Maha Suci Allah yang telah menanamkan keyakinan dan keteguhan iman lalu melahirkan ketajaman pandangan orang-orang yang soleh.
Jika kita sentiasa merenung dan mengikuti tahap demi tahap nasihat mereka, ianya akan memancarkan rasa kagum dan takjub di mana nasihat-nasihat mereka memiliki :
1. Daya sentuh yang cukup nikmat.
2. Kemampuan untuk mencerahkan fikiran.
3. Kekuatan untuk membuka hati.
Mari kita susuri inti-inti nasihat yang dituangkan dengan begitu indah oleh Imam Ibnul Qayyim Al- Jauziyah rahimahullah.
Dia adalah salah seorang dari para solehin yang mempunyai piawaian untuk mengupas sifat dinamik jiwa manusia sebagaimana yang tertera di dalam kitab-kitab karyanya.
Dalam salah satu kitabnya yang bertajuk ‘Al Jawabu Al Kaafi Liman Sa-ala An Ad Dawa-i Syaafii’ (Jawaban tuntas bagi yang bertanya tentang ubat penyembuh), banyak sekali dicatatkan pandangannya tentang jiwa.
Salah satunya adalah tentang asal usul perbuatan seseorang yang berasal pada ‘khatirah’ (lintasan fikiran).
Ya, Lintasan fikiran.
Menurut Ibnul Qayyim, semua perilaku manusia, selalunya berasal dari ‘khatirah’ yang pada akhirnya akan menghantarkan seseorang pada tahapan amal atau praktikal.
Pembicaraan tentang lintasan fikiran menjadi sangat penting kerana dua perkara yang juga menjadi landasan Ibnul Qayyim dalam menghuraikan masalah ini.
PERTAMA, kerana tiada seorang manusiapun yang boleh terlepas dari lintasan fikiran.
Ia muncul begitu sahaja dan menjadi salah satu fitrah manusia pemilik panca indera. Kita tidak mungkin berada dalam situasi tidak memiliki lintasan fikiran dan masalah ini menjadi lebih penting lagi, jika ternyata, Allah swt Maha Mengetahui :
1. Pengkhianatan mata.
2. Apa yang tersembunyi di dalam hati.
3. Rahsia yang tersembunyi.
KEDUA, lintasan fikiran itu tersembunyi malah lebih tersembunyi berbanding kerlingan mata atau lebih tersembunyi dari sikap hasad dengki dan seumpamanya.
Ia ada dalam alam fikiran dan wujud dalam bentuk lintasan-lintasan belaka dan Allah Maha Mengetahui yang paling tersembunyi itu.
Tapi sesungguhnya, lintasan fikiranlah yang akan mendahului setiap perilaku dan perbuatan.
Itu sebabnya, Ibnul Qayyim membahagi lintasan fikiran kepada tiga (3) kategori :
- PERTAMA : ‘Khatirah Ruhmaniyah’ (ruhmaniyah berasal dari Rahman), adalah seluruh lintasan fikiran yang berisi kebaikan dan hal-hal yang utama seperti menuntut ilmu, amar ma’ruf dan nahi mungkar, sedekah dan lainnya.
- KEDUA : ‘Khatirah Syaithaniyah’ iaitu bertentangan dengan yang pertama di mana ia adalah lintasan fikiran syaitan yang isinya sentiasa penuh dengan kekejian dan kemungkaran belaka.
- KETIGA : ‘Khatirah Nafsaniah’ iaitu lintasan fikiran yang berlaku ketika seseorang itu bermimpi.
Perhatikanlah ungkapan Ibnul Qayyim ini dalam kitab di atas :
"Lintasan-lintasan itu memang kompleks kerana dia berada dalam ruang kebaikan atau keburukan.
Dari lintasan fikiran (khatirah) itu lahir :
- Keinginan (iradah).
- Kecenderungan (himmah)
- Tekad (azimah).
Orang yang sejak awal mampu mengendalikan lintasan fikirannya, bererti ia mampu mengendalikan jiwa dan menundukkan hawa nafsunya namun bagi orang yang dikendalikan oleh lintasan fikirannya, bererti jiwa dan nafsunya yang lebih kuat.
Siapapun yang menganggap mudah lintasan fikiran, niscaya lintasan fikiran itu akan menyeretnya pada kehancuran…"
Dalam kitab yang lain, Ibnul Qayyim mengatakan :
"Buanglah lintasan fikiran ‘syaithaniyah’; Jika engkau tidak buang, ia akan menjadi ‘fikrah’.
Buanglah ‘fikrah’ itu. Jika engkau tidak buang, ia menjadi ‘himmah’ (kecenderungan).
Buanglah ‘himmah’ itu. Jika engkau tidak buang, ia akan menjadi amal perilaku.
Buanglah perilaku itu. Jika engkau tidak melakukannya ia akan menjadi kebiasaan."
Seperti itulah asal perilaku jahat yang bermula dari lintasan fikiran.
Bersyukurlah kepada Allah swt atas kekuatan ‘bashirah’ yang diberikan kepada Ibnul Qayyim kerana Ibnul Qayyim bukan hanya menyampaikan peri penting dan mendesaknya kita mengetahui tahapan tahapan itu, malah ia juga mengajarkan cara untuk menghempas fikiran negatif itu dalam tiga langkah :
1. PERTAMA, kosongkan hati dari lintasan fikiran buruk dengan tidak mendekati sesuatu yang dapat memancingnya.
2. KEDUA, jika hati telah kosong dari keburukan itu, hati mestilah diisi. Isilah dan sibukkan dengan Allah dan kecintaan padaNya.
Cara mengisi hati dan menyibukkan diri di sini ada lima bentuk :
1. PERTAMA, fikirkan ayat-ayat Allah yang diturunkan dalam Al Quran serta fahami maksud dan tujuannya.
2. KEDUA, berfikirlah tentang ayat-ayatNya yang terlihat dan ambillah pelajaran darinya yang dikaitkan dengan nama dan sifatNya.
3. KETIGA, berfikirlah tentang ketinggian, kebaikan, kemurahanNya kepada makhlukNya meliputi seluruh nikmat, kasih sayang dan ampunanNya yang sangat luas.
4. KEEMPAT, berfikirlah tentang kekurangan dan aib diri sendiri serta tentang kekurangan dalam beramal. Pemikiran ini akan meluluhkan nafsu yang mengajak kepada keburukan dan akan menghidupkan jiwa serta menjadi tenang.
5. KELIMA, berfikirlah tentang kewajiban waktu yang berkait dengan urusan agama mahupun dunia.
Cara menghempas lintasan fikiran negatif yang KETIGA adalah dengan menjaga lintasan hati dari yang haram dan yang keliru.
Ini dapat dilakukan dengan dua cara :
1. PERTAMA, mengetahui sumber-sumber yang dapat memancing yang haram dan tempat-tempat yang sensitif yang boleh menyeret kepada kesalahan.
2. KEDUA, membandingkan dan menimbang serta mengetahui akibat yang muncul dari kekeliruan yang ada dalam lintasan fikiran. Ini adalah pekerjaan akal.
Seterusnya Ibnul Qayyim mengajak kita membandingkan antara dua keadaan iaitu katanya :
1. Bandingkan antara kelazatan mendekatkan diri kepada Allah dan kelazatan mendekati kepada kekotoran.
2. Bandingkan antara kelazatan dosa dengan kelazatan hati yang memelihara diri dari dosa.
Ya Allah, kurniakanlah kepada kami lintasan-lintasan fikiran yang baik supaya kami dapat istiqamah dalam melaksanakan segala amal soleh dan jauhkanlah kami dari lintasan-lintasan syaithaniyah supaya kami mampu menghindarkan diri dari mengikuti pujukan dan rayuannya.
Ameen Ya Rabbal Alameen
Wan Ahmad Sanadi Wan Ali
Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam
"Ukhuwah Teras Kegemilangan"
"IKRAM Wadah Perjuangan"
~Allah has made this article helps me a lot~