Rabu, 28 September 2011

Tarbiyyah.

Assalamualaikum kawan-kawan semua!

Hari ini penulis mahu kenalkan kawan-kawan pada satu perkataan yang biasa dengar, tidak biasa dengar, atau alergi untuk didengar.

Tidak kisah samada kawan-kawan semua suka, tidak suka atau alergi, penulis tetap akan memberitahu. Sila baca dahulu.

Jika masih merasa alergi maka boleh lah mencuba anti-histamine terkini jenama ZYRTEC yang telah berjaya membuktikan dapat mengurangkan kesan alergi pada manusia.

Tarbiyyah adalah pelajaran dan pendidikan.
Tiada siapa yang menafikan kepentingan pendidikan.
Betul tak?

Maka dengan menggunakan perkataan tarbiyyah, ayat diatas akan menjadi:
"Tiada siapa yang menafikan kepentingan tarbiyyah".

Jadi mengapa kita masih mencari alasan untuk mengelakkan diri dari tarbiyyah??..

Seterusnya.

Prinsip pendidikan.

Mungkin ada pelbagai prinsip yang boleh diberikan.
Tapi prinsip pendidikan yang mahu penulis ketengahkan adalah:

"Kita sebagai manusia yang sudah cukup akal dan fikiran, maka kita adalah cukup mampu untuk bertanggungjawab ke atas pendidikan diri"

Lainlah jika kita masih budak yang tidak matang..

Tanggungjawab memberikan pendidikan pada diri kita juga tergalas dibahu pemerintah kita atau orang-orang yang bertanggungjawab ke atas kita.
Siapakah pihak yang bertanggungjawab ke atas kita??
Ibu bapa, kakak, abang, kawan-kawan, orang-orang berilmu, jamaah [maksudnya sekumpulan masyarakat atau orang-orang berilmu], dan pemerintah..

Semua ini pihak yang perlu memastikan kita mendapat pendidikan sewajarnya. Jangan lupa DIRI kita juga termasuk dalam pihak yang bertanggungjawab terhadap pendidikan diri sendiri.

Apakah tujuan dan matlamat pendidikan itu?

Untuk menjadikan manusia kembali pada Allah dan mampu melaksanakan perintah Allah sebaiknya sebagaimana yang telah di amanahkan. [tersangat umum matlamat ini, yang penting jelas]. Ayat pendek: redha Allah.

Setiap pihak bertanggungjawab tadi, termasuk diri kita, akan mengadap Allah dan mempersembahkan amalan mereka. Samada, telah menunaikan tanggungjawab itu dengan baik atau sebaliknya. Selagi mana mereka berusaha.. Maka Allah tidak akan menzalimi hambaNya.

Oleh itu, wahai kawan-kawan..

Berusahalah mendapatkan tarbiyyah terbaik.
Dan tarbiyyah yang terbaik bukanlah datang dari jamaah yang terkenal, naqib dan murobbi yang hebat dan mantap..

Tapi tarbiyyah terbaik itu datang dari ALLAH tanpa perantaraan.

Ya, ALLAH lebih tahu dari sudut manakah kita memerlukan tarbiyyah demi mencapai matlamat tarbiyyah yang sungguh agung itu.. Sesungguhnya, dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

Teruskan usaha jangan putus asa ! Allah Maha Melihat segala usaha hambaNya. Insya Allah.

يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتًا لِّيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ . فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ . وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
Al-zalzalah: 6-8
Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Selasa, 27 September 2011

Hati ini untuk Allah.

Dulu mak cakap..
Barang kaklong, adik-adik takboleh sentuh lansung.

Bila kaklong ada, seolah-olah semua takminat dengan barang kaklong.
Tapi, bila kaklong takde, sebab ke sekolah.
Adik-adik akan berebut nak main barang-barang kaklong.

Takutnya adik-adik dengan kaklong.
Kaklong garang sangat.
kata mak.
Apa kaklong buat?
Sampai adik-adik jadi macam tu??

.....

Diam.
kaklong berfikir.
Bukan sehari dua. Lama bertahun.
Kaklong muhasabah diri.

.....

Hari ini.
Kalau kaklong nak kongsi barang dengan adik.
"Kenapa dengan kaklong ni?"
"Buang tabiat kah?"

Atau

kaklong belajar senyum.
Senyum pada adik-adik dan pada semua orang [yang boleh diberikan senyuman].
"Kenapa dengan kaklong ni?"
"Senyum-senyum?"

.....

Berubah bukan mudah.
Tapi ganjaran Allah buatkan semua yang susah itu jadi MUDAH!

Tiada kata-kata manusia yang boleh menukar yang susah kepada mudah kecuali kata-kata dan janji dari ALLAH!.

Terima kasih Allah.

Isnin, 26 September 2011

Innama asyku bathi wa huzni ilallah

"Biar susah sedikit kerana Tuhan"..

Susah kerana Tuhan akan membuatkan hatiku senang dan tenang. Walaupun orang lain nampak sebaliknya.

Biarlah apa 'hukuman' manusia.
Biarlah apa manusia mahu kata.
Biarlah apa yang orang sangka.
Yang penting!
Allah memandang kita.
Penting sangat.
Pandangan Allah itu sangat penting.

Apalah guna segala amal selama ini jika Allah tidak memandangnya.

Rabu, 21 September 2011

Hidup ini penuh dengan peluang untuk mendekatkan diri padaNya

Oh hai semua ! Semoga sentiasa bahagia disamping Allah. Amin.

Ayuh kita hayati ayat Allah ini:

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّـهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka." 


Surah Ali-imran: 191.


Setiap hari kita diuji. Setiap hari kita diberi kesusahan dan kesenangan. Susah dan senang, kedua-duanya ujian.

Boleh jadi kita gembira, boleh jadi kita sedih dengan kesusahan dan kesenangan itu. Allahu akbar. Siapakah yang memberi kesusahan dan kesenangan itu? Allah. Tuhan sekalian alam. Dan Allah jugalah yang memberi perasaan dalam hati kita bersama-sama kesusahan dan kesenangan itu..

Kita boleh pilih untuk menjadi gembira dan berlapang dada dengan ujian kesusahan. Dan kita juga diberi peluang dan pilihan sebaliknya jika kita mahu. Manusia adalah satu-satunya makhluq Allah yang diberikan kuasa untuk memilih setelah diberi petunjuk dan bekalan untuk melakukan demikian.

Allah Maha Adil.
Dia tidak akan membiarkan kita memilih sesuatu tanpa panduan dan ajaranNya..
Al-Quran telah diturunkan, para rasul juga telah diutuskan.


كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولًا مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ 
 Sebagaimana Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui. 

Pernah terfikirkah kita bahawa perutusan Nabi Muhammad itu sebagai nikmat dari Allah? Astaghfirullah, jika terfikir pun tidak, apatah lagi untuk bersyukur..

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ
Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu). 


Betapa pentingnya menghargai dan berterima kasih atas nikmat Allah ! Apakah erti bersyukur??.. Apakah berterima kasih? Berterima kasih atas nikmat perutusan seorang Rasul.. Bagaimana caranya wahai diri yang sentiasa lupa akan nikmat-nikmat Tuhanku..

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar  

Dengan sabar dan solat ! demi menurut segala perintahNya..


وَلَا تَقُولُوا لِمَن يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتٌ ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَـٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ
Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. 

Kawan-kawan,
hidup kita didunia ini untuk apakah?..
Bukankah hidup ini untuk bertemu Allah?
Bukan semata-mata bertemu dan mengadap Allah.
Untuk mempersembahkan segala amalan..
Untuk melakukan segala pengorbanan.
Demi cinta dan rindu padaNya.
Demi keredhaanNya.

Kerana itu orang syahid, terbunuh dijalan Allah, tidak perlu dimandikan. Kerana mereka sentiasa hidup. Hidup dalam cara yang sangat istimewa disisi Allah!
Tidak teringinkah kawan-kawanku..
 
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

Begitu teringin sekali untuk mati syahid. Begitu berharap sekali untuk diterima segala amalan oleh Allah. Maka rupanya Allah Maha Mendengar. Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia berikan peluang untuk mencapai cita-cita tinggi itu. Cita-cita menjadi syahid dijalan Allah.

Allah menguji kita dengan SEDIKIT sahaja dengan perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman !

SEDIKIT sahaja wahai sahabat ! wahai kaum keluargaku, wahai saudaraku di jalan Allah ! 
 
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.

Ya Allah, betapa lalainya kami hambaMU untuk bersabar dan betapa Maha Pengasihnya Engkau, menunjukkan jalan, membuka hati kami untuk menghadapi ujian yang sedikit ini. Walaupun kami lebih banyak lupa dari mengingati Mu.


Kawan-kawan,
Tiada perkara yang akan mengubat kesusahan kita melainkan mengingati tempat kita kembali. iaitu Allah. Tuhan kita. Tuhan yang sangat dekat dengan kita. Lebih penyayang dari seorang ibu, lebih memahami dari seorang sahabat, lebih berkuasa dari seorang pemimpin zalim, lebih dekat dari urat leher kita.


أُولَـٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ 
Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. 

Al-Baqarah: 151-157    

Setiap kali ujian kesusahan datang, aku merasa malu untuk mengadu padaMu, kerana terlalu BANYAK SUDAH NIKMAT yang telah Engkau berikan.. Dan sedikit sekali SYUKURku padaMu wahai Tuhan.

Ya Allah berikanlah kami kekuatan untuk melalui segala ujianMu. Walau sedahsyat mana pun ujian itu. Jauhkanlah kami dari bisikan syaitan berbentuk jin dan manusia. 

Selasa, 20 September 2011

copy paste

"Janganlah engkau menjauhkan diri dari seseorang yang selama ini engkau puji kebaikannya dan engkau ketahui kehebatannya hanya disebabkan satu keaiban pada dirinya atau dosa kecil yang telah dilakukannya. Ketahuilah bahawa engkau tidak akan menemui seseorang yang bersih dari kesalahan, sekalipun ia seorang yang terkenal memiliki kehebatan. Oleh itu, adalah lebih baik jika engkau mencari-cari aib dirimu sendiri lalu melenyapkannya dari dirimu”.


Ungkapan indah yang kubaca dari buku La Tahzan (Janganlah Bersedih) benar-benar menjadi satu peringatan yang menginsafkan. Memang benar, acapkali begitu mudah kita menjadi penghukum, menghukum kesalahan orang lain berdasarkan sedikit kesilapan yang dilakukan. Sedangkan jarang sekali kita merenung diri tentang kesilapan dan kesalahan yang kerapkali kita lakukan. Benarlah ibarat pepatah melayu, “Gajah di depan mata tidak kelihatan tetapi kuman di seberang nampak jelas sekali”.


Apa yang lebih membimbangkan ialah ada ketikanya kita lebih suka membicarakan keburukan orang lain, bahkan menjadikannya berita sensasi yang dijadikan sebuah karangan panjang lebar. Tanpa disedari kita telah terjebak dengan budaya mengadu domba atau mungkin barangkali menjadi suatu fitnah yang digeruni jika kita tidak berhati-hati.


Seorang teman pernah berpesan lewat sebuah perkongsian:
“Setiap orang tidak hanya mempunyai satu sifat sahaja. Oleh itu, kekurangan yang dimiliki seseorang teman haruslah dimaafkan. Waktu yang engkau lalui bersama temanmu itu tidak perlu dikesalkan dengan apa yang telah berlaku terhadap dirimu. Tidak usahlah pula engkau berburuk sangka bila terjadi sesuatu yang negatif pada dirinya kerana adakalanya di sebalik perubahan tersebut tersimpan sebuah HIKMAH yang mendalam, bahkan barangkali akan menghasilkan sesuatu yang JAUH LEBIH BAIK dari sebelumnya”.


Seorang penyair pula berkata :
“Hubungan persahabatan kita dalam beberapa hari masih tetap setia, tetapi hujan semusim yang bersemi telah berlalu meninggalkan kita. Kebenarannya menyelamatkanmu tetapi engkau melihatnya dalam kesakitan yang hampir merenggutnya. Berlindunglah kepada Allah, maka engkau akan menemukan orang yang engkau marahi dalam ketenangan, bahkan dialah orang yang taat kepada Penciptanya”.


Lantas teringat dimindaku bahawasanya Rasulullah SAW pernah menjamin syurga ke atas seorang sahabat bukan kerana banyaknya amalan tetapi kerana sifatnya yang suka memaafkan kesalahan orang lain sebelum tidur.


Alangkah indahnya andai aku dapat berbuat demikian….bersifat pemaaf dan suka memafkan kesalahan orang lain walaupun adakalanya amat berat untuk dilakukan, apatah lagi dengan amalan yang sekelumit cuma….yang sudah tentu amat jauh lebih sedikit berbanding dengan amalan sahabat Rasulullah SAW.


Allah SWT berfirman:
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (QS. Ali Imran:133-134)

tulisan dari seorang makcik yang kaya pengalaman: http://ummunad.blogspot.com/

Sesekali perasan dan terasa dengan tulisan yang memberi peringatan macam ini best jugak. 

 

Isnin, 19 September 2011

Tiada sehari yang berlalu

Assalamualaikum,

Selamat pagi & selamat menyucikan diri dari dosa.
Kita datang dari Allah tanpa sebarang dosa.

Dan kita mahu kembali pada Allah dengan keampunan Allah terhadap dosa kita. Walau sebesar mana pun dosa itu. Walau sedahsyat mana pun salah kita itu.. kan?..

Kita manusia yang sentiasa mengharap. Tapi usahanya entah kemana.

Mengharap tanpa usaha, itu sia-sia.
Usaha tanpa harap, itu tiada kerja namanya.

وَلَا يَأْتَلِ أُولُو الْفَضْلِ مِنكُمْ وَالسَّعَةِ أَن يُؤْتُوا أُولِي الْقُرْبَىٰ وَالْمَسَاكِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۖ وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغْفِرَ اللَّـهُ لَكُمْ ۗ وَاللَّـهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; 
dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; 
tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Surah An-nur: 22

Sebalik ayat ini, ada sebuah kisah. Iaitu kisah 'Aisyah binti Abu Bakr r.a. difitnah oleh para munafiqin. Kena fitnah apakah? Fitnah menyatakan 'Aisyah telah berlaku curang dengan seorang sahabat setelah pulang dari Perang dengan Bani Mustaliq.

Mahu tahu kisah lebih lanjut, boleh cari bahan bacaan di mana-mana..

Ayat ini diturunkan apabila Abu Bakr r.a tidak mahu meneruskan bantuan kewangan kepada seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang telah terlibat dalam menyebarkan fitnah tersebut.

Walaupun ayat ini diturunkan untuk Abu Bakr pada masa itu, adakah ia sudah tidak berguna lagi pada kita?.. Bukanlah Al-Quran ini untuk seluruh ummat akhir zaman. Kita adalah ummat akhir zaman. Sedangkan Al-Quran ini diturunkan sebagai rahmat untuk seluruh alam. Al-Quran benar-benar menjadi rahmat pada manusia, apabila manusia benar-benar menurut isi kandungannya.

Menyebarkan fitnah ke atas 'Aisyah binti Abu Bakr r.a bermaksud menyakitkan keluarga Nabi Muhammad s.a.w, kerana 'Aisyah adalah isteri yang paling baginda sayangi selepas Khadijah Binti Khuwailid.

Betapa seolah-olah tidak dapat dimaafkan kesalahan itu..

Tetapi, Allah telah memerintahkan Abu Bakr r.a supaya tidak memutuskan bantuannya pada sahabat yang susah itu. Allahu akbar.. Rahmatnya ajaran Al-Quran itu. Subhanallah !

Jika:
orang melakukan kepantangan kita.
jiran melakukan sesuatu yang menyusahkan kita.
orang menyirapkan darah kita.
ada yang memalukan kita.

pendek cerita,
jika ada orang yang telah menzalimi kita, memalukan kita.. terutamanya saudara seislam kita. Apatah lagi jika dia adalah saudara mara kita, ahli keluarga kita, sahabat-sahabat kita, kawan-kawan kita..
Maka MEMAAFKAN itulah yang terbaik! Jika kita mampu dan mahu.

kerana,
tidak terbilangnya dosa kita pada Allah!

Apalah sangat dosa manusia yang jahil pada kita yang juga serba jahil berbanding dosa kita yang serba jahil ini kepada Allah yang serba tahu, MAHA MENGETAHUI.

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ
“Ya Allah! Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan aku. Aku adalah hambaMu. Aku akan setia pada perjanjianku denganMu semampuku. Aku berlindung kepadaMu dari dosa yang kuperbuat. Aku mengakui nikmatMu kepadaku dan aku mengakui dosaku, oleh karena itu, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

(Barangsiapa membacanya dengan yakin ketika petang hari, lalu ia meninggal dunia pada malam itu, maka ia masuk Surga. Dan demikian juga ketika pagi hari.” HR. Al-Bukhari 7/150)

Jumaat, 16 September 2011

komen sana komen sini

Pernah terfikir mata kita sedang menghala kedalam kepala?..

Hehe. Serbu tidak beri salam.

Assalamualaikum semua.
Selamat melalui hari-hari yang ceria. Teruskan usaha mengenal Allah dan menyintai-Nya.

pernah dengar kah komen-komen sebegini:
  • eh, kot ye nak berdakwah, gunalah cara elok sikit.
  • jangan terlibat dengan mana-mana persatuan, pertubuhan, gerakan Islam, atau jemaah. Sebab, mereka itu ekstrem dan suka berpuak-puak.
  • orang agama biasanya mundur dan kurang bertamadun.
  • Usah terlibat dengan perkara 'luar'.. entah-entah ajaran sesat.
atau komen seperti ini:
  • fesyen serabut yang di pakai si A kurang sesuai dengan majlis.
  • Sebagai seorang selebriti si B perlulah menyesuaikan pakaian dan tema warna mengikut majlis.
  • semenjak si C terlibat dengan dunia seni, tidak pernah sekali saya mendengar cerita baik tentangnya
atau komen seperti ini:
  • dimana NGO yang begitu bersemangat memperjuangkan ISlam? [apabila masalah sosial dan agama menjadi panas dan heboh disebuah negara berdaulat]
  • sebagai rakyat yang bertanggungjawab, hendaklah dia berjimat cermat menggunakan air dan letrik [sedang si dia, apabila melawat kawasan, penduduk kampung terpaksa berbelanja habis-habisan untuk menyambutnya]
kes-kes komen yang 'terlepas' apabila pandangan mata di lancarkan terus kearah manusia sekeliling tanpa mengambil sedikit masa [sekurang-kurangnya sedikit masa] untuk menghalakan mata ke arah diri sendiri.. 

terlalu menghalakan pandangan ke arah diri sendiri pun tidak elok juga. Takut menghasilkan manusia yang mementingkan diri. Oleh itu, jadi tengah-tengah. Seimbang.

Peringatan ini adalah untuk diri sendiri yang selalu lupa.

Khamis, 15 September 2011

terpedo

Terasa.
Tertembak.
Tersindir.

Dengan peringatan.
Bukan hanya peringatan.

Tapi peringatan demi peringatan.

Tenangkan fikiran.
Redakan gejolak emosi.
Ayuh bawa fikiran untuk mengingati Allah.

Adakah dia si pelontar kata..
Benar-benar tahu isi hati kita?

Tidak.

Siapakah yang mengilhamkan si pelontar kata..
Kata-kata yang begitu menyentuh hati si pendengar.

Siapakah yang menyusun dan menetapkan semua ini ?
Menyusun agar kata-kata itu terlontar.
Agar kata-kata itu didengar..
Hingga..

Terpukul.
Tersindir.
Tersentap.

Allah.
Tuhan si pelontar kata.
Tuhan si pendengar.

Allahlah yang merancang.
Allahlah yang menentukan.

Dia Tahu hambaNya yang benar-benar perlu pada peringatan.
Hingga si pendengar itu sentiasa terdengar..
Sentiasa terpukul..
Sentiasa tersentap..
Dengan peringatan, demi peringatan.

Terima kasih Allah kerana menghantar peringatanMU.
Amat bermakna.
Amat berharga.

"Sesungguhnya peringatan itu amat berguna bagi orang-orang yang beriman".
[ini adalah maksud ayat Quran. Sila semak sendiri] hehe.


Rabu, 14 September 2011

Mengapa ya

Al-Quran.
Wahyu Allah.
Terpelihara.
Tidak berubah.

Ummat dahulu,
Ummat sekarang,
Dua-dua menerima Al-Quran yang sama.

Tapi mereka sungguh berbeza.

Ummat dahulu,
Beria melakukan suruhan dalam Al-Quran.

Ummat dahulu,
Beria meninggalkan larangan Allah,
Setelah memahami kandungan wahyu.

Ummat dahulu,
Begitu sensitif dengan ayat Allah.

Ummat dahulu,
Begitu mengharap wahyu Allah turun untuk menyelesaikan masalah,
Tetapi mereka tetap berusaha
Berjihad dan bersungguh-sungguh untuk tsiqah pada Rasulullah.

Ummat dahulu,
Begitu memahami perintah dan larangan Allah.

Ummat dahulu,
Benar-benar memelihara [hafaz] ayat-ayat Allah.
baca, hafal dan amal.. >> itulah maksud memelihara ayat Allah.

Ummat dahulu,
begitu taat dan tawadhu'..
Tidak perlukan hukuman dalam tarbiyyah.

Akhir kata..
Aku bukanlah ummat terdahulu.

Sabtu, 10 September 2011

Betapa..

Celik mata..
Oh, hari ni kerja lagi.
Penatnya.

Satu lagi hari aku untuk bersibuk.
Sibuk berkhidmat demi negara.
Demi Islam.

Bergegas.
Bersiap.
Meneruskan rutin kerja dan belajar erti kehidupan.
Rehat.
Waktu makan tengahari.
Hari ini sibuk.
Ada kerja tambahan perlu disiapkan.
Tidak perlu makan.
Solat sahaja.
5 minit untuk solat 4 rakaat dan 2 rakaat untuk sunat qabliyah.

Sambung kerja.
Habis sudah waktu kerja.
Balik.
Penat, letih.
Makan, solat dan berehat.
Oh, ada usrah malam ni.

Bergegas pula.
Bersiap.
Solat maghrib.
usrah.
Diam.
Malas bercakap hari ini.
Esok-esok, kalau rajin.
baru bercakap dan berbincang.

Balik usrah.
Sudah malam pekat.
Tertidur keletihan.

Esok akan bermula lagi.

Jika begini setiap hari..
Bilakah masa untuk aku berfikir dan memuhasabah diri ?
Bilakah masa untuk aku menilai kualiti solat dan hubungan dengan Allah?

Jika aku berterusan begini..
Bilakah masa untuk aku mengenal Penciptaku?
Bilakah masa untuk aku mengeratkan hubungan dengan Tuhanku?

Bila?
dan
bila wahai diriku?..

Itu belum berumahtangga dan beranak pinak..
Belum berada dalam suasana kesempitan dan susah..
Belum ditarik segala nikmat

Ya..
Belum lagi berfikir
kerja-kerja dan amanah Allah untuk memakmurkan bumi.
Belum lagi menghayati
tugas dan tanggungjawab menyampaikan pesanan Ilahi.

Masih banyak belum lagi.

Dan rupanya.

Aku sudah lupa..
Apa erti pengorbanan..
Apa erti cinta dan mengenal Tuhan.

Tepuk dada, tanyalah hati.
Dimanakah kamu letakkan Tuhan selama ini ?



Jumaat, 9 September 2011

Hati manusia, Allah tahu.

Pengorbanan.
Bukan semudah melontarkan kata ketika bersemangat.

Nikmat, kesusahan,
semuanya UJIAN.
Ujian untuk membuktikan pengorbanan.
Pengorbanan apakah?
Pengorbanan kerana cinta.
Cinta pada Allah.

Betapa sibuknya dengan urusan dunia.
Hingga lupa..
Hingga terpaksa diberi KETUKAN KUAT.

Sangat kuat.
Ketukan yang membuatkan aku terduduk.
Duduk dan tunduk.
Hingga tidak mampu mara lagi.

Sebagaimana seorang budak yang sibuk bermain.
Hingga tidak mendengar panggilan ibunya.

Ya, aku adalah hamba yang terlalu sibuk dengan urusan dunia.
Hingga aku tidak mendengar..
Panggilan Tuhanku.

Hingga..
Tuhan terpaksa memanggilku dengan peringatan yang terang!..
Agar aku sedar.
Agar aku tidak terus terpalit dosa dan cuai pada-Nya.

Semoga aku sentiasa sedar akan panggilan Tuhanku
dan tidak tertipu dengan kesibukan dunia..

Khamis, 8 September 2011

Iman: the 'most important thing' i lost..

Hari ini jalan raya tetap sibuk seperti biasa.
Manusia meneruskan urusan hidup mereka..
Begitu juga aku..

Pengajaran yang Allah beri..
Setiap hari.
Petunjuk juga Allah beri
Setiap hari.

Yang lebih penting..
Allah memberi setiap hari.
Tapi redha manusia juga yang dicari.

Astaghfirullah...

Jika gembira, bukan main berterima kasih pada si insan
Yang telah mengembirakan kita.

Bila sedih,
cari Allah.
Ya..
Simpan hati dan perasaan pada Allah hanya bila susah dan sedih.
Alangkah tidak bersyukurnya aku.

Sedang nikmat Allah begitu banyak pada diri.
Masih memandang nikmatNya
yang diberi pada hambaNya yang lain..
Ya Allah tidak bersyukurnya aku!

Maafkan aku ya Allah..

Mahukah Allah tarik nikmat kefahaman islam itu
dan di ganti dengan rumah besar dan lengkap?

Mahukah aku..
Allah gantikan nikmat mengingati dan memahami Al-Quran itu,
Dengan ijazah dan sanjungan manusia??

Mahukah aku..
Allah gantikan nikmat ibubapa yang mengenal Allah,
dengan sahabat yang cintakan dunia??

Mahukah aku..
Allah gantikan nikmat cinta padaNya
dengan cinta manusia dan pengikut???

Ampunkan aku Tuhan.
Sesungguhnya, aku begitu jahil dalam mensyukuri nikmatMu.

Ya Allah.
Terimalah taubatku.
Walaupun aku tahu
terima kasih dan segala amalku tidak akan cukup
Untuk menandingi cinta dan petunjukMu.

Selasa, 6 September 2011

FIkiran jahat.

Fuiyoooo.. tajuknya bunyi terlalu 'daring'.

ok, assalamualaikum warahmatullah. Selamat pagi dan petang wahai semua manusia yang memahami bahasa Malaysia.

Mugi

Malam tadi tidur sebut nama Allah ke tidak? oo patutlah tak jaga nak sahur. Tidur tidak ingat Allah rupanya.
Bulan syawal sudah berlalu hampir 2 minggu. Tapi rupa kita sudah kembali kebentuk asal atau masih tetap istiqamah dengan perubahan yang telah dibuat sepanjang Ramadhan?

Berbalik kepada tajuk catatan hari ini.

Fikiran jahat.

Apakah fikiran jahat itu?

Ok-ok. Sebelum bermula lebuhraya cerita tentang fikiran jahat, adalah perlu untuk penulis beritahu sebab memilih tajuk inikan?..

Sebab: dalam usaha kita mendapatkan keredhaan Allah, kita perlu tahu perkara yang diredhai dan perkara yang tidak diredhai-Nya. Mengapa?

Mengetahui perkara yang diredhai supaya kita bersemangat untuk melakukannya, dan mengetahui/mengenali perkara yang tidak diredhai Allah, untuk tidak melakukan serta menjauhinya.

Jadi kita perlu kenal apakah itu antara perkara yang tidak diredhai Allah. FIKIRAN JAHAT.

Untuk lebih mudah faham, perumpamaannya adalah: jika kita cinta sayang dengan seseorang, bukan main lagi kita berusaha suka apa yang dia suka dan menjauhi seboleh-bolehnya apa yang dia tidak suka.

Apatah lagi ALLAH ! Tuhan kita kan? Lagi-lagi lah kena cinta apa yang Dia suka dan menjauhi sedaya upaya apa yang Dia tidak redha.

Apakah fikiran jahat itu? fikiran jahat itu segala lintasan fikiran atau idea-idea pelik untuk mengingkari perintah Allah.

Apa sahaja. Fikiran jahat itu adalah dari hasutan syaitan dan manusia ! Hmm.. diulangi ye, syaitan dan manusia. Bukan syaitan sahaja yang boleh menghasut, manusia pun boleh menghasut. Sudah di beritahu Allah dalam surah An-Nas ayat 5 dan 6 :

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ 

"Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia".                                                                                                  

Mengapa fikiran jahat itu boleh berleluasa dalam kepala kita?
Kerana kita kurang mengingati Allah.

Dahulu penulis sentiasa berfikir. 

Kenapa ya mudah sangat aku bersangka buruk dengan orang? atau lebih spesifiknya dengan orang tertentu sahaja?  
Rupanya kerana kurang mengingati Allah. 

Pendek sahaja jawapannya. Jika sangka buruk itu berlaku dengan orang tertentu sahaja, bermaksud, kita kurang mengingati Allah apabila bersama dengannya.

Mengapakah kurang mengingati Allah ketika bersama dengannya [dengan orang-orang tertentuatau dengan sesiapa sahaja]?.. Boleh jadi pelbagai sebab dan sila muhasabah diri sendiri di tempat dan waktu yang tiada gangguan.

Itulah sebab Allah sudah pesan dalam surah Ar-ra'd:28 ;

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّـهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّـهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan mengingati Allah, tenang tenteramlah hati manusia.  

Hanya dengan mengingati Allah fikiran kita tidak akan tertipu dengan hasutan syaitan dan manusia. Ya zikir lah sebanyaknya apabila terfikir hal bukan-bukan tentang saudara seislam dan sesiapa sahaja.

"masalahnya dia melayan saya dengan cara yang paling buruk!, tidak pernah dia layan orang lain seburuk dia melayan saya. Dia pun sudah mengaku"

Ya jawapan untuk alasan sebegini adalah:

Siapakah yang membuatkan dia itu bersikap begitu dengan kita? Bukankah di sana ada kuasa yang sedang memerhati dan membenarkan layanan buruk itu terjadi?.. Dan pasti setiap yang berlaku itu tidaklah hanya untuk saja-saja hobi.

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّـهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah 
semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): 
"Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Al-imran: 191

Di awal ayat itu sudah tertulis, iaitu orang-orang yang mengingati Allah. Hanya dengan mengingati Allah sahaja hatikan jadi tenang. 

Dengan mengingati Allah sahaja kita akan menjadi lapang dengan kesempitan. dengan mengingati Allah sahaja kita tidak akan sombong dan bongkak dengan kelebihan dan nikmat kesenangan.

Dengan mengingati Allah kita akan tidak berfikiran jahat. Dengan mengingati Allah sahajalah kita tidak terfikir pun kata-kata:

"masalahnya dia melayan saya dengan cara yang paling buruk!, tidak pernah dia layan orang lain seburuk dia melayan saya. Dia pun sudah mengaku"

Ya, hanya dengan mengingati Allah sahaja senjata memangkas fikiran jahat !

Bagaimanakah cara mengingati Allah itu??

Kenali Allah. 
Siapakah Allah, apakah kedudukanNya dalam hidup kita?

Sebutlah Dia sentiasa.
Sebut dimulut, sebut dihati..
Setiap kali melakukan sesuatu aktiviti, jangan lupa padaNya.

Segala zikir dan istighfar.. ulanglah. Tiada istilah bosan.
Menyebut-nyebut namaNya bermaksud bertambah cinta padaNya..
Menyebut dengan sebenar-benar sebut.
Bukan menyebut macam burung kakak tua meniru manusia bercakap.

Akhirnya, fikiran jahat akan tenggelam dan meninggalkan kita. Tiada lagi fikiran jahat yang boleh mengganggu kita. Insya Allah.

Kerana Allah adalah Tuhan kita dan Tuhan kepada yang menghasut. Allah juga Tuhan kepada 'fikiran jahat' itu.. Jika kita kembali pada Allah, tiada satu ciptaan Allah pun yang mampu menguasai kita, walau kuasa magik, kuasa kasih sayang, dan kuasa apa pun yang ada pada mereka.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! 
Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; 
dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; 
dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. 
Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. 
(Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. 

Al-Hujurat: 12

Mengapakah kita perlu menjauhi fikiran jahat? kerana ekoran dari fikiran jahat itu, kita akan mengintip dan mencari keaiban orang. Seterusnya, mampukah kita berdiam diri dari hasil intipan itu? Terjadilah mengumpat. Perbuatan yang telah Allah umpamakan memakan daging saudara sendiri.

Alangkah jijiknya akibat fikiran jahat ini. Dan alangkah buruknya akibat fikiran jahat ini. Malah ia akan membawa kepada permusuhan dan perselisihan faham yang lebih besar lagi.

Ya Allah!
Sesungguhnya kami amat jahil dalam menjalani hidup sebagai hambaMu, ampunilah kami.. Dan jauhilah kami dari hasutan serta fikiran jahat yang sentiasa menunggu masa untuk merosakkan amal dan pahala kami.

Setakat itu dahulu untuk hari ini semoga berjaya mengingati Allah !

Ahad, 4 September 2011

Kahwin.

Assalamualaikum warahmatullah !

Selamat pagi dan petang.

Mugi hari ini adalah: 
sila faham doa anda. Usah membebel panjang dihadapan Allah tanpa memahami setiap butir percakapan yang terkeluar dari mulut sendiri.

Bagaimana perasaan kita melayani orang yang bercakap, dan kita tahu dia sebenarnya tidak memahami perkataannya?.. bosankan.

Kahwin.
Ok, penulis tahu, kalau tulis tajuk ini mesti semua orang minat sangat untuk baca.
Tapi penulis tidak minat untuk tulis.
Tapi entah kenapa hari ini rasa macam perlu untuk tulis.

"oh, mutiara bd, jom kita kahwin cepat-cepat.."  apakah reaksi kawan-kawan jika ada orang menyebut begitu pada anda?.. =p

Hmm, macam-macam alasan dan jawapan yang sudah diberi, tapi jawapan paling senang,
"jika perkahwinan itu semudah menanak nasi, sekarang juga penulis kahwin".

Bercakap tentang perkahwinan bukanlah kepakaran penulis.

Hanya sedikit perkongsian disini.

Perkahwinan bukanlah semata-mata untuk menghalalkan yang haram. Ia adalah ibadah semur hidup. Ia bukan petunjuk kemuliaan seseorang bukan juga tanda kehebatan.

Perkahwinan adalah sebahagian dari syiar Islam untuk menjaga kemuliaan nasab manusia [keturunan]. Perkahwinan menunjukkan darjat manusia lebih mulia dari binatang. Perkahwinan juga untuk menguji cinta manusia pada Allah..

Perkahwinan adalah untuk mendekatkan diri pada Allah ! Alangkah indah dan mulianya tujuan perkahwinan. Jika dan hanya jika kita berkahwin kerana tujuan tersebut.

Ramai orang berkahwin awal, tapi ramai juga orang bercerai awal.
Tapi ramai juga orang berkahwin awal dan bahagia hingga ke anak cucu.
Ada juga berkahwin lambat, tetapi akhirnya bercerai juga.
Dan ada juga berkahwin lambat tapi bahagia hingga meninggal dunia..

Pelbagai kisah perkahwinan, dari kisah yang begitu manis hinggalah kisah yang sangat menyayat hati. Semuanya untuk di ambil pengajaran dan tauladan.


Selamat pengantin baru bagi yang sudah melalui perjanjian [aqad], ia adalah amanah dan tanggungjawab bukan kemuliaan yang perlu di banggakan dan bagi yang masih belum bertemu jodoh ingatlah, semua urusan tersebut di tangan Allah, kita hanya boleh berusaha untuk menjadi yang terbaik dan;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِير 

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang keturunan, bangsa atau nikmat yang ada padanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).  



Al-Hujurat:  13

Sabtu, 3 September 2011

Kalau ceritalah

Assalamualaikum pembaca semua..

Semoga sentiasa setia di sisi Allah.

Sebelum memulakan cerita, suka penulis mahu kongsikan MUGI hari ini. Bagi yang ketinggalan maksud MUGI boleh lah kliksini.

MUGI hari ini:
Sila berzikir beribu kali jika terfikir perkara jahat dan tidak lojik tentang sahabat dan ahli keluarga. Insya Allah berkesan menolak maksiat fikiran [sangka buruk]. Bunyi seperti ekstrem, tetapi inilah hakikat yang telah terbukti kesan baiknya pada iman.

Baiklah kisah yang mahu diceritakan adalah kisah Fatimah binti Rasulullah.

Alkisahnya.

Siapakah yang masih tidak kenal anak perempuan Rasulullah ini? Jika ada yang masih tidak kenal, mungkin kisah yang bakal dicoret menjadi permulaan untuk anda mengenalnya.

Bagi yang sudah kenal, maka anggaplah cerita ini sebagai ulangkaji dan tazkirah. Alhamdulillah !

Fatimah adalah salah seorang dari 4 anak perempuan Rasulullah. Ketika wahyu pertama turun, Fatimah masih kanak-kanak. Dia sempat menyaksi dan melalui pelbagai siksaan orang kafir Quraisy terhadap ayahnya, Nabi Muhammad s.a.w.

Fatimah telah berkahwin dengan Ali bin Abi Talib [sepupu Rasulullah s.a.w]. Ali bukan orang kaya macam Abdul Rahman dan Abu Bakr r.a. Maka maksudnya, Fatimah dan Ali bukanlah keluarga berada dan senang.

ok, kalau cerita macam 'tu' sahaja, kita tidak dapat 'feeling' sebenar. Maka dengan penuh semangatnya penulis mahu menerangkan sedikit suasana sebenar, walaupun tidaklah tepat sebagaimana yang berlaku.

Bayangkan, Ali dan Fatimah berkahwin di Madinah, selepas peristiwa hijrah.

Hijrah zaman itu bukan nya bermusafir macam sekarang. Ada hentian yang cukup dengan segala kemudahan dan kelengkapan. Jika bermusafir di negara kita, suhunya rendah dan tidak panas. Pemandangannya indah sekali. Sawah padi, pokok, bangunan dan pelbagai kecantikan alam..

Hijrah di zaman Rasulullah itu bermaksud, berjalan di tengah padang pasir, tiada hentian seperti PLUS, tiada jalan bertar dan pemandangan cantik. Panas, berangin dan berdebu. JIka tiba di Madinah pun, tiada hotel-hotel sebintang atau dua bintang. Apatah lagi hotel 5 bintang.

Hijrah juga bermaksud meninggalkan kampung halaman tanpa pasti akan kembali. Sedang kita bermusafir, masih ada harapan untuk kembali..

Berhijrah juga bermaksud meninggalkan segala harta dan keluarga. Sehelai sepinggang, jika ada bekal pun, hanya cukup untuk sepanjang perjalanan.

Jadi, boleh kah membayangkan betapa bagaimana keadaan Ali dan Fatimah semasa berkahwin? Tiada mas kahwin berjumlah pelik-pelik. Tiada upacara-upacara pelik seperti silat dan bersanding. Tiada makanan mewah dan mahal. Apatah lagi kehidupan selepas perkahwinan. Tiada istana tinggi dan megah. Tiada kenderaan impot dan besar. Kehidupan mereka susah. Tiada orang gaji. Menguli dan menggiling gandum di lakukan sendiri oleh Fatimah.

Bayangkan..
Dizaman itu mana ada mesin canggih dan cantik untuk membantu proses menguli dan menggiling gandum.. Betapa setiap hari Fatimah perlu melakukan kerja berat untuk menyediakan makanan untuk keluarga. Sudah lah anak sulung dan anak keduanya lelaki. Hassan dan Husin, cucu kesayangan Rasulullah s.a.w.

Jika dilihat zaman sekarang, duduk dirumah menjaga anak pun sudah penat walaupun kerja rumah telah diselesaikan pembantu.. Inikan pula Fatimah, melakukan kerja menggiling gandum dan menguli tepung.

Pada suatu hari, ketika Ali k.w.j pulang ke rumah, dia telah melihat Fatimah tertidur kepenatan sedangkan dia masih belum siap melakukan kerja-kerja hariannya. Kasihankan?.. Letih buat kerja sehingga tertidur.

Oleh sebab itu, Ali menyuruh Fatimah untuk cuba meminta dari Rasulullah, seorang hamba [hasil tawanan perang] untuk di jadikan pembantu rumah. Kerana Ali tidak punya kewangan yang banyak untuk menggaji pembantu rumah.

Walaupun Fatimah sudah ke rumah Rasulullah, tetapi rupanya Fatimah sangat malu untuk meminta sebagaimana yang dicadangkan Ali.

Akhirnya, mereka pergi bersama.

Ali pun menerangkan kesempitan hidup dan kesusahan mereka dalam urusan rumah tangga.

Pendek cerita, Rasulullah tidak mengabulkan permintaan mereka, tetapi telah berkata:
"Mahukah kamu, aku berikan yang lebih baik dari seorang pembantu rumah?"

Maka pastilah Ali dan Fatimah mahu.

Rasulullah pun mengajarkan mereka; subhanallah, alhamdulillah, Allahu akbar 33 kali sebelum tidur. Serta bacaan surah An-Nas, Al-Falaq dan Al-ikhlas, 3 kali setiap surah.

Sesungguh Allah dan Rasul sangat tahu yang terbaik buat kita.

Banyak pengajaran.
Tapi yang paling terkesan di hati penulis adalah, bagaimana zikir tersebut boleh meringankan beban dan menjadikan kita sangat kuat dan tabah menghadapi urusan hidup yang dianggap besar dan berat. Insya Allah !


Kebahagiaan itu..

Allah..
Maha Mengetahui.
Menyebabkan kita redha dan lapang dada dengan segala kejadian.

Amal baik dan buruk bukan kerana wujudnya manusia,
tetapi kerana
percaya Allah Maha Melihat.

Allah Maha Adil.
Hasilnya kita menjadi manusia yang sangat sabar.
Jika kita percaya.

Tahu sahaja
Allah Maha Mengetahui,
Allah Maha Melihat,
Allah Maha Adil..

Tidak akan cukup sehingga kita benar-benar beriman..
Iman bukan sekadar disebut dengan mulut tapi terlahir dengan perbuatan.

Iman itu satu kepercayaan yang sangat kukuh di hati sehingga kita sentiasa menyebut-nyebut dan terbukti dengan perbuatan.

Umpama kita meng'imani' panasnya api. Tidak akan sesuka hati menjadi hobi untuk meletakkan jari di atas api yang sedang menyala sedangkan hati kita benar-benar yakin sifat api itu membakar dan panas.

Begitulah juga iman kita pada Hari akhirat, akan membuatkan kita menjadi seorang yang sabar dengan suasana dan sikap kerana yakin dan percaya bahawa setiap perbuatan manusia itu tidak akan dipandang remeh oleh Allah.

Kebahagiaan itu kerana kita ikhlas dan percaya pada Allah. Tiada lagi perkara dan manusia yang boleh membuatkan kita merasa sedih dan kecewa kecuali kemurkaan Allah.

Jumaat, 2 September 2011

Pergaulan

Diam.
Cakap banyak.

Sensitif.
Tidak kisah.

Peramah.
Kurang mesra.

Begitu penuh dengan minat dan perasaan.
Tenang dan seolah-olah tiada perasaan.

Gembira bertemu orang lain.
Takut dan tidak minat berjumpa orang.

Semuanya sifat manusia. Apa yang penting cara kita menangani mereka dengan 'jalan' yang paling tepat demi 1 tujuan: mendekatkan diri dan orang lain kepada Allah.

Selamat berjuang dan meneruskan amal baik yang telah di buat sepanjang Ramadhan.

Entri terkenal