Jumaat, 20 Mei 2011

Malas versi orang jarang perasan.

Aku nak buat apa kat sini? Semua orang tidak buat, jadi aku pun tidak perlulah buat.

Eh buat apa fikir susah-susah? Menyerabutkan otak saja. Biarkan sahaja ia berlalu. Ikut arus. Bagaimana mahu jadi terpulang. Kita turut dan lihat sahaja.

Inilah yang dipanggil malas berubah.

Malas biasa yang kita dengar adalah malas bekerja. Malas melakukan yang terbaik. Malas bercampur dengan orang. Malas bercakap. Malas berfikir. Malas berusaha. Itu malas biasa yang kita dengar.

Kali ini penulis mahu buka satu bahagian malas yang jarang kita lihat, iaitu MALAS BERUBAH.

Berubah bukan mudah. Susah bukan bermaksud mustahil.

Untuk apa susah-susah berubah setelah lama biasa dengan cara ‘itu’...

Berubah itu susah untuk orang yang tidak sedar hakikat tujuan dia di hidupkan.

Berubah itu juga sukar jika kita merasa kita telah mulia dan berada di tahap terbaik.

Perubahan juga sukar jika ia tidak pernah menjadi agenda hidup & kita tidak pernah membuka masa dan ruang untuknya.

Ia perlukan keazaman yang kuat.
Setelah berazam, belum tentu berjaya mencapai apa yang dicitakan.

Berubah itu sangat susah, jika HATI & FIKIRAN kita masih belum mahu berubah.

Sebelum betul-betul berubah, HATI&FIKIRAN perlu mendahului.

Kerana itu Allah berfirman:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan bagi sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain dia” Ar-ra’d: 11

Maksudnya, berubahlah, kemudian bertawakkal. Allah telah menetapkan, jika tidak berubah, maka itulah penghabisannya.

Maka, kumpulkan sejarah hidup kita yang menyakitkan itu dan masukkan ia dalam satu kotak yang cantik.. Hanyutkan ia ke sungai. Lepaskan ia berlayar dan pergi.

Tiada manusia, sifar dosa dan salah. Keampunan & rahmat Allah itu luas meliputi langit dan bumi.

Sesungguhnya itulah erti redha dengan ketentuan Allah, sedang ia tidak akan mengurangkan sedikit pun rasa tawakkal padaNya.

Melepaskan sejarah hidup berlayar dan pergi bukan bermaksud melupakan. Kerana melupakan itu menyebabkan kita berpotensi mengulanginya kembali.

Ia bermaksud, relakan segala yang terjadi kerana ia sudah termaktub semenjak sebelum kelahiran kita. Ia adalah ketentuan Allah. Dan percaya pada kebijaksanaanNya menentukan sedemikian. Kerana itu Allah berfirman:

“setiap bencana yang menimpa dibumi & yang menimpa dirimu sendiri telah tertulis dalam kitab lauh mahfuz sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh yang demikian itu mudah bagi Allah”

“Agar kamu tidak bersedih hati dengan apa yang luput dari kamu & tidak terlalu gembira terhadap apa yang diberikan kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan bangga diri”

Al-Hadid: 22&23

Banyak nikmat Allah yang membuatkan kita sombong dan bangga diri..

Kawan yang baik, ilmu yang banyak, keluarga yang bahagia, harta yang banyak, anak-anak yang soleh, penghormatan orang..

Belajar dari sejarah memang bagus. Tapi bukan hanyut dan tenggelam dalam sejarah hingga terlupa perjalanan hidup ini sedang menghampiri akhirat.

Jumpa lagi di lain entri..

Tiada ulasan:

Entri terkenal