Ahad, 4 Januari 2009

Hujan-hujan-hujan

Dah beberapa hari hujan di kuantan ni. Memang sejuk menggigil. Biasanya sebelum subuh sudah boleh mandi, tapi sekarang kena tunggu tengah hari sedikit baru boleh mandi. Itu pun kerana mengingatkan tanggungjawab sebagai hamba Allah mesti menjaga kebersihan tubuh badan yang telah Allah amanahkan.

Sejuk-sejuk ni, kekadang otak pun beku sekali. Buka buku, tapi masa untuk ‘warming up’ bukan main lama. Akhirnya menaip artikel ini (tak baca jugak buku). Teringat masa pertama kali menjejak kaki ke sini pada tahun 2005 dahulu. Penulis hanya berkata di dalam hati “tak mungkin aku akan menjejak kaki ke sini lagi selepas ini, kerana sini adalah tempat pelajar pandai, pelajar yang rajin belajar..Sunyi sungguh tempat ini”.

Tapi penulis hanyalah manusia yang mempunyai pelbagai sangkaan dan akhirnya Allah menunjukkan kekuasaan dan kehendak-Nya, bahawa penulis perlu datang lagi ke bumi UIA Kuantan untuk meneruskan tugas sebagai khalifah Allah.

Pada hari pertama menjengulkan diri ke kelas, penulis merasa sungguh kecil dan pelbagai lagi perasaan negatif kerana terpaksa duduk bersama-sama pelajar kuliyyah farmasi yang telah di ketahui umum cerdik-cerdik dan otak bergeliga belaka. (Pada masa tu, penulis rasa penulis telah tersesat kelas, sungguh tidak percaya diterima masuk ke dalam kulliyyah farmasi). Di sebabkan perasaan yang negatif ini lah penulis telah mengambil keputusan untuk mengambil kedudukan di barisan kedua dalam kelas.

Lama penulis menduduki tempat tersebut dan enggan berganjak ke depan walaupun kadang-kadang sahabat penulis mengajak penulis duduk di barisan hadapan sekali. Penulis tidak mahu pensyarah mengenali penulis, penulis juga malu jika berada di depan, penulis akan bertanya soalan yang kawan-kawan sekelas sudah punya jawapan “Karang aku tanya kan, orang cakap tanya soalan tah hapa-hapa pulak”. Hmm gitulah keadaan penulis di permulaan memasuki gerbang perjuangan baru di UIA Kuantan.

Entah macam mana pada suatu hari penulis merasakan “aku perlu duduk di hadapan, mudah aku nak bertanya, biarlah apa orang nak kata. Aku nak belajar, dan aku tak perlu takut pada apa selain Allah. Kalau aku takut dan malu, aku lah yang rugi”. Tiba-tiba penulis terfikir “kenapa aku ini seolah-olah terlupa betapa banyaknya berkat berada dibarisan hadapan semasa menuntut ilmu”. Selain itu, penulis juga seolah-olah terlupa, penulis tidak sepatutnya bersikap takut dan malu yang tidak bertempat. Bukan itu sahaja, penulis juga terasa hairan dengan diri sendiri, bagaimana penulis boleh jadi sebegitu rendah diri sehingga menghalang penulis untuk belajar dan berada di barisan hadapan di dalam kelas.

Pelbagai cara penulis buat untuk membaiki sikap belajar penulis. Akhirnya, penulis berjaya menduduki tempat yang selama ini penulis sungguh takut untuk duduk. Tahukah kawan-kawan, sememangnya kita punya sebab yang berbeza untuk tidak menduduki barisan hadapan. Antara alasannya, susah memberikan perhatian, sakit leher, tidak selesa kerana rasa dipandang orang, sudah selesa berada di belakang dan pelbagai lagi alasan lain.

Walau apapun alasan kita, cubalah kita fikir sejenak, apakah perasaan guru-guru kita yang bersungguh-sungguh menyiapkan nota-nota untuk pelajarnya, dan datang awal untuk berkongsi ilmunya bersama, tetapi kita sebagai pelajar, berada jauh di belakang. Sudah lah berada jauh di belakang, kita menggesa pula guru kita untuk bercakap dengan lebih kuat kerana kita tidak dapat mendengar suaranya. Apabila ada sahabat-sahabat kita yang perihatin menyuarakan cadangan supaya kawan-kawan memenuhkan barisan hadapan, kawan-kawan mula melenting dan marah dengan menyenaraikan alasan-alasan yang berbagai. Kita menyuruh orang lain memahami keadaan kita yang tidak selesa dan tidak sedap berada di hadapan, tapi kita pernah kah berfikir dan cuba memahami perasaan dan keadaan guru kita apabila melihat pelajarnya berada jauh di belakang seolah-olah tidak mahu belajar. Ditambah buruk lagi apabila kita lambat ke kelas kemudian hanya menduduki kerusi yang paling belakang kerana malu dan bimbang orang lain tahu kita terlewat ke kelas.. Kadang-kadang, kita tidur sahaja sesedap rasa kerana letih, mengantuk dan bosan. Tahukah kita, guru-guru yang datang mengajar kita itu juga punya banyak lagi tanggungjawab lain selain dari mengajar kita? Adakah kita sahaja yang letih dan sibuk? Adakah kita sahaja yang mengantuk dan tidak cukup masa?

Tidak dinafikan, penulis juga kadang-kadang bosan, mengantuk dan letih apabila menghadiri kelas. Tapi janganlah kita lupa, kita bukan semata-mata datang ke kelas untuk belajar ilmu tertentu dan mahu cemerlang dalam peperiksaan. Kita punya visi dan misi hidup yang panjang dan besar. Kita adalah khalifah Allah. Jika kita hanya nampak tujuan datang ke kelas untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan dan tuntutan universiti, maka memanglah kita merasa sia-sia menghadiri kelas, sudah lah letih, mengantuk, bosan pulak tu. Kerana tidak menghadiri kelas pun, kita masih boleh mencapai keputusan peperiksaan yang cemerlang. Betul kah cara kita berfikir ini?

Banyak perkara yang kita boleh belajar dengan menghadirkan diri ke kelas selain dari mendapat ilmu secara lansung dari guru-guru kita. Antara: Berlatih menepati masa, memahami kepelbagaiaan manusia, cara kita mengatasi masalah-masalah kecil seperti terasa bosan dan mengantuk. Kita juga dapat belajar bertimbang rasa dengan orang lain. Belajar bersabar. Memenuhi masa kita dengan perkara yang berfaedah dan bermanfaat. Belajar menjadi orang yang beradab dan pelbagai lagi. Nah, bukankah banyak sekali perkara yang kita boleh belajar dari perbuatan kita yang menghadiri kelas itu?

Baiklah, itu sahaja untuk entri kali ini. Jangan malu untuk berubah, tidak perlu merasa rendah diri dengan orang yang lebih hebat dari kita. kerana kita juga memiliki kehebatan tersendiri tetapi kita masih belum berjaya mengenal pasti perkara tersebut. Akan tetapi, kita juga tidak boleh merasa hebat dari orang lain kerana di sana pasti terdapat kekurangan kita yang masih kita perlu perbaiki.. Akhira kata, berubahlah kerana Allah, kawan-kawan akan merasa manisnya iman dan ia lansung tidak dapat di terjemah dengan kata-kata.. okaylah mahu sambung baca buku..

REDHA ALLAH ITU MATLAMAT KITA..

Tiada ulasan:

Entri terkenal