Rabu, 30 November 2011

Juzu 30

Biasanya..

Juzu 30 lah yang paling biasa kita baca dalam solat.
Surahnya pendek dan mudah untuk diingati.
Terutamanya Surah Ad-Dhuha hingga An-Nas.

Luarbiasanya..

sedarkah kita apakah kandungan dan maksud.
Pada setiap surah yang mendirikan juzu ini?

Bosan kerana asyik mengulang tafsir juzu 30?
Tahukah kita, ia adalah surah-surah yang di gunakan Rasulullah untuk membentuk logam-logam berkualiti diperingkat awal dakwah Islam..

Jika tidak tahu..
Silalah cari sekarang..

dan rajin-rajin menghafal juzu 30 ini.
Semoga berjaya!

Selasa, 29 November 2011

Aku cemburu!

Betapa tingginya darjat orang ikhlas.
Walaupun amalnya kecil dimata manusia, tetapi besar di sisi Allah.

Seorang makcik..
Hanyalah seorang yang tua, mengajarkan anak-anak di kampung membaca Al-Quran.
Mayatnya wangi setelah meninggal!

Mahu di "bold" kan disini.

Dia bukan seorang HAFIZAH.
Dia bukan juga seorang tokoh terkenal memperjuangkan Islam.
Dia juga bukan seorang ahli farmasi yang memperkenalkan formula dan prinsip baru dalam perubatan.
Dia juga bukan isteri ketua kampung.
Dia bukan juga seorang naqibah yang begitu ramai anak buahnya..
Dia bukan seorang wanita yang pintar berkata-kata..

Ya, makcik itu hanyalah seorang tua yang mengajarkan anak-anak kampung membaca surat cinta dari Allah..

Pengajaran:

1- besarnya nilai ikhlas, hingga amalan kecil pada pandangan manusia sebenarnya besar disisi Allah.

2- bukan bermaksud kita tidak perlu melakukan usaha habis-habisan untuk menjadi yang terbaik disisi Allah.

3- bukan juga bermaksud kita boleh menghukum orang yang kita lihat lebih hebat dari kita sewenang-wenangnya hanya kerana kesalahan kecil yang dilakukannya.

4- walaupun amal baik itu kecil dan bukan ditunjukkan orang hebat. ia tetap menjadi contoh ikutan untuk kita turut sama melakukannya.

Aku cemburu pada orang yang berjaya meletakkan Allah sebagai cinta hatinya yang pertama sebelum perkara lain..

Aku juga mahu jadi begitu.

Untuk apa sanjungan dan pujian manusia hingga merosakkan segala amalku yang sudah sedia sedikit dan sebanyak habuk dan debu beterbangan!

Tulisan ini mutiara bd petik dari seseorang yang dirahsiakan penulisnya.

Isnin, 28 November 2011

Sesungguhnya

Aku paling takut..
Bila di dunia ini beramal sebanyak banjaran titiwangsa.
Tapi semasa berdepan dengan Allah..
Sehabuk pun tidak berguna kerana riya dan takabur.

Aku paling takut..
Bila di dunia ini, bersungguh-sungguh menjaga hubungan dengan manusia..
hanya kerana manusia itu seseorang dalam hidup.
Akhirnya di hari akhirat menjadi punca kemurkaan Allah.

Aku paling takut..
Pada ketakutan aku pada manusia di dunia.
Menyebabkan aku membelakangi perintah dan larangan Allah.
Dalam setiap perbuatanku.

Aku paling takut..
Bila aku ditimpa musibah
dan aku mula mengeluh dan mengadu pada manusia.

Aku paling takut..
Bila aku tidak sedar..
Rupanya, perbuatan dosaku lebih banyak dari amal baikku.
dan rupanya amal baik itu hanyalah debu yang beterbangan!

dan sesungguhnya, aku sungguh malu untuk mengeluh di hadapan Allah kerana terlalu banyak nikmat lain yang telah Dia berikan berbanding musibah yang hanyalah satu dua sepanjang hidup..

Aku takut dan malu ya Allah.

Alangkah beruntungnya orang-orang yang ikhlas dan benar-benar merasai kewujudan Allah dalam hidupnya.

Ahad, 27 November 2011

bila buat sesuatu kerana ikutan

Assalamualaikum wahai ummat Islam dan pembaca mutiarajannah!

Sesungguhnya hati ini terasa lapang, biarpun cuaca sentiasa mendung. Bila kita sentiasa mengingati Allah.

Hari ini mahu senaraikan muhasabah diri sebelum meneruskan kehidupan di hari baru.

Solat.
Mengapa selama ini aku bersolat?
Kerana ibubapa suruh?
atau kerana semua orang Islam bersolat?
kerana tahu ia adalah kewajipan..
atau kerana tahu betapa perlunya kita pada hubungan dengan Allah secara lansung.

Puasa.
Mengapa selama ini aku berpuasa.
Rajin sekali berpuasa sunat.
Mahu kuruskan badan?
Mahu jimat perbelanjaan?
Atau kerana tahu dan percaya ganjaran besar buat orang yang selalu berpuasa?
atau kerana mahu menjaga hawanafsu supaya tunduk dan patuh pada-Nya?

Usrah dan halaqah.
Mengapa selama ini aku berusrah?
Kerana semua orang ada usrah kah?
kerana mahu jadi sebahagian dari label-label tertentukah?
kerana ada orang hebat yang kita kagumikah?
atau kerana mahu bertemu jodohkah?.
atau kerana ada kawan mengajak kita ke dalamnya?
atau kerana dalam usrah kita akan ada ramai sahabat?
atau kerana kita faham dan sedar, itulah cara terbaik, cara yang telah ditunjukkan Rasulullah untuk membentuk manusia.. demi mencapai matlamat hidup..

ya.. zahirnya sama. Kita semua solat, berpuasa dan berusrah.. tapi kerana apa kita melakukan sesuatu itu.. akan menentukan nilainya disisi Allah.

Setiap perbuatan yang dilakukan kerana selain Allah, tidak akan dapat bertahan lama.. Jika hilang sebab itu, maka hilanglah motivasi kita untuk melakukannya.

Jika Allah menjadi motivasi dan matlamat kita, maka Allah itu sentiasa wujud tiada awal dan tiada akhirnya.

Sesungguhnya penulisan kali ini bukanlah untuk menunjukkan keikhlasan sesiapa, tetapi sebagai peringatan betapa pentingnya IKHLAS. Dan ikhlas itu tidak akan datang hanya dengan perasaan cinta pada Allah tanpa petunjuk ilmu.

Semoga tsabat dan istiqamah!

Sabtu, 26 November 2011

Pendakwah bukan penghukum

Terima kasih Allah kerana mengilhamkan kata-kata keramat ini dari seorang tokoh dakwah hebat. Hasan Hudhaibi.

Tidak kenal siapa Hasan Hudhaibi? Silalah google...

Benar kita melihat sesuatu berdasarkan sudut pandangan kita.
Kita tidak mampu untuk melihat sesuatu diluar pandangan kita.




Kerana kemampuan kita melihat, sangat terbatas dengan mata hati dan mata yang sepasang itu.
Sedikit sebanyak, ilmu dan pengalaman membantu kita melihat sesuatu perkara menurut penglihatan yang Allah kehendaki.

dengan kesedaran penuh..
Yang kita, manusia mempunyai batas untuk melihat samada dengan mata hati atau mata sepasang yang sempurna itu..

Maka kita juga tidak layak menghukum manusia lain sewenang-wenangnya.

Contoh:
  1. ah, mereka memang degil. harapan untuk menjadikan mereka insan berguna sangat tipis.
  2. Sebab sekian-sekian lah dia menjadi sekian-sekian..
  3. Dia itu tidak menjalankan amanahnya.. memang tidak bertanggungjawab.
Jika kita melihat suatu sikap manusia yang tidak kita senangi, adakah semudah perkataan "itu" untuk kita menghukumnya??

Sedangkan kita tidak tahu apakah yang sedang menyusahkan hatinya, urusan yang menghantui kepalanya..

Atau..

Jika seseorang yang kita lihat itu..
terkesima pendengar dengan perkataan terus terangnya..
buruk pergaulannya,
hodoh bacaan Qurannya..

Sewenang-wenangnya kah kita mahu mengatakan dia layak memikul dosa dan dibenci orang kerana itu semua?

Sedangkan dosa pahala kita sendiri pun tidak diketahui nasibnya..

Astaghfirullah..

Bukankah kita yang tahu ini, yang sedar akan kekurangan itu..
Kitalah yang bertanggungjawab menyedarkannya..

Bukankah kita yang berilmu ini [padahal bukan banyak mana sangat pun]
SANGAT BERTANGGUNGJAWAB untuk mengajaknya kepada kebaikan..

bukankah??

dan jika mereka enggan pun..
Layakkah kita menghukum???



Pastilah tidak layak juga.

Kerana apakah?
Kerana memang tugas kita bukan menghukum.
Senang cerita, jika kita menghukum, kita sudah melepasi batas garisan kerja kita..

Menghukum itu kerja Allah.

Jika kita menghukum, maka kita..
sebenarnya telah mengambil peranan yang tidak mampu kita lakukan.
Kita sedang menzalimi diri sendiri dengan menghukum orang lain.

Wahai diri, bersangka baiklah pada kekurangan seorang saudaramu kerana kita tidak tahu apakah keuzuran yang ada padanya..

p/s: kalau orang yang bising tiba-tiba diam je dan takmahu bercakap, macam mana nak buat??

Rabu, 23 November 2011

kerana sabar itu tiada had




Mengapa orang menyakitkan hati kita tiada henti?

Selepas satu ujian selesai, ujian lain pula datang.. kenapakah?

Urusan dahulu dirasakan sukar, tapi sekarang, telah datang urusan yang lebih sukar.
mengapakah?

Dahulu ummat Islam telah dibangunkan, mengapa perlu dibangunkan kembali?

Semalam sudah mohon maaf, hari ini buat salah lagi. Kenapa?



Kelmarin sudah selesai, mengapa hari ini bersambung lagi?

Cuaca tidak selalu panas. tidak juga sentiasa sejuk. Kenapa?

Lepas jemu berbuat baik, hati tetap berbisik; buatlah sampai mati. kenapa?

Semalam sudah solat, hari ini solat lagi.. masalah tetap tidak selesai. Kenapa?



hari itu sudah ingatkan. Kelmarin pun. Tadi pun. Tapi esok buat lagi. Kenapa?

kerana sabar itu tiada had!
dan Allah sentiasa bersama dengan orang yang sabar.

sila beri perhatian betul-betul.
Allah bersama dengan orang yang sabar.
Bukan orang yang bersabar itu bersama Allah.
Betapa untungnya orang sabar, kerana Allah bersamanya.

Sesungguhnya dosa lalu akan diampunkan dalam pelbagai bentuk.. termasuklah perbuatan manusia yang menyakitkan hati.. Ia adalah sumber pahala berganda. dengan syarat kita redha, bersabar dan bersyukur!
Maka terima kasih pada yang telah menyakitkan hati, kerana merekalah sumber pahala kita selama mana perbuatan itu menyakitkan. Alhamdulillah.

Selasa, 22 November 2011

Cerita itu

Assalamualaikum,



Pernah lihat novel?
Tebal beratus muka surat.
Tapi ada orang boleh habiskan bacaan sehari suntuk.

Tapi Al-Quran..
Huhu..
Satu mukasurat pun sudah rasa begitu banyak.




Pernah tonton cerita dalam tv?
Atau filem best di You Tube?
Kadang-kadang sampai mengalir airmata menonton.
Atau..
begitu mencuit hati setiap babaknya..

Tapi Al-Quran..
Huhu..
Kalau boleh mengalir airmata dengan satu ayat.
Itu dah dikira luar dari biasa.

Pernah jatuh sayang dengan orang?
Rindu sangat.
Siap boleh kirim hadiah.
Talifon bercakap berjam-jam.
Mesej tidak berhenti.


Ya Allah aku telah jatuh cinta pada-Mu. Indahnya.

Tapi Allah..
huhu..
Boleh rasa rindu dalam solat tak sampai satu saat pun kira ok dah.


Apa jadi dengan diri?.
Kenapa wahai ummat.

Isnin, 21 November 2011

Hujan rahmat



gambar ini telah dikutip dari [sini]

Bila cuaca terlalu panas dan lain dari panas biasa,
terfikir dalam kepala,
PANASnya! kenapa ya?..

oh rupanya hujan mahu turun..!

Peluh mengalir laju,
Habis busuk baju..

hingga terpaksa menyalin baju lebih banyak dari biasa.

Selepas letih mengharung hari..
Meredah panas,
Mengejar urusan harian yang tiada kesudahan,
Mengharap hari sejuk dan tenang..

Akhirnya turun hujan rahmat,
Lebat tapi sangat bermanfaat,
Badan yang kepanasan,
Terasa dingin dan nyaman..



Alhamdulillah..
Cinta dan rindu pada-Nya makin melimpah ruah
Kerana nikmatnya hujan yang diturunkan selepas panas yang panjang.

PENGAJARAN: jika tiada panas, kita tidak akan menghargai nikmatnya hujan!

Terima kasih Allah.

Selasa, 15 November 2011

Syarah sana sini

Kali ini mungkin peringatan yang sangat KHAS buat diri yang lupa.

"Kita ini hamba Allah.. Perlu ikhlas melakukan setiap amalan. Apakah tanda-tanda ikhlas itu? Kita akan sentiasa tsabat dalam dakwah dan tarbiyyah"..

Ya peringatan itu sentiasa terngiang-ngiang.

Sebelum si dia itu berkata begitu, sudah ramai insan-insan baik diluarsana yang mengingatkan.

Jika kita ikhlas, kita akan tsabat.
Jika kita benar-benar melakukan kerana Allah.. kita akan tetap teguh memikul tanggungjawab dakwah.

Walaupun kita dikeji.
Walaupun kita dicaci.
Walaupun kita dituduh.
Walaupun kita diperlekeh.
Walaupun kita dipandang remeh.

Kita masih belum disiksa.
Kita masih belum berlumuran darah
Hanya kerana dakwah.

Kita hanya tidak cukup tidur kerana dakwah.
Itupun bukanlah kerana dakwah sangat.
Hanya kerana bimbang pencapaian kita tidak menepati standard majikan atau yang telah ditetapkan kuliyah.

Ya..
Jika kita benar-benar ikhlas.. kita akan TSABAT. 
tsabat itu bermaksud tetap.

Wahai diri yang berkata begitu.
Jika kita ikhlas, maka salah satu tandanya kita akan tsabat..

Maka marilah kita sama-sama memurnikan cita, membasuh segala penyakit di jiwa. Kerana penyakit hati itu tiada ubatnya di hospital-hospital biasa. Hanya akan diubati, jika kita sedar kita sedang sakit hati..

Ini sangat KHAS BUAT DIRI yang selalu menasihati orang berbakul-bakul hingga bertimbun setinggi bukit, tapi melupakan amal diri sendiri.

Isnin, 14 November 2011

Managing diversity

Siapa kata ubat sahaja macam-macam warna dan jenis?..
Manusia lebih bermacam warna dan jenis perangainya.

Ikuti kisah dibawah:

Pada suatu hari yang panas-panas sejuk.. Selepas hujan turun.

Tiba-tiba.
Pelangi merah berkata:
Eh aku taknak la duduk sesama dengan pelangi biru. Taksuka warna dia. macam warna racun. [dalam farmasi, warna biru biasanya untuk racun].

Pelangi biru membalas:
eh? macam aku nk duduk sangat dengan kamu tu. MERAH MENYALA!

Pelangi hijau berkata pula:
Hmm saya la cantik, menyala pun tidak racun pun tidak. Warna semulajadi..! Saya tidak perlukan warna lain untuk menghias langit.

Pelangi kuning mencelah:
Perasan la pelangi hijau ni.. saya lagi cantik. Warna diraja tau.. [diraja Malaysia sahaja].

Pelangi oren pula berkata:
Apa kelas warna kuning?! warna oren lebih terang dan meyakinkan.. Tanpa warna oren, tidak berserilah senja..

Pelangi ungu:
hmm.. apa nak jadi ni? Jika semua warna tidak mahu duduk bersama.. bolehkah kita dipanggil pelangi lagi..

Itu kisah khayalan yang direka selepas mendengar ceramah Dr. harlina Halizah siraj di IKIM.fm. [entah apa tajuk sebenarnya tidak sempat penulis tangkap].

Ya ia kisah khayalan yang bunyinya sangatlah hampeh dan pelik..

Tapi selalu berlaku pada manusia. Tidak pula kita merasa pelik.

Aku taknak kawan dengan dia. KASAR!
Eii.. alergic tau. Lemah lembut sangat.
Mana boleh tahan dengan personaliti macam ni. Asyik-asyik merajuk.
Sikit-sikit nak marah. Sikit nak marah.
Eh? awak ni takde perasaan ke.
Apa ni takfaham lagi ke orang benci?
Oh dia tu? toksah la berkawan. buat sakit hati je.
Taknak dah jumpa dia. Asyik dia je bercakap. tak beri peluang langsung.

Entah apa lagi frasa yang menunjukkan berpecah belah nya kita.. Walaupun pada zahirnya kita sentiasa bersama.

Apakah asas kebersamaan kita semua?..
Kelas? warna kulit? professional? akhlaq baik dan buruk..? minat? atau apakah..??

Ahad, 13 November 2011

Ketahuilah wahai manusia

Setiap yang lama pasti pernah baru.

Setiap yang tua pasti pernah muda.

Setiap yang mengetahui pasti pernah jahil.

Kerana itulah sifat dunia.
Ia ada permulaan dan ada pengakhiran.

Logik.

Kita bermula dengan hidup di dunia.
Pasti ada pengakhirannya.

Kenapa kita mahu sekat pemikiran.
Mula kehidupan adalah kelahiran,
dan akhir kehidupan kematian.

Benarkah?

Bukankah logik?

Bagaimana pula jika kita menukar cara berfikir kepada:

Kematian adalah permulaan..
Kepada sebuah kehidupan abadi.
Kehidupan yang tiada akhirnya lagi.

Manakala kelahiran kedunia ini.
Hanyalah PRA-persediaan kearah kehidupan yang kekal abadi.

Eh?.. sewenangnya mahu mengajak orang menukar cara fikir.

Sedarkah.

Ini bukan ideologi saya. Bukan juga ideologi mana-mana pertubuhan.. Ia adalah realiti yang diberitahu Pencipta kita.

Mengapa kita masih degil.
Mengapa kita masih mempertahankan nikmat dunia yang sementara?

Bergaduh hanya kerana nikmat dunia yang harganya lebih sedikit dari sayap nyamuk?

Ya Allah, tunjukilah kami kejalan yang lurus.

Sabtu, 12 November 2011

Bila bising sangat

Mode: jalan-jalan menikmati ciptaan Allah dan bangunan ciptaan manusia.

Dalam kereta, semua orang kepenatan berjalan jauh.

"Eh besarnya bangunan tu"
"Hmm banyak jugak kereta kat kawasan ini"
"eh-eh, boleh pulak dia potong kereta lain macam tu?! haih sabar jela"
"Subhanallah.. cantik nye lanskap kat sini!"

Semua itu dialog yang dilontar oleh si fulan seorang.

Tiada siapa menjawab.

"Cuba diam dan berzikir pula" ingat seorang kawan si fulan.

"Eh, kan saya cuma menggambarkan segala yang berlaku dalam bentuk percakapan?!" Jawab si fulan tadi.

"Ha.. besarnya kereta tu. Tak pernah tengok la.."
"Oh, disini ke kedai makan yang orang selalu sebut tu"..

Hmm sambung si fulan bertubi-tubi tanpa menghiraukan peringtan kawannya.

"Sunyila semua orang diam je".. sambung si fulan lagi.

Jika setiap saat di gunakan untuk bercakap. Bilakah masanya untuk aqal dan telinga memainkan peranan. Sedangkan telinga Allah jadikan dua dan aqal itu terlalu luas capaian fikirannya..

Berbanding mulut itu hanyalah satu.

Khamis, 10 November 2011

bila diam sangat...

Assalamualaikum para pembaca..

Semoga sentiasa bersemangat beramal kerana Allah !

Hari ini penulis mahu berkongsi sebuah cerita. Fikir-fikir kan pengajarannya.

Disebuah pekan, tinggal seorang budak pendiam bersama keluarganya. Bahagia bersama kedua ibubapa dan adik beradiknya. [ok macam cerita rekaan pulak]. oh ya. Ini bukan cerita rekaan. Ini cerita betul.

Setelah melalui sekolah rendah dengan jayanya, budak pendiam itu telah berjaya memasuki sebuah sekolah berasrama penuh.

Setelah habis satu sesi pengajian, dia pun pulang ke rumah.. cuti sekolah la..

Rumahnya berhadapan dengan sebuah masjid. Apabila tiba waktu solat.. pergilah budak ini ke masjid sebagaimana kebiasaan seorang muslim yang mahu mendekatkan diri pada Allah. oh fakta tambahan, budak pendiam ini memang selalu ke masjid sebelum dia bersekolah asrama penuh dulu.

Sesudah solat, bersalam-salamlah dia dengan para jemaah yang datang bersolat..

Terjumpalah seorang pakcik yang sudah lama tidak berjumpa. [ok, semua pakcik kat masjid itu sudah lama tidak berjumpa kerana budak pendiam ini baru balik dari asrama..]

Kata pakcik tu: eh?! fulan bin fulan... lamanya kita tidak berjumpa. ha.. mari bersalam dengan pakcik.

Selesai bersalam. Pakcik tersebut menghulurkan tangan lagi untuk bersalam..

Sambil kehairanan, budak pendiam itu bersalam lagi..

Perkara ini berlaku sebanyak beberapa kali. Maksudnya, pakcik tersebut menghulurkan tangan untuk bersalam lagi, selepas selesai bersalam.

ha.. ok-ok. belum habis cerita sudah rasa mahu suka guling-guling..

Kemudian pakcik tersebut berkata:
Kan dah lama tak jumpa, jadi kena salam sebanyak berapa hari kita tidak berjumpa!

Haha...
Kelakar tak?!

Selasa, 8 November 2011

Memaafkan.

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.

Surah Ali-Imran: 133.

Dulu orang letak kaki di muka.
Oh tak mengapa, zaman itu dua-dua pihak masih jahil
Berjaya memaafkan.

Dulu orang tampar muka dengan tapak kasut.
Oh, takpe, dia bukan sengaja.
Perangai dia memang macam tu.
Sekarang tidak begitu dah.
Berjaya memaafkan.

Dulu kena kutuk dan hina kerana dia.
Oh, takpe, salah diri yang tidak tahu memilih kawan.
Alhamdulillah sekarang dia jadi lebih baik. [mungkin]
Berjaya memaafkan.

Dulu dia bermasam muka dan berkata dengan kata-kata yang tidak baik.
Oh takpe.. dia masih jahil dengan tindakkan dia.
Semoga suatu hari nanti dia sedar.
Berjaya memaafkan.

Tapi,
bila orang datang dan SENGAJA MENYAKITKAN HATI..
Barulah sedar betapa mulianya hati Rasulullah s.a.w memaafkan wanita Yahudi yang setiap hari melemparkan sampah dihadapan rumah baginda dengan menziarahi wanita itu ketika dia sakit..

Maka jika benar aku ini ummat Muhammad s.a.w..

Bersegeralah memaafkan manusia yang telah menyakitkan hati walaupun dia tidak pernah memohon maaf dengan bersungguh-sungguh.
Walaupun dia tetap mengulangi kesalahan itu..

Kerana aku mengharapkan keampunan Allah dan syurga yang seluas langit dan bumi..

Duhai sahabat yang telah menyakitkan hati...
Terima kasih atas persahabatan lalu.. kerana dengan kamu aku belajar erti kemaafan semata-mata kerana keredhaanNya.

Memaafkan tanpa mengharapkan sebarang kepentingan dunia.. adalah susah bagi orang-orang yang tidak menyintai akhirat.

Betapa susahnya menjaga seketul daging yang tidak sampai berapa kilogram pun beratnya..
Ayuh Menjaga hati agar sentiasa berlapang dada dengan orang Islam tanpa memilih kasih status dan kedudukan kesalahan mereka..

Maafkanlah kerana dosa kita pada Allah adalah lebih tidak terbilang berbanding hanyalah satu kesalahan sengaja yang dicipta untuk menyakitkan hati kita.. Apatah lagi kesalahan yang berulang dan tidak disengajakan..

dendam hanya merosakkan hati dan amalan. Maka jauhilah ia. Semoga penulisan ini menjadi peringatan buat penulis dan pembaca. InsyaAllah.

Isnin, 7 November 2011

Islam yang bermacam-macam

Semua orang mengiklankan Islam mereka.
Pelbagai jenis Islam.

Islam politik.

Islam rohani,

Islam tarbiyyah,

Islam akhlaq,

Islam negara,

Islam nama..

Islam jamaah,

Islam bebas,

Islam maju.

Islam tertutup.


Mana satu Islam sebenar??..
Pernah terfikirkah...

Jika benar kita orang yang mahu dan mencari Islam sebenar, pasti akan ketemu. InsyaAllah.

Sudahlah jahiliyyahnya pelbagai corak. Islam juga pelbagai corak..

Islam yang sebenar hanya ada satu rupa coraknya. Jika dan hanya jika kita benar-benar mengkaji dan memahaminya. Satu corak tapi sesuai dengan semua jenis manusia, tempat, masa dan keadaan.

Ahad, 6 November 2011

Oh Allah

Antara dua jalan,
Hanya satu jalan yang betul.

Tapi macam mana nak tahu mana satu jalan betul..

Bukankah..
Setiap hari kita membaca
"Tunjukilah kami jalan yang lurus"..

Kepada Siapakah kita memohon ini?
Untuk apakah kita memohon ini?
Sedarkah kita yang kita selama ini yang kita sedang memohon..

Setiap hari berbelas kali.
Jika di tambah jumlah solat sunat.
Entah berapa puluh kali kita memohon..

"Tunjukilah kami jalan yang lurus"

Tapi benarkah kita mencari dengan bersungguh-sungguh jalan yang lurus itu?

Selasa, 1 November 2011

Menyalahkan orang lain memang tidak berbaloi.

Kenapa tidak datang kelas?
Tiada sesiapa beritahu saya ada kelas hari ini.

Kenapa datang kerja lewat?
Tiada siapa kejut saya bangun hari ini.

Kenapa tidak membaca Al-Quran?
Tiada siapa suruh saya membacanya.

Kenapa anda jadi begitu keras hati?
Kerana perangai kawan baik saya begitu teruk.

Hmmm...

Kenapa saya berbuat baik pada orang sekeliling?
Kerana saya mahu orang lain melayan saya dengan baik.

hmm..

Melakukan dan meninggalkan sesuatu kerana apakah sebenarnya???

Siapakah yang bertanggungjawab dengan diri kita? Apakah kita akan menanggung dosa orang lain?? Bukankah Allah telah menyatakan setiap manusia hanya akan menanggung dosa mereka sendiri..

Habis mengapa salahkan orang lain..

Apabila keadaan kita tidak seperti yang diinginkan?..

Entri terkenal