Khamis, 4 November 2010

Ha kena sebijik

Ini kisah benar tau. Kisah benar di alam mimpi.. Mimpi yang akan menjadi kenyataan.

Pada suatu hari, ada seorang hamba Allah bertanya pada ibunya:

“Mak, boleh tak kita nak lupakan seseorang dengan cara kita anggap saja dia sudah meninggal dunia? Senang cerita camnilah, saya ada seorang kawan yang telah mengecilkan hati saya dengan sangat dahsyat (belum pernah orang buat saya macam ni). Setelah tahu saya maafkan dia, dia masih ulangi perbuatan yang sama. Maka untuk tidak menjadi kecil hati lagi, saya ambil keputusan untuk anggap sahaja dia sudah meninggal. Ok kah begitu? Apa yang penting dia adalah ‘seseorang’ dalam hidup saya. Mungkin saya perlukan nasihat emak"

Kemudian ibunya membalas:
“Anggap benda itu remeh saja jika berkaitan dengan peribadi & ingat pahala memaafkan adalah syurga disamping fikir cara hikmah untuk menghalangnya dari berterusan& amalkan doa mathurat meminta lindung dari 8 perkara. Nasihatlah dengan SABAR jika berkaitan dengan hak Allah”

Oleh kerana hamba Allah itu tidak berpuas hati dengan jawapan ibunya lantas dia membalas:

“Rasa macam hal peribadi. Tak boleh ke anggap dia dah mati? Kira dah maafkan la kan? Kalau berjumpa dengan dia, anggap sahaja itu kawan baru kali pertama berjumpa. Macam tidak pernah kenal siapa dia. Berdosakah jika begitu?”

Belum selang beberapa masa; hamba Allah itu merasakan ibunya masih belum memahami keadaan yang sedang dia cuba selesaikan. Maka berikut adalah mesej seterusnya:

“Tapikan mak, kita manusia ni ada hati dan perasan. Kalau dia sudah sebati dengan apa yang dia selalu buat, beritahulah bagaimana cara pun, dia tetap akan melakukan perkara tersebut (perkara yang menyebabkan saya jauh hati dengan dia). Bertahun dah dia buat begitu. Sebab itu, saya rasa; anggap dia meninggal lebih senang, sebab tak berdendam dengan dia dah. Bila anggap dia kawan baru, kita taklah ada perasaan tak elok dengan dia. Sebab kita Cuma jauh hati dengan dia yang sebelum ‘meninggal’ tu. Dia yang kita jumpa tu orang lain. Kita tak kenal dia lagi macam mana (sbb kita dah anggap dia kawan baru).

Mungkin memikirkan masalah anaknya sungguh kronik, ibunya terus menalifon.

“Mak dengar ceramah Tuan Guru Nik Abdul Aziz, dia kata: Kalau kita hidup atas dunia ini dapat semua benda yang kita nak tapi satu je tak dapat.. Pengampunan ALLAH. Nak tak kita?”

Senyap.

“Mestila tak nak” jawab si anak tadi.

Maka ibunya meneruskan ceramahnya

“Kalau kita ini hidup di dunia sahaja, takpe lah juga untuk tidak mendapat pengampunan Allah. Kerana kita dah dapat segala nikmat hidup. Tapi kita hidup mesti mati. Kan? Dan mati itu menyebabkan kita akan sampai pada hari penghisaban.. Hari Akhirat, betul? maka hendak atau tidak, kita PERLU pengampunan Allah. Dan cara kita harap keampunan Allah adalah MEMAAFkan kesalahan manusia pada kita”

Tiba-tiba sang anak merasakan perlu lebih penjelasan

“Tapi, macam mana kita nak tahu yang kita ini sudah memaafkan? Bukankah menganggap seseorang itu meninggal salah satu dari manifestasi kemaafan?”

Dengan cepat si ibu menjawab

“Kenapa nak tipu diri sendiri dengan menganggap orang yang masih hidup sebagai sudah mati? Kan dia masih hidup, dan kita akan berjumpa dengan dia seperti biasa.. Dia tetap ada dan mungkin dia akan melakukan lagi perbuatan yang menyakiti kita”

(Sambil mendengar sambil berfikir, laaa tipu diri sendiri ke pulak dah macam tu??!!)

Anak masih tidak dapat memahami konsep kemaafan yang sedang ibu terangkan, lalu berkata:

Habiskan mak, macam mana nak buat? Kalau kita tidak anggap dia mati? Bagaimana mahu memaafkan, sedangkan dia SEDANG dan TERUS melakukan yang telah diketahui (oleh dia dan kita) bahawasanya dia sedang menyakiti kita?”

“Mari kita ambil satu contoh, kalau kawan kita mencuri.. Bagaimana kita nak buat? Pastilah kita tidak akan letak barang supaya dia mudah mengulang curi barang kita. Janganlah pulak beritahu pada pencuri itu –saya dah maafkan kesalahan awak- Bodohlah kita beritahu macam tu kerana dia adalah pencuri. Pastilah dia akan terus mencuri kerana tahu kita telah memaafkan dia. Usaha kita adalah, maafkan dan cari jalan hikmah...”

Belum sempat habis ceramah panjang si emak, anak sudah menyampuk..

“Mak, itu pencuri. Salah dan dosanya sangat terang. Sekarang ni yang menjadi masalahnya perbuatan itu tidaklah nampak berdosa dan salah..”

Maka ibu menjawab lagi dengan sabar

“Ha la, sama jugak, orang yang buat kesalahan yang tidak terang pun.. Untuk apa kamu beritahu yang kamu maafkan dia? Tidak perlu pun. Cuba kamu ingat, dengan dia menyakiti kamu dan kamu bersabar, bukankah itu satu jalan pengampunan dosa yang telah Allah buka untuk kamu? Dan lagi. Kamu fikir sabar itu sia-siakah? Sabar dengan perbuatan orang yang menyakiti hati kita boleh menjadi pintu untuk mendapat pahala dan membersihkan jiwa. Satu lagi. Orang yang menyakiti kita itu sebenarnya sedang mengotorkan hatinya sendiri..”

“Aik? Macam mana pulak kita sakitkan hati orang itu mengotorkan hati kita pulak? Dan satu lagi, adilkah kalau kita susah payah maafkan dia dan dia terlepas begitu sahaja. Perit kita bersabar dengan perbuatan dia?!” tanya si anak.

“Kan Allah suruh jaga hubungan sesama manusia? Dengan dia menyakiti kita, dia telah melanggar perintah Allah. Melanggar perintah Allah itukab berdosa. Bukankah begitu?”

“ooo ha’a. Betul la.. melanggar perintah Allah maksudnya berdosa. Dan dosa memanglah sifatnya mengotorkan hati. Oo ha’a la.. Macam manala saya boleh lupa pula akan hal mudah sebegitu. Kalau kita menyakiti hati saudara kita, sebenarnya kita sedang mengotori hati sendiri rupanya.. Ush, bahayanya..”

Di akhir perbualan si anak telah mendapat KELAPANGAN HATI yang sangat luarbiasa. Tidak pernah merasai sedemikian setelah berbulan-bulan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik untuk masalah besar yang dianggap ‘kecil’ olehnya.

Apakah kelapangan hati? Merasa senang dan tidak sempit dada dengan perbuatan orang yang menyakitkan hati kita.

Pesan terakhir ibu kepada anak tadi

“Bila jumpa dia, anggaplah Allah mahu mengampunkan dosa kita. INGAT ALLAH ITU yang PERTAMA, bukan dia yang menyakitkan hati kita itu. Allah sedang menghantar sesuatu untuk membersihkan hati kita”

Benarlah firman Allah:

“iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hatikan menjadi tenang” Ar-ra’d: 28

Kesimpulannya:

Kita mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk mengingati Allah dan menjadikan INGATAN PADA ALLAH sebagai yang PERTAMA sebelum perkara/orang lain.

Dan apabila kita sentiasa begini, maka tiada sesiapa lagi diatas dunia ini yang boleh menyakitkan hati kita kecuali manusia yang tidak menunaikan hak Allah dan agamanya.

Tiada ulasan:

Entri terkenal