrasa.
Penuh kasih sayang dan beradab.
Bertamadun.
Maju.
Contoh teladan.

Adakah itu yang terbayang dikepala kita?

atau...
pengotor,
mundur,
berfikiran sempit.
perkauman,
ganas,
mundur,
ketinggalan zaman..


Sesungguhnya kehinaan terhadap ummat Islam hari ini bukan kerana canggeh dan maju nya masyarakat bukan Islam.

Habis kerana apakah???...

Tolong lah gunakan akal fikiran demi masa depan diri sendiri sebagai ummat Islam, sebagai hamba Allah.

Adakah tugas lain yang lebih besar dari berperanan sebagai ummat Islam dan hamba Allah.

Khamis, 12 Januari 2012

Apakah lapang dada itu?

Masuk dan duduk.
Majlis dibuka.
Pujian pada Allah menjadi pembuka kata.
Tazkirah hari ini: berlapang dada.

Serius.
Tak faham.
Berlapang dada?
Banyak keutamaan.
Tapi.
Entah bagaimanakah rupanya berlapang dada itu.

Subhanallah.

contoh 1

Saya sentiasa lewatkan kerja ini.
Kerana saya rasa ada kerja lain yang lebih perlu didahulukan.

Tapi bagi dia,
Kerja ini sangat penting.
Maka dia menombor 1 kan kerja ini sebelum kerja lain.

saya dan dia,
punya pendapat yang berbeza tentang kerja ini dan kerja lain.

Mengapa?
Mungkin dia lebih tahu dalil keutamaan kerja ini.
Dan saya lebih tahu dalil keutamaan kerja lain.

Mengapa lagi?
Mungkin dia lebih banyak terdedah dengan kerja ini.. kepentingannya, kesannya.
Dan saya, kurang terdedah dengan kerja ini, kepentingannya, kesannya..

Maka,
Bagaimanakah saya dan dia berurusan?
Kala kedua-duanya punya pandangan berbeza tentang kerja ini..

Disitulah berlapang dada.

Bila bertembung dua cara kerja yang berbeza, kita meraikan cara kerja masing-masing sambil berpegang pada objektif. Selagi caranya masih mengikut sunnah dan tidak melanggar perintah ALLAH serta masih dalam lingkungan mampu mencapai objektif.. Maka benarkanlah saudara tersebut terus bekerja dengan caranya.

p/s: mengikut atau tidak mengikut sunnah pun ada perbezaan pendapat..

contoh 2

Dia merasakan.
Betul atau tidak.
Itu lebih utama untuk dipertimbang.
dari
Kawan ke musuh.
tiada tolak ansur.
yang utama adalah BETUL.

Saya merasakan.
Kawan atau musuh perlu dipertimbang.
Lebih utama dari
betul atau salah.

Sedarkah kita..
betul dan salah pun kita punya perbezaan pendapat?

contoh 3

Imam hanafi - sendawa itu membatalkan wudhu', manakala kentut tidak.
Imam syafie - sendawa tidak membatalkan wudhu', sebaliknya dengan kentut.

Adakah imam syafie dan imam hanafi bergaduh pendapat mereka paling betul?

contoh 4

Kumpulan dakwah A - menaikkan Islam itu perlu dimulakan dengan pembinaan individu.
Kumpulan dakwah B - bagaimana mahu menaikkan Islam tanpa KUASA? So, kuasa dahulu.

Adakah dalam pendapat kedua-dua kumpulan dakwah ini "perdebatan sesama kumpulan dakwah" akan menaikkan Islam? hehe.

Sedangkan solat pun berbeza sah dan batalnya..
Apatah lagi fiqh pergaulan dan dakwah.. Lebih lagi lah banyak perbezaannya.

contoh 5

Mak saya ajar macam ni.
Mak dia ajar macam tu.

Mak saya dan dia samakah? TIDAK.
Sesungguhnya, kita manusia ini pun telah diciptakan begitu berbeza dan pelbagai..
INDAH!

Masakan kita boleh bersama? -baca: seolah-olah sependapat itu mustahil-
Sudah tentu boleh.

Kerana Tuhan kita sama.
Matlamat hidup kita sama.
Nabi kita sama.
Agama kita sama.

oleh itu,

Berlapang dada bukanlah bercakap lemah lembut atau kasar.
Berlapang dada bukan juga diam hingga tiada saling nasihat menasihati.
Berlapang dada juga bukan dgn menahan saudara dari berkongsi kegundahannya.
berlapang dada itu bukanlah membiarkan perkara PRINSIP [aqidah] tergadai.

Dan bukti berlapang dada itu apabila kita tidak menuntut sikap berlapang dada dari saudara kita kerana malasnya kita membaiki kelemahan diri.. ^_^

Sesungguhnya, berlapang dada itu apabila kita tahu dan sedar bagaimana mahu saling lengkap melengkapi untuk mencapai TUJUAN HIDUP.

Segala puji bagi ALLAH.

Ahad, 8 Januari 2012

Melakukan pembaikan...

Oh, saya bersalah.
Ia perlu dibaiki.

Saya berdosa,
Maka saya perlu bertaubat.

Saya tidak merasa apa-apa.
Maka lebih-lebih lagi perlu bertaubat.

Berdosa, bersalah atau tidak merasa apa-apa, kita hamba ALLAH tetap perlu bersyukur.

Dan..
Saya tidak menjalani hidup ini berseorangan.
Maka saya perlu mengajak orang lain
Untuk sama-sana kembali pada ALLAH.

Sesungguhnya,
Hidup ini penuh dengan Rahmat ALLAH.
Walaupun sudah beratus kesalahan dibuat dengan umur yang tidak sampai seratus tahun..
Tapi DIA masih membuka ruang untuk kita membaiki dan membersihkan diri.

Buktinya: kita masih bernyawa selepas melakukan dosa!

Subhanallah.
Alhamdulillah.
Allahu akbar.

Berlapang dada dengan kelemahan saudara bukan bermaksud membiarkan dia hanyut terus dengan dosa.
Menegur dan menasihati pula jangan sampai menjatuhkan maruahnya.
[ibarat menarik rambut dalam tepung!]

Maha Suci Allah!

Alangkah susahnya hidup ini jika tidak mengenal ALLAH.
Alangkah banyaknya bahaya dunia ini bila tiada cinta ALLAH.
Alangkah peritnya beramal jika tidak kerana ALLAH.
Alangkah sempit dada sesaat cuma sengaja melupakan ALLAH!

Allah Maha Besar!
Barulah segalanya di dunia ini kelihatan kecil.

Beramallah dengan kefahaman.
Kawallah semangat dengan iman.
Dan awasilah nafsu kerana takut akan Tuhan.
Beribadahlah kerana kita yang memerlukan..

Khamis, 5 Januari 2012

Mata dua.


Mulut satu.

Telinga dua.


Otak pula, sangat besar luas permukaannya.


Selepas hidup berpuluh tahun,
Baru sedar,
Bukankah Allah menjadikan sesuatu itu ada hikmahnya?
Iaitu untuk beribadah kepada-NYA.
Usah bilang hikmah-hikmah lain yang kononnya begitu hebat fikiran kita mencari..


Sudah Allah beritahu hikmah penciptaan, hikmah setiap peristiwa..
untuk melihat siapakah yang baik amalnya.


الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
 
Kita bercakap bukan untuk menunjukkan kehandalan memilih suku kata.
Kita juga bukan bercakap untuk melepaskan nafsu amarah kita.
 
Kita mendengar bukan untuk menunjukkan betapa kita memahami dan menghayati setiap perkataan.
Kita juga mendengar bukan untuk menunggu masa yang sesuai untuk balas dendam.
 
Kita berfikir bukan untuk menunjukkan ambil beratnya kita pada isu semasa.
Kita juga tidak berfikir untuk mencari helah demi menjatuhkan maruah sesiapa.
 
Kita bercakap, mendengar dan berfikir agar amal kita menjadi yang terbaik disisi Allah!
 
Bukan disisi ustaz ustazah.
Bukan disisi ibubapa.
Bukan disisi naqib naqibah.
Bukan disisi sahabat handai.
Bukan disisi rakan taulan.
 
Subhanallah..
betapa selama ini banyaknya sebab-sebab kita melakukan sesuatu.. Tapi semuanya bukan kerana Allah!
 
Penulis berniat untuk ulang dan sangat suka mengulang:
mata DUA, telinga pun DUA, otak pula LUAS PERMUKAANNYA, tapi mulut SATU sahaja...
 
Ini bukan iklan air atau penggunaan eletrik: USE THEM WISELY.
 

Rabu, 4 Januari 2012

Penghargaan Allah itu pasti !

Sesungguhnya hidup ini penuh dengan pengorbanan.
Pengorbanan demi cinta.

Dan yang agungnya jika pengorbanan itu demi cinta ALLAH.
Demi cinta lain boleh juga kot. tapi kurang berbaloi lah.

Mengajak manusia pada ALLAH adalah kerana cinta kita pada ALLAH.
Kerana kita mahu semua orang berkongsi rasa cinta itu.

Allah itu tuhan Yang Maha Kaya. [Al-Ghaniy]
Jika berjuta manusia yang menyintai-Nya, Dia masih boleh memberi secara tidak kurang sedikit pun..
Maksudnya, tidak perlu dengki pada manusia yang berusaha mencari cinta-Nya.
Kerana, jika kita mahu, kita pun boleh mengejar cinta-Nya.

Bangunlah.
Bekerjalah.
Kerana cinta ALLAH itu pasti.
Dengan syarat bukan kerana mencari cinta lain.

Andai kita berdakwah hanya kerana cinta pada manusia, Allah sudah pun mengingatkan Rasul-Nya yang tercinta itu:

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).

Al-Qasas: 56

Dan mahu ditegaskan disini,
Apabila Islamnya seseorang, atau menjadi hakikinya Islam seseorang bukanlah kerana pengorbanan kita semata-mata..

Tapi ia adalah KUASA ALLAH.. Kehendak Allah itulah yang menentukan. Bukan kehendak kita manusia yang lemah ini.

Kita mahu Islam naik, kita mahu Islam berkembang, kita mahu Islam kembali gemilang..
Ya Allah jua yang memberikan inspirasi atas kemahuan itu.
Tapi kita perlu ingat pada kekuasaan ALLAH..
Kita perlu ingat pada kehendak ALLAH.

Jika kita menggunakan formula,
"manusia menurut dakwah kita kerana berterima kasih pada pengorbanan kita menyampaikan Islam padanya"

Maka kita akan gagal.

Kerana, bukan manusia yang sebenarnya menghargai pengorbanan kita itu.
Allahlah yang menghargainya.
Allahlah yang menjanjikan segala kebaikan dan keindahan hidup disisi-Nya kelak..
Jika kita berkorban kerana-Nya.
Jika kita berdakwah kerana-Nya.
Ya. betapa Allah itu sangat bersyukur!

Lihatlah kata-kata Allah ini:

مَّا يَفْعَلُ اللَّـهُ بِعَذَابِكُمْ إِن شَكَرْتُمْ وَآمَنتُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ شَاكِرًا عَلِيمًا
Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).
An-nisa: 147

Apakah Allah akan menyeksa kita jika kita berusaha dan berkorban untuk melakukan seruan? TIDAK! bahkan Allah akan bersyukur dan berterima kasih!

Sedangkan, ganjaran Allah itu bukan kerana hebatnya pengorbanan kita. Tapi kerana RAHMATNYA Allah!.
[alamak takingat dalil pulak. spoil mood sekejap]

Bukankah Allah itu menepati janji-Nya?

رَبَّنَا إِنَّكَ جَامِعُ النَّاسِ لِيَوْمٍ لَّا رَيْبَ فِيهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُخْلِفُ الْمِيعَادَ

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya". Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.
Ali-Imran: 9


Hikmah.
Tidak dapat dilihat oleh semua orang.
Atau mungkin ia berjaya di korek dan dicari, tapi mungkin tidak setepat yang Allah maksudkan.
kerana kita hanyalah insan biasa.
Yang masih banyak duga menduga.

Ahad, 1 Januari 2012

Mengenali manusia

Haha.. kelakar. Tapi Maha Suci Allah yang menciptakan semuanya.

Jom tengok.

Ada jenis manusia yang:
  1. Dia gembira dan dia tidak mahu sesiapa pun tahu dia gembira.
  2. Dia gembira dan dia mahu semua orang tahu yang dia tengah gembira.
  3. Dia gembira dan dia mahu semua orang tahu dia gembira tanpa dia memberitahu dia sedang gembira.
  4. Dia gembira dan dia tidak hairan jika orang tahu atau tidak tahu dia gembira. Yang penting dia gembira.

Maksudnya:
  1. Ada orang tidak suka berkongsi.
  2. Ada orang suka berkongsi.
  3. Ada orang suka orang lain berkongsi.
  4. Ada orang tidak kesah.
Beri contoh gembira dan sedih mudahlah faham.
Cuba gantikan perkataan gembira itu dengan perkataan lain..
Contoh perkataan yang boleh diganti di sana adalah;
berharta, miskin, beribadah, melakukan dosa, bersedekah, mengumpat, bergaduh dan lain-lain lagi..

Bergantung kepada perkataan yang dimasukkan, penilaian juga menjadi berbeza..
Sebab itu kita memerlukan penilai teradil..
Dan yang paling adil menilai kita adalah Allah.

Usah terlalu cepat menghukum bila sudah tahu sikit-sikit. Kerana kita sebenarnya tidak pernah tahu secara keseluruhan tentang keadaan sebenar dan yang lebih penting kita tidak mampu faham pun keadaan sebenar itu.

Hehe. Peringatan buat yang lupa.

oh ya, mungkin akan timbul isu,
"habis macam mana nak menangani sesuatu isu yang kita tidak mampu fahami itu?"

Jawapannya senang sahaja:
Bersabarlah. Bersabar di atas isu yang tidak dapat difahami.. Dan bahasa pendeknya adalah sangka baik!

Tindakkan kita adalah:
Mintalah petunjuk dari Allah dan sedar atau tidak, kita sebenarnya melakukan berdasarkan apa yang kita yakini [walaupun yang kita yakini itu sebenarnya SANGKAAN].

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Surah hujrat: 12

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari
sangkaan itu adalah dosa;
dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang;
dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.
(Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.


Memahami itu datang selepas kita bersangka baik. PERCAYALAH! [hehe takmo caya pun takpe]. Saya yakin, ia amat benar!

Entri terkenal