Ahad, 13 Mac 2011

Inilah dunia akhir zaman 1

Amanah. Itu sifat nabi perlukah ada pada kita? Pastilah. Nabi adalah contoh ikutan kita.

Benar. Itu juga sifat Nabi s.a.w. Perlukah kita ikut? Memanglah.

Menyampaikan. Juga sifat wajib seorang Nabi. Perlu ditiru? Yalah.

Bijaksana. Pun termasuk sifat wajib bagi seorang Nabi. Tidak perlu soal lagi. Mesti dicontohi pengikutnya.

Siapa tidak kenal sifat wajib Nabi ini? Pastilah semua orang tahu. Ops, tidak boleh pukul rata. Mungkin ada orang tidak berpeluang mengenali sifat wajib Nabi ini. Walaubagaimanapun bersyukurlah kerana anda yang tidak tahu, sudah tahu sekarang. Sifat wajib Nabi ada 4, sebagaimana telah tercatat di atas.

Dengan itu adakah bermaksud Nabi-nabi kita tidak mempunyai ciri-ciri lain? Hmm, contohnya sifat jujur, adil dan takut pada Allah.. Sebelum meneruskan, sikap adalah tingkah laku dan sifat merujuk kepada jenis/ciri-ciri sikap. [Boleh betulkan jika penulis tersalah].

Baiklah, berbalik kepada soalan tadi. Adakah Nabi-nabi kita hanya mempunyai 4 sifat wajib tersebut? Pastilah jawapannya: TIDAK.

Ada orang cakap “itukan Nabi, patutlah mereka bersifat demikian. Kita ini bukanlah Nabi. Mustahil untuk sebaik Nabi.” 

Sekali pandang, macam lojik sahaja alasan ini.. kan? Mari kita pandang 2 kali. Kerana Allah tidak menyuruh kita menundukkan pandangan dari mencari kebenaran. Tundukkan pandangan hanya dari pemandangan yang haram sahaja. Lain-lain yang boleh dipandang, maka diharuskan untuk memandang.

Pandang kali kedua pada pendapat tadi; ia adalah alasan di atas keengganan kita untuk mencontohi Nabi. Kan? Kerana kita MALAS. Malas untuk melawan bisikan syaitan dan hawanafsu. Bukankah Allah telah berfirman:

“Sesungguhnya, pada diri Rasulullah itu ada suri tauladan yang baik bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat”

Surah Al-Ahzab: 21

Wujudkah tujuan lain Allah menghantarkan “suri tauladan” pada kita jika bukan untuk diikuti?.. Untuk diikuti oleh orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir. Jika kita tidak beriman, maka Rasulullah bukanlah contoh kita.

Apabila contoh idola sepatutnya sudah dibuang dari senarai ikutan, maka pelbagai jenis peribadi, budaya dan ketamadunanlah yang akan kita cari untuk diikuti.

  • Artis/selebriti timur dan barat,
  • pemimpin yang tidak takutkan Allah,
  • kawan yang sentiasa menyeru pada maksiat,
  • cerita-cerita rekaan dan khayalan.

Aqal manusia bersifat membanding. Kita tidak mampu mengatakan sesuatu itu putih jika tiada hitam. Kerana itu kita perlukan contoh. Contoh yang baik dan contoh yang tidak baik. Contoh yang baik adalah untuk diikuti, manakala contoh tidak baik untuk disempadani. Apakah antara contoh tidak baik yang telah Allah tunjukkan dalam Al-Quran?

Fir’aun
Qarun
Abu Lahab
Syaitan

Jika tidak salah ingatan, ini adalah nama-nama yang telah Allah sebutkan. Banyak lagi cerita mengenai ‘ikon-ikon’ yang menderhakai Allah yang tidak Allah sebutkan nama mereka.

Bersambung

Tiada ulasan:

Entri terkenal