Al-llmu bila amalin kasyajarin bila samarin [ilmu tanpa amal umpama pokok tanpa buah]
Mari ulangkaji matapelajaran akhlaq yang kita pelajari semasa di tahun 6 sekolah rendah. Apa-apa sekolah itu bukan masalah.
Hubungan dengan jiran
Dari sebuah hadith Rasulullah s.a.w. Dari Kaab bin Malik yang bermaksud:
Rasulullah s.a.w telah didatangi seorang lelaki seraya berkata: "Wahai Rasulullah s.a.w! Saya ditinggal dikampung sifulan.
Sesungguhnya orang yang paling banyak berbuat aniaya kepadaku ialah orang yang hampir bertetangga denganku"
Mendengar itu, Rasulullah s.a.w pun mengutuskan Abu Bakr, Umar dan Ali radhiallahu 'anhum supaya segera mendatangi masjid dan berdiri di pintu seraya menyeru dengan suara keras "Ingatlah bahawa empat puluh rumah disekitar kamu adalah tetangga dan
tidak masuk syurga orang yang tetangganya takut akan kecelakaannya"
[HR At-thabrani]
Teruskan bacaan kawan-kawan dengan ayat Quran ni bawah [dari surah an-Nisa' ayat 36]
"Dan hendaklah kamu mengabdikan diri pada Allah dan jangan mensyirikkannya dengan apa-apa juapun, serta berbuat baiklah terhadap kedua ibubapamu, kaum kerabat, anak yatim, jiran yang dekat dan jiran yang jauh"
Ada beberapa jenis jiran yang kita ada:
- jiran yang punya satu hak [hanya hak sebagai jiran]
- jiran yang punya dua hak [haknya adalah sebagai jiran dan orang Islam]
- jiran yang punya tiga hak [haknya sebagai jiran, orang Islam dan kaum kerabat]
Adab dengan jiran
[ia termasuk dalam hak-hak jiran]
Mulakan salam apabila bertemu dengan mereka.
Berbuat baik dengan mereka.
Bertolak ansur dengan jiran dari segi kebendaan.
Melawat jiran jika mereka sakit.
Mengucapkan tahniah dan takziah sesuai dengan keadaan.
Tidak melihat ahli keluarga mereka yang bukan mahram dengan sengaja.
Tidak melakukan perkara yang tidak disukai jiran (tidak menyakitkan hati mereka).
Berjumpa jiran dengan wajah yang mesra.
Berjabat tangan apabila bertemu dan berpisah (jika sama jenis).
Elakkan dari menyusahkan jiran.
Mengambil berat hal ehwal jiran.
Pastikan jalan menuju ke rumah mereka tidak dihalang.
Mengajak mereka berbuat baik dan mencegah mereka dari kemungkaran.
Perhatikanlah baik-baik. Allah menuntut kita berbuat baik pada jiran. Jika kita tidak berbuat baik pada jiran, bukan jiran kita yang rugi, tapi kita yang rugi, malah berdosa kerana kita tidak menurut perintah Allah.
Jika kita rasa terganggu dengan jiran kita kerana asap keretanya (yang memasuki rumah) setiap pagi ketika memanaskan enjin kereta, mungkin mereka juga terganggu dengan suara kuat kita berdiskusi semasa makan. Oleh itu, jika kita mahu mereka tidak memperlakukan begitu, kita dahulu perlu merendahkan suara ketika berdiskusi.
Jika kita merasa sakit hati kerana jiran kita tidak beradab apabila berjumpa dengan kita, maka mungkin kita juga tidak mengamalkan sebahagian dari adab-adab dan hak mereka. Maka kita dahulu perlu menunaikan hak mereka.
Hormati mereka. Walaupun mereka memakai gincu. Walaupun mereka nampak lebih jahil agama dari kita. Kejahilan mereka adalah tanggungjawab kita. Jika dengan akhlaq pun kita tidak mampu untuk melakukan, bagaimana kita mahu melakukan seruan kepada Allah?
Agama itu pergaulan~
Semoga Allah berikan yang terbaik untuk kita wahai saudara dan jiran tetanggaku.